Showing posts with label PENGGAL 3. Show all posts
Showing posts with label PENGGAL 3. Show all posts

Tuesday, March 31, 2015

BANK DUNIA :KEPELBAGAIAN EKONOMI MALAYSIA MAMPU TAMPUNG IMPAK HARGA MINYAK


minyak
KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi Malaysia yang pelbagai, bukan sahaja menyediakan penampan yang baik, malah mampu menampung dan mengehadkan impak susulan kejatuhan harga minyak, kata Bank Dunia. 
Ahli ekonomi kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Frederico Gil Sander berkata impak daripada kelemahan harga minyak juga diimbangi menerusi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan, selain penambahan hasil daripada cukai lain yang tiada kaitan dengan minyak dan gas (O&G).
Sudah semestinya kejatuhan harga minyak akan memberi cabaran, namun ia dapat ditangani dengan lebih baik berbanding negara lain yang sumber minyaknya menyumbang 95 peratus kepada hasil kerajaan, katanya kepada Bernama.
Bank Dunia menjangkakan purata harga minyak tahun ini pada paras AS$75setong, susut 25 peratus daripada antara AS$97 dan AS$100 setong, tahun lalu.
Sudah bertahun-tahun lamanya pergantungan kerajaan kepada hasil O&G semakin berkurangan dan matlamatnya angka itu akan diturunkan kurang daripada 30 peratus.
Pada 2011, hasil Malaysia daripada petroleum sebanyak 35.8 peratus daripada jumlah pendapatan dan dikurangkan kepada 33.7 peratus pada 2012 dan 31.2 peratus pada 2013.
Berikutan harga minyak mentah yang rendah, kerajaan memutuskan untuk memyerahkan kuasa pasaran untuk menentukan harga bahan api pengguna menerusi sistem apungan terurus yang diumumkan setiap bulan.
Bagi Januari, RON95 dan RON97 masing-masing turun 35 sen kepada RM1.91 dan RM2.11 seliter dan diesel turun 30 sen kepada RM1.93 seliter.
Gil Sander berkata, sistem apungan terurus yang akhirnya akan memansuhkan subsidi bahan api, membantu bajet kerajaan memandangkan ia menjimatkan RM10.7 bilion.
Sistem baharu itu juga baik untuk alam sekitar memandangkan subsidi merangsang penggunaan tenaga secara berlebihan, yang menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi.
Memandangkan sistem apungan terurus hanya membabitkan turun naik harga dalam jangka pendek dan tidak membabitkan susidi, ia adalah langkah yang disambut baik, katanya.
Walaupun pengguna menikmati harga bahan api yang lebih rendah hasil daripada pelaksanaan sistem apungan terurus, harga minyak dunia yang rendah memberi kesan ke atas ringgit.
Namun, Gil Sander berkata masih ada 'cahaya di hujung terowong' memandangkan ringgit akan meningkatkan eksport dan mengurangkan insentif ke atas import memandangkan barangan import menjadi lebih mahal menggunakan ringgit, dengan kedua-duanya membantu akaun semasa negara.
Mengenai sama ada kejatuhan harga minyak dunia mengurangkan daya tarikannya kepada pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "FDI ditarik hasil daripada dasar makroekonomi yang baik, faktor yang dimiliki Malaysia, selain persekitaran perniagaan yang disediakan, satu lagi aspek yang memihak kepada Malaysia."
Beliau berkata, berdasarkan dasar fiskal, penyediaan bajet mengikut perspektif jangka sederhana akan meningkatkan kredibiliti dasar, seperti penyediaan bajet kementerian-kementerian untuk beberapa tahun ke hadapan.
Berita disunting daripada Berita Harian  

