Monday, September 16, 2013

MALAYSIA NEGARA KEDUA PALING DINAMIK DI ASEAN

Indeks Dinamisme Global Grant Thornton (GDI) 2013 membariskan Malaysia sebagai negara kedua paling dinamik di ASEAN selepas Singapura.

GDI yang memasuki tahun kedua, membuat kajian dari segi dinamik ke atas 60 ekonomi terbesar dunia menerusi data ekonomi dan kaji selidik perniagaan, kata SJ Grant Thornton, ahli firma perakaunan dan perundingan Grant Thornton International. 

Setiap ekonomi dinilaikan berasaskan lima bidang utama yang dinamik bagi merumuskan markah keseluruhan. 


Singapura mencatat markah 61.9, tertinggi di ASEAN; diikuti Malaysia dengan 59.5 markah dan Thailand dengan 56.4 markah. 

Malaysia memperoleh markah kedua terbaik dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan (74) dan kewangan (60) di ASEAN bagi katagori pengembangan perniagaan.

Pengarah Urusan, SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata pada peringkat global, Malaysia menduduki kedudukan ke-13 dalam senarai GDI, meningkat 11 anak tangga berbanding tahun lalu.

“Malaysia juga menyediakan persekitaran pembiayaan yang baik apabila memperoleh markah tertinggi di ASEAN dalam akses kepada modal jangka sederhana (85),” katanya. 
Berbanding negara lain, beliau berkata, prestasi Malaysia dalam bidang utama juga semakin kukuh, seperti ekonomi dan pertumbuhan dengan menduduki tempat kelapan (73), buruh dan modal insan, tempat ke-11 (62) dan persekitaran pembiayaan dengan kedudukan di tempat ke-16 (60).

GDI menyediakan senarai daripada dinamik secara menyeluruh dan juga markah ekonomi serta rantau dalam lima kategori berasingan.

Kategori berkenaan ialah persekitaran operasi perniagaan, pertumbuhan dan ekonomi, sains dan teknologi, modal insan dan persekitaran pembiayaan.

Dengan menganalisis perubahan di setiap negara yang berjaya pulih daripada kelembapan ekonomi 2008-2009, indeks itu mencadangkan persekitaran terbaik untuk perniagaan dinamik berkembang

PENGURUSAN TABUNG HAJI TERBAIK

Makkah: Kerajaan Arab Saudi mahu negara Islam di dunia mencontohi pengurusan jemaah haji oleh kerajaan Malaysia, yang didapati teratur dan baik. 

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata pujian terhadap pengurusan haji Malaysia itu disampaikan Timbalan Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi, Hatem Qadhi. 
Dapat haji mabrur 


“Beliau sendiri telah menaiki bas untuk berjumpa dengan jemaah haji Malaysia dan memuji jemaah haji Malaysia dan berdoa supaya jemaah haji kita mendapat haji mabrur,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam. 

Sebelum itu, Syed Saleh bersama Hatem dan Pengerusi Muassasah Asia Tenggara, Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamid menyambut ketibaan 862 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Tanah Suci Makkah awal semalam. 

Kumpulan jemaah itu sebelum ini berada di Madinah selama lapan hari dan kesemua jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah memasuki Makkah secara berperingkat mulai semalam.

Tuesday, September 10, 2013

INTIPATI PPPM 2013-2025

Intipati PPPM 2013-2025:


* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan.

* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.

* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.

* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak.

* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.

* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

Suruhanjaya-Sekuriti-Malaysia
MALAYSIA dalam landasan yang terbaik untuk menghasil serta membangunkan segmen baru dalam pasaran modal patuh Syariah susulan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang itu.
Punyai rangka kerja peraturan yang tersusun
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Ranjit Ajit Singh, berkata kelebihan daya saing Malaysia adalah berikutan negara ini mempunyai rangkaian institusi lengkap seperti yang diperlukan untuk menyokong pasaran modal patuh Syariah. 
Selain itu, Malaysia juga mempunyai rangka kerja peraturan yang memudahkan (pasaran modal patuh Syariah) berkembang, insentif cukai serta ekosistem tadbir urus Syariah yang tersusun.
Malah, kita juga mempunyai perantara yang meluas, penyedia perkhidmatan yang kukuh perniagaannya serta sokongan kerajaan, katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Meletakkan Malaysia Sebagai Pasaran Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah-Dari Perspektif Pengawal Selia’ di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam syarahannya itu, Ranjit turut berkongsi perspektifnya terhadap prospek industri pengurusan kekayaan Malaysia, peranan negara dalam bidang itu serta cabaran peraturan dan kawal selia lain yang diperlukan untuk memudah cara pembangunan industri berkenaan di samping meraih peluang yang ditawarkannya.
Ranjit berkata, semua faktor sokongan yang terdapat dalam ekosistem pasaran modal patuh Syariah tempatan telah membuahkan pelbagai hasil