Thursday, January 10, 2013

SEKTOR AWAM MESTI SEALIRAN



muhyiddin
Kuala Lumpur: Sektor awam perlu memainkan peranan sama penting dengan sektor swasta bagi memastikan kejayaan kempen penjenamaan negara.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sektor awam perlu bergerak sealiran dengan perkembangan semasa serta sejajar permintaan pasaran. Dalam usaha memastikan sektor awam kita mencapai kecemerlangan dan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan, ia perlu berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup perbincangan ilmiah The Razak Rountable bertemakan Mewujudkan Kuasa Jenama Untuk Negara dan Syarikat di sini, semalam. The Razak Roundtable yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama The Razak School of Government, KPJ Healthcare Bhd dan University of Oxford. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, ketika prestasi syarikat diukur berdasarkan keuntungan yang dicatat, penilaian terhadap prestasi negara pula mungkin memerlukan lebih daripada jumlah Keluaran Negara Kasar dan tidak mengabaikan tadbir urus.
Katanya, tadbir urus yang baik bukan hanya penting untuk menarik pelaburan, meningkatkan eksport negara dan menggalakkan pelancongan, tetapi yang lebih penting ialah melahirkan modal insan berkualiti. Apa yang lebih penting ialah kualiti tadbir urus yang diberikan kepada rakyat mereka. Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, Malaysia mencatat prestasi cemerlang dengan melonjak tujuh anak tangga dalam Indeks Jenama Negara (CBI) FutureBrand pada November tahun lalu dengan menduduki tempat ke-36 daripada 118 negara dan menduduki senarai tiga teratas dalam senarai jangkaan jenama negara kuasa besar untuk masa akan datang.
Beliau berkata, mengikut FutureBrand, kedudukan Malaysia di tangga ketiga dalam senarai 15 Masa hadapan itu antara lain disebabkan kekuatan ekonomi, perubahan, tadbir urus, modal insan, pertumbuhan, kemampanan dan pengaruh yang dimiliki. Laporan sama turut menegaskan bahawa dimensi kualiti kehidupan mewakili keupayaan negara untuk menawarkan pekerjaan yang menguntungkan. 
Selain rumah mampu milik dan selesa, akses terhadap pelajaran yang berdaya saing, penjagaan kesihatan mencukupi dan keselamatan untuk rakyat, katanya.

RANCANG PROJEK 'KERETA ASIA'


DRB-HICOM
DRB-HICOM Bhd sedang merancang satu projek besar yang dikenali sebagai Kereta Asia yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi hab bagi pengeluaran kenderaan Volkswagen (VW) di rantau ini.


Untuk menjayakannya, pemilik DRB-HICOM, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sedang berusaha untuk menyenaraikan anak syarikat pengedaran kumpulan itu di bursa saham.
Rancangannya ialah menyenaraikan Proton Edar Sdn Bhd dan EON Bhd yang digabungkan.
Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, DRB-HICOM sendiri kemungkinan akan dijadikan sebuah syarikat persendirian dan dikeluarkan daripada penyenaraiannya di Bursa Malaysia.
Ia adalah antara opsyen yang ada, kata sumber yang rapat dengan cadangan itu kepada BERNAMA.
Di bawah opsyen itu, cabang pengeluaran automotif dan unit pertahanan DRB-HICOM, akan dipegang secara persendirian oleh satu daripada syarikat yang dimiliki usahawan berkenaan.
Pemegang saham sedia ada DRB-HICOM boleh menukar beberapa saham mereka ke dalam syarikat penyenaraian yang baharu itu.
Sementara itu, cabang pembuatan automotif, akan disenaraikan semula dalam bentuk yang lain, kemudian nanti, di bawah usaha sama DRB-VW.
DRB-HICOM dan pengeluar kenderaan terbesar Eropah itu pada Ogos 2010, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama bagi pemasangan dan pengeluaran kenderaan VW di Malaysia.
Memajukan potensi pasaran di rantau Asean adalah penting untuk strategi pertumbuhan jangka panjang Volkswagen Group, kata Christian Klinger, ahli lembaga pengurusan VW baru-baru ini.
Kenderaan VW itu dikeluarkan di kompleks automotif HICOM yang berkeluasan 96 hektar di Pekan, Pahang.
Kemudahan itu direka bagi menampung kapasiti mengeluarkan 100,000 unit kenderaan.
Pada masa ini, kami hanya mengeluarkan 25,000-30,000 unit. Jadi, banyak lagi ruang untuk kilang itu dimanfaatkan, kata Pengarah Urusan kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil sebelum ini.
Berita disunting daripada Berita Harian

SELESAI MASALAH AIR SEBELUM TAHUN BARU CINA



krisis-air
Kuala Lumpur: UMNO mahu masalah bekalan air yang membabitkan penduduk di sekitar Cheras, termasuk kawasan perumahan pangsapuri Sri Melaka dapat diselesaikan sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan, berkata pihaknya akan meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) supaya menyelesaikan segera masalah itu daripada terus membelenggu rakyat. 
Beliau berkata, tangki simpanan air yang disediakan syarikat konsesi air juga didapati tidak mampu untuk menampung keperluan pengguna dan perkara itu perlu diatasi dengan menyediakan lebih banyak tangki.
Bagi saya apa yang rakyat hendak tahu adalah masalah ini dapat diselesaikan dengan segera. Kita tahu kesalahan kerajaan negeri dan kita juga sudah tahu masalah SYABAS. Tetapi apa rakyat ingin tahu masalah ini diselesaikan dengan segera.
Masalah air adalah masalah besar kerana air tidak ada bahan ganti, tidak ada elektrik tidak mengapa, telefon tidak ada pun tiada masalah, tapi masalah air ini adalah masalah rakyat yang perlu diselesaikan segera.
Kalau ikutkan saya boleh pergi ke tempat lain jika mahu mengelak daripada menjawab isu ini kepada rakyat, tetapi kita berdepan dengan rakyat kerana ingin menjuarai masalah rakyat, katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum itu mengadakan lawatan mesra ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sri Melaka dan Sri Johor bagi meninjau persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 
Sementara itu beliau berkata, bilik gerakan serta PDM seluruh negara diarahkan supaya beroperasi serta mengadakan pelbagai program bagi membolehkan usaha untuk mendampingi pengundi dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Katanya, PDM perlu memainkan peranan lebih aktif dengan pendekatan Setiap Hari Ada Program (SHAP) di PDM untuk membolehkan rakyat dapat berurusan secara terus.
Berita disunting daripada Berita Harian  

MISI INTEGRASI AIR ASIA


Berita baik tiket percuma Airasia 2013 sempena program Integrasi 1Malaysia. Program ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Najib Razak. Tujuan adalah untuk merapatkan lagi jurang antara semenanjung, sabah dan sarawak selaras dengan konsep 1Malaysia. Syarikat tambang murah Air Asia akan bekerja sama untuk memberi tiket penerbangan percuma dalam tempoh yang tertentu.
tiket percuma airasia
Cara Semak Tiket Percuma Airasia 2013
Pengumuman mengenai tiket percuma ini akan disiarkan di laman web http://www.airasia.com tidak lama lagi. Dianggarkan kira-kira 10 ribu tiket akan diberikan kepada semua rakyat Malaysia untuk menikmati tiket percuma tersebut.