Monday, March 30, 2015

PEMUKIMAN MENTERI LUAR ASEAN BERMULA


asean hanifah
KOTA KINABALU: Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) 2015 bermula pagi ini dengan dihadiri 10 Menteri Luar ASEAN.
Program itu dijangka berlangsung sehingga tengah hari ini sebelum satu sidang media sejurus tamat pemukiman yang dijadualkan pada jam 12 tengah hari.
Delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dijangka membentangkan lapan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Antara keutamaan itu ialah penubuhan Komuniti ASEAN pada akhir tahun ini, pembentukan visi Komuniti ASEAN Pasca-2015 dan dokumen berkaitan serta usaha mendekatkan ASEAN kepada rakyat sebagai tujuan utama komuniti itu.
Tiga keutamaan itu adalah antara yang diberi perhatian pada Pemukiman AMM kali ini sebagai susulan keputusan pemimpin ASEAN pada Persidangan ASEAN Ke-25 di Nay Pyi Taw, Myanmar, November tahun lalu berhubung pembentukan Komuniti ASEAN pada akhir tahun ini.
Berita disunting daripada Berita Harian  

Sunday, March 29, 2015

MALAYSIA KONGSI KEBIMBANGAN MAJLIS KESELAMATAN PBB BERHUBUNG SERANGAN PENGGANAS

MALAYSIA KONGSI KEBIMBANGAN MAJLIS KESELAMATAN PBB BERHUBUNG SERANGAN PENGGANAS

United Nations
KUALA LUMPUR: Malaysia berkongsi kebimbangan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung peningkatan ketara serangan pengganas di seluruh dunia.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB , Datuk Hussein Haniff, berkata Malaysia juga amat bimbang dengan peningkatan konflik bersenjata dan keganasan yang berlaku dalam beberapa situasi di seluruh dunia.
Kami kecewa kerana majlis tidak mampu mencapai persetujuan dalam menangani situasi yang semakin meruncing di Yaman. Pada masa sama, situasi kemanusiaan yang semakin merosot di beberapa kawasan konflik, termasuk Palestin, Syria dan Ukraine, terus menjadi keutamaan dalam agenda majlis.
Apa yang menggusarkan adalah majlis kekal berbeza pendapat berhubung situasi itu kata beliau dalam taklimat Majlis Keselamatan bagi Pelaksanaan Nota Oleh Presiden Majlis Keselamatan di New York. Teks ucapan beliau dihantar kepada BERNAMA hari ini.
Sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Chile ke PBB, Cristian Barros Melet yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi bulan ini.
Hussein berkata, Malaysia selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, berharap anggota majlis akan terus berusaha ke arah merapatkan jurang perbezaan pendapat itu bagi melaksanakan tanggungjawabnya seperti termaktub dalam Piagam PBB. Malaysia mengulangi komitmennya untuk berusaha ke arah itu.
Berhubung cara kerja, Hussein berkata Malaysia memuji langkah majlis yang terus menggunakan teknologi, termasuk menerusi penggunaan kemudahan telepersidangan video, untuk berhubung dan berinteraksi dengan wakil PBB di lapangan.
Malaysia juga mengambil perhatian bahawa dalam banyak keadaan, majlis telah memberi respons segera untuk menangani situasi tertentu yang berlaku, termasuk menerusi pengeluaran kenyataan media dan percaya reaksi segera oleh majlis merupakan ciri penting dalam tugasnya dan patut diteruskan.
Hussein berkata, Malaysia memuji Chile yang menganjurkan tiga debat terbuka semasa menjadi presiden, bertajuk "Situasi di Timur Tengah", "Pembangunan Inklusif dan Pengekalan Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa" dan Perlindungan Orang Awam."
Sementara itu, Malaysia turut mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada delegasi China susulan bakal menjadi presiden Majlis Keselamatan, jawatan yang dipegang secara bergilir dalam kalangan anggota bagi penggal sebulan.
Malaysia juga akan bekerjasama erat dengan China dan semua anggota majlis dalam usaha mencapai matlamat dan objektif bersama katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian 

Sunday, June 29, 2014

I-KAD URUS PELAJAR ASING

I-KAD URUS PELAJAR ASING

muhyiddin
Petaling Jaya: Penggunaan Kad Pelajar Antarabangsa di Malaysia (ikad) adalah langkah strategik bagi menambah baik pengurusan pelajar asing di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, kad yang memiliki ciri keselamatan khas itu menunjukkan tanggungjawab kerajaan terhadap kehendak dan kebajikan pelajar antarabangsa di negara ini.
Katanya, kad dikeluarkan Jabatan Imigresen melalui Pusat Sehenti Perhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) mulai 1 Julai ini, mengandungi maklumat peribadi penuntut seperti nama, tarikh lahir, nombor pasport, institusi, tarikh tamat pas serta gambar, bagi menggantikan visa atau pasport untuk bergerak di Semenanjung secara sah.

Katanya ketika berucap melancarkan i-kad, tempoh permohonan adalah lima hari bekerja dan akan datang dipendekkan seperti permohonan pasport antarabangsa yang hanya mengambil masa sejam. Ia akan menjadi sebahagian indeks prestasi utama (KPI).

Tumpuan penuntut asing
Kerajaan memberi tumpuan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berikutan negara kini menjadi tumpuan penuntut luar negara untuk meneruskan pengajian, khususnya pada peringkat ijazah sarjana muda. Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Berita disunting daripada sumber: Berita Harian

Wednesday, October 2, 2013

SITUASI EKONOMI AMERIKA

KUALA LUMPUR: Pada tahun 2009, satu situasi berlaku di Malaysia di mana bajet tahun 2010 hampir sahaja tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran ahli parlimen.

Pada hari ini di Amerika Syarikat pula, presiden Barack Obama dikatakan terpaksa melalui situasi hampir sama ekoran Dewan Rendah negara itu yang dikuasai wakil parti Republikan tidak menyokong pelan kesihatan kerajaan yang digelar Obamacare.

Dalam satu diskusi Agenda Awani pada Selasa, dua penganalisis iaitu Felo Utama KITA, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr K S Nathan dan Pengerusi Yayasan RIGHTS Yusmadi Yusoff sama-sama melihat situasi ini tidak akan berlarutan.

Yusmadi turut berkata pebezaan ini menunjukkan kematangan demokrasi Amerika Syarikat.

“Demokrasi berterusan sehinggalah di dewan perwakilan. Sekiranya parlimen Malaysia sampai demokrasi matang sampai begitu, rakyat akan tahu setiap sen dibelanjakan mesti melalui pemimpin yang dipilih, mereka juga akan menggagalkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.”

“Saya rasa ini memberi mesej politik kepada rakyat bahawa mereka ada hak demokrasi.”

                                      

Sementara itu, Nathan berkata kepentingan politik jelas satu pertimbangan dalam hal ini dan berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, parti politik Republikan akan dipersalahkan.

“Saya rasa tidak begitu benar bahawa kebanyakkan rakyat tidak menyokong Obamacare. Kalau mereka tidak sokong, saya rasa Obama tidak akan membentangkannya.

“Republikan tidak mahu sekiranya rancangan Obamacare berjaya Demokrat akanmen jadi parti yang popular. Boleh dikatakan, kepentingan politik turutdiambil kira (dalam hal ini).”

                                      

Fakta penting operasi terhenti AS:

- Telah berlaku 18 kali sejak 1976

- Kali terakhir 17 tahun lalu (terakhir pada 1995 semasa pentadbiran Bill Clinton, iaitu 21 hari)

- 800,000 pekerja terjejas & tidak menerima bayaran

- Kerugian ekonomi sehingga 50 bilion dolar

Monday, July 8, 2013

MALAYSIA CONTOH TERBAIK

MALAYSIA CONTOH TERBAIK

malaysia
Kuala Lumpur: Usaha untuk memperkasakan ekonomi wanita global memerlukan kerjasama mantap antara kerajaan dan sektor swasta.

Kerjasama kerajaan, swasta mampu perkasa ekonomi wanita

Presiden Sidang Kemuncak Wanita Global 2013, Irene Natividad, berkata untuk itu Malaysia boleh dijadikan contoh kepada negara luar mengenai kerjasama terjalin antara kedua-dua pihak terbukti berupaya menjana ekonomi wanita.
 
Beliau berkata, Malaysia adalah pilihan tepat untuk wanita yang mempunyai cita-cita dalam bidang perniagaan dan meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui perniagaan.


Peningkatan dinamik
Ujarnya lagi, peningkatan ekonomi yang dinamik itu juga menjadikan Malaysia contoh terbaik penggabungan kuasa ekonomi di Asia Pasifik,katanya pada sesi pengenalan Sidang Kemuncak Wanita Global 2013 di sini semalam.
Sidang tiga hari bermula semalam, dihadiri kira-kira 1,000 peserta mewakili lebih 70 negara dan Malaysia menjadi tuan rumah kali ini, khusus bagi membincangkan mengenai kerjasama wanita dalam sektor swasta dan kerajaan untuk meningkatkan tahap ekonomi.
Yang turut hadir pada sesi pengenalan pembukaan persidangan itu ialah Presiden Kosovo, Atifete Jahjaga; Timbalan Presiden Vietnam, Nguyen Thi Doan; Wanita Pertama Zambia, Dr Christine Kaseba dan Wanita Pertama Namibia, Penehupifo Pohamba. 
Natividad berkata, persidangan ini landasan penting bagi wanita untuk bertukar pandangan dan idea dalam memangkin perkembangan ekonomi wanita secara global.
Bleiau berkata, ada perwakilan membawa delegasi usahawan dan ahli korporat wanita negara mereka bagi menerokai peluang perniagaan di Malaysia. Dengan peluang yang ada ini, diharap peluang perniagaan antara wanita global terbuka luas,” katanya.
Sementara itu, delegasi yang hadir menyifatkan Malaysia sebagai negara strategik di Asia Tenggara untuk memperluaskan peluang ekonomi wanita global.
Delegasi dari Amerika Syarikat, Kimberly S Admire, berkata Malaysia mempunyai banyak peluang perniagaan yang terbuka luas untuk dipelopori wanita.
Beliau yang pertama kali datang ke Malaysia memberitahu cara hidup rakyat Malaysia yang majmuk dan harmoni juga menjadi tarikan utama pelabur asing.
Jelas beliau, negara lain patut mencontohi Malaysia yang mengamalkan keterbukaan dan mempunyai banyak peluang ekonomi yang baik dalam semua sektor, katanya.
Kongsi pengalaman
Bagi Phung Kim Vy, dari Vietnam, berkata persidangan itu memberinya peluang untuk berkongsi pengalaman bersama ahli perniagaan wanita berjaya dan membina rangkaian yang lebih luas.
Beliau berkata, persidangan itu juga memberinya banyak maklumat dan pendedahan mengenai cara mengakses pasaran Malaysia dengan lebih dinamik.
Jelasnya, beliau gembira kerana diberi kesempatan untuk menjadi delegasi kali ini. beliau berharap dapat meluaskan rangkaian perniagaan di sini, katanya yang mengusahakan industri pelancongan sejak 20 tahun lalu.

EU OPTIMIS POTENSI DI CYBERJAYA

EU OPTIMIS POTENSI DI CYBERJAYA

 
cyberjaya
Kuala Lumpur: Cyberjaya, 'Lembah Silikon Malaysia', adalah sebuah destinasi pelaburan yang menarik bagi perniagaan Eropah, kata InvestKL dan Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kenyataan.

Duta dan Ketua Perwakilan Kesatuan Eropah ke Malaysia, Luc Vandebon, berkata EU dan negara anggotanya sudah bekerjasama rapat dengan Malaysia pada peringkat persekutuan. 
Akan tetapi, katanya, pelbagai inisiatif berkenaan perlu dicergaskan semula menerusi pembabitan rapat dengan agensi di Malaysia seperti InvestKL serta sektor perniagaan tempatan.
Duta dan kaunselor perdagangan EU semalam melawat Cyberjaya sebagai sebahagian daripada rancangan InvestKL untuk membiasakan perwakilan berkenaan dengan beberapa hab perniagaan di Greater Kuala Lumpur dan menarik lebih banyak pelaburan EU.
Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Zainal Amanshah, berkata semua duta dan pegawai perdagangan berkenaan kagum dengan pembangunan yang ada dan sangat positif berhubung potensi bagi pengaliran masuk lebih banyak pelaburan daripada syarikat multinasional EU serta kerjasama dengan rakan kongsi tempatan.
Hingga kini, lebih 2,000 syarikat EU beroperasi di Malaysia.

PERISIK BRITAIN INTIP E-MEL, TELEFON DIPLOMAT

PERISIK BRITAIN INTIP E-MEL, TELEFON DIPLOMAT

 
edward snowden
London: Agensi pengintipan Britain, GCHQ, berulang kali menceroboh talian telefon dan e-mel diplomat asing apabila negara itu menjadi hos persidangan antarabangsa, malah memasang alat pengintip di kafe internet dalam usaha mendapatkan kelebihan dalam rundingan peringkat tinggi, lapor akhbar Guardian.

Laporan itu, yang terbaru dalam siri pendedahan yang mencetuskan perdebatan di seluruh dunia berhubung skop intipan perisikan Barat disiarkan beberapa jam sebelum Britain dijadualkan merasmikan persidangan G-8 semalam, pertemuan tujuh gergasi ekonomi dunia termasuk Russia di Ireland Utara.
Guna kedudukan
Dakwaan bahawa Britain sebelum ini menggunakan kedudukannya sebagai hos untuk mengintip sekutu dan negara lain yang hadir menjadikan pertemuan itu janggal ketika delegasi tiba untuk berunding.
Kesan diplomatik akibat pendedahan ini boleh menjadi besar,” kata Pakar Akademik Britain, Richard J Aldrich, yang bukunya, GCHQ, menceritakan sejarah agensi itu.
GCHQ enggan memberi komen mengenai laporan itu.
Akhbar itu melaporkan lebih enam helai dokumen dalaman kerajaan diberikan oleh bekas kontraktor Agensi Keselamatan Dalam Negara (NSA), Edward Snowden, sebagai asas laporannya mengenai operasi perisikan GCHQ, yang dikatakan membabitkan, antara lain, menceroboh rangkaian komputer Kementerian Luar Afrika Selatan dan menyasarkan delegasi Turki pada persidangan G-20 2009 di London.
Bahan sumber yang ketulenannya tidak dapat disahkan, turut bercampur aduk. Guardian menyifatkan satu daripadanya sebagai slaid Power Point, satu lagi sebagai kertas taklimat dan yang lain cuma sebagai dokumen.
Sebahagian bahan yang bocor versi sudah disunting sebelum disiarkan di laman web Guardian.
Jurucakap akhbar itu berkata suntingan dibuat atas inisiatif akhbar itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Tidak jelas bagaimana Snowden memperoleh dokumen perisikan Britain walaupun dalam satu artikel akhbar itu menyatakan bahan sumber didapati daripada rangkaian dalaman rahsia dikongsi GCHQ dan NSA. Aldrich berkata, beliau tidak terkejut jika bahan GCHQ datang daripada rangkaian dikongsi yang boleh diakses Snowden, menjelaskan NSA dan GCHQ bekerjasama erat sehingga dalam sebahagian bidang ia beroperasi sebagai satu agensi.
Tingkat usaha intip
Satu dokumen yang dipetik Guardian tetapi tidak disiarkan di laman web meningkatkan usaha mengintip telefon pintar.
Guardian memetik dokumen sebagai berkata kemampuan BlackBerry memberikan salinan awal taklimat G20 kepada menteri.
Ia terus melaporkan ‘sasaran diplomatik dari semua negara mempunyai tabiat menggunakan telefon pintar, menambah pengintip mengeksploitasi penggunaan ini pada pertemuan G20 tahun lalu.

WHO PUJI TRANSFORMASI PROGRAM PULIH PENAGIH DADAH

WHO PUJI TRANSFORMASI PROGRAM PULIH PENAGIH DADAH

 
-dato sri mohd najib tun razak
Kuala Lumpur: Kejayaan Malaysia melaksanakan program pemulihan penagihan dadah mendapat pengiktirafan pelbagai pertubuhan antarabangsa, termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC). Datuk Seri Najib Razak berkata, Program Bersama PBB mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam pembasmian dadah memberi pengiktirafan itu berikutan kejayaan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Perdana Menteri berkata, negara turut mendapat pujian badan dunia apabila dilihat sebagai satu-satunya kerajaan di dunia yang memberi sokongan penuh kepada usaha membasmi penagihan dadah dalam negara.
Beri penghargaan
WHO misalnya memberikan penghargaan dan pujian terhadap pendekatan Pulih dan Prihatin Malaysia dalam Laporan Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug & HIV/AIDS yang dikeluarkan pada awal tahun lalu. Najib berkata demikian dalam perutusan sempena Hari AntiDadah Antarabangsa (HADA) 2013 di sini. Tema sambutan ialah Sukarelawan Bukan Pilihan, Ia Satu Tanggungjawab yang disambut setiap 26 Jun, iaitu Hari Antidadah Antarabangsa. 
Perdana Menteri berkata Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah bertindak proaktif dengan mengambil pendekatan yang diberi nilai tambah ke arah perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara terbuka dan sukarela dalam mengharungi era globalisasi yang semakin mencabar.
Transformasikan AADK
Perkhidmatan AADK ditransformasikan dengan mewujudkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan terkini seperti Klinik Cure & Care 1Malaysia, Cure & Care Service Centre, Caring Community House (CCH), Cure & Care Vocational Centre (CCVC) dan Cure & Care Rehabilitation Centre (CCRC). Transformasi yang bermula pada 2010 menunjukkan impak positif dengan kehadiran terkumpul klien secara sukarela seramai 29,498 orang di 11 buah Klinik Cure & Care 1Malaysia. Klien yang mendapatkan perkhidmatan di 52 Cure & Care Service Centre mencecah 575,443 orang sehingga 30 April.

Tuesday, July 2, 2013

'JADI NEGARA ISLAM DISEGANI'

 'JADI NEGARA ISLAM DISEGANI'

najib-lambai2
Pasir Puteh: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang kuat, dihormati dan bermaruah.


Najib mahu Malaysia kuat, bermaruah

Perdana Menteri berkata, apabila matlamat itu dicapai, negara Islam lain akan menjadikan Malaysia sebagai contoh, termasuk dalam bidang ekonomi, perdagangan, ilmu dan politik. 
katanya lagi, Islam tidak akan kuat jika ia hanya berpaksikan slogan dan bendera parti saja. Di peringkat OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Malaysia dihormati kerana di bawah Barisan Nasional (BN) Malaysia menjadi negara yang semakin maju dan berjaya. 

Ujar beliau, jangan nak main slogan, nak main bendera bulan, orang OIC tak hormat pada bendera bulan. Dia hormat kalau kita negara Islam kuat.

Najib berkata, kuat kerana ilmu, ekonomi, perdagangan, politik mantap dan kita menghayati Islam yang berpandu kepada maqasid syariah, inilah yang nak dibawa BN, bukan negara Islam mundur, katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petai, di sini semalam.

Lebih 20,000 orang menghadiri majlis itu dan ketibaan Perdana Menteri disambut dengan laungan ‘Gelombang Merah’ dan ‘Tukar.’ Meskipun berucap dengan suara serak, Najib bersemangat melaungkan semangat ‘Gelombang Merah,’ ‘Tukar’ dan ‘Hidup BN’ sebelum disahut ribuan hadirin. 

Najib juga menjelaskan PAS tidak berupaya menjadikan Malaysia negara Islam contoh dan dihormati sebaliknya akan menjadi mundur. 
PAS hanya pandai cakap 

Katanya lagi, ,macam mana nak kata ada maruah, pergi OIC, orang Arab kata masalah air di Kelantan pun tak selesai, mu nak kecek gapo (cakap apa)..., katanya yang turut membidas pemimpin PAS yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pergi ke Gaza untuk membantu umat Islam Palestin.

Selain itu, Najib berkata, rakyat Kelantan bakal menikmati lebih banyak manfaat jika memberi mandat kepada BN dan tawaran tujuh projek seperti diumumkannya sebelum ini hanyalah permulaan.

Tujuh janji itu ialah membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, masjid negeri yang akan menjadi ikon, stadium, kampus bandar Universiti Teknologi MARA (UiTM), membina 3,000 rumah mampu milik, bas rapid Kota Bharu dan menyelesaikan masalah air.

Di Machang, Najib mengumumkan janji membina 2,000 lagi rumah mampu milik di Kota Bharu dan 1,000 di Machang serta lima projek di Tumpat termasuk Jambatan Palekbang yang gagal dilaksanakan PAS.

Beliau berkata, inisiatif itu mula dilaksanakan di Kota Bharu dengan pembinaan 1,000 rumah mampu milik dan pemilihan Machang kerana daerah ini penting kepada BN selain memenuhi keperluan masyarakatnya.

Tentukan hala tuju negara

Di Kota Bharu, Najib mengingatkan rakyat bahawa Pilihan Raya Umum, Ahad ini bukan hanya menentukan siapa memimpin negara, sebaliknya menentukan hala tuju dan masa depan Malaysia.

Oleh itu, katanya, rakyat perlu memilih parti dan pemimpin yang mempunyai wawasan, agenda pembaharuan dan kebolehpercayaan dalam memenuhi harapan mereka.

Najib berkata, rakyat perlu memastikan Barisan Nasional diberi mandat lebih kukuh untuk melaksanakan agenda transformasi yang dirancang, katanya pada majlis pelancaran Tuisyen Percuma Yayasan Orang Kota Bharu Parlimen Kota Bharu di Maktab Sultan Ismail.

Sunday, November 4, 2012

KONSEP BINA JUAL WAJIB 2015


prima
Kuala Lumpur: Mulai 2015, kerajaan mewajibkan semua pemaju perumahan melaksanakan konsep bina kemudian jual kepada pembeli bagi mengelak projek terbengkalai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan.
Kita akan ubah kaedah beli dan bina yang wujud sejak sekian lama. Sebenarnya konsep beli dan bina adalah salah satu model yang diamalkan di negara maju manakala sesetengah negara mengamalkan kedua-dua konsep.

Menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina," - Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Kaedah beli dan bina
“Kita sudah lakukan kajian menyeluruh dan dasar ini kita akan ubah pada 2015,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat disini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang bangun mencelah meminta penjelasan mengenai perkembangan pelaksanaan konsep bina kemudian jual seperti diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Mengulas lanjut, Chee Heung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, setakat ini ada empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi jaminan untuk melaksanakan konsep berkenaan mulai tahun depan. 
Beliau berkata, menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina.
Chee Heung berkata, sehingga kini kerajaan menyuntik dana RM117 juta untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai dan menerusi Bajet 2013, kementerian menerima peruntukan RM100 juta bagi meneruskan agenda itu.
Beliau berkata, sepanjang 2009 hingga 2012, sebanyak 178 projek perumahan diisytiharkan terbengkalai dan daripada jumlah itu, 112 projek berjaya dipulihkan, 67 projek dalam proses pemulihan dan baki sembilan projek dalam perancangan untuk dipulihkan.
Bagi Selangor contohnya, bilangan projek perumahan terbengkalai bagi tempoh berkenaan adalah 48 projek membabitkan 16,073 pembeli.
"Bagaimanapun hasil usaha gigih kerajaan, 25 projek berjaya disiapkan manakala 22 projek lagi dalam proses pemulihan," katanya.
Biaya kos 10 peratus
Bagi mengatasi masalah projek terbengkalai, beliau berkata, kerajaan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah dan syarikat pemaju perumahan yang gagal melaksana projek selain tidak mempertimbangkan permohonan lesen dan permit baru mereka.
Melalui pindaan Akta 118 lalu, tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap pemaju perumahan yang mengabaikan suatu projek perumahan atau menyebabkan suatu projek itu terbengkalai.
Kerajaan juga katanya akan menggunakan kuasa mengikut akta itu untuk memastikan tindakan menyuntik dana dalam memulihkan projek perumahan swasta tidak diambil kesempatan pemaju perumahan yang sengaja tidak menyiapkan projek mereka.
Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Chee Heung berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membiayai kos infrastruktur rumah sebanyak 10 peratus jika projek pembinaan rumah dilaksanakan menerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).
Berita disunting daripada Berita Harian

PERSEPSI SALAH TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK AES


PERSEPSI SALAH TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK AES

aes
PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.
Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.
Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.
Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.
Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.
Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.
Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.
Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.
Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.
Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.
Kesulitan hidup
Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.
Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.
Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.
Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.
Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.
Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.
Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.
Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.
Menegur pengguna
Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.
Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.
Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.
Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.
Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.
Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.
Sumber: KOSMO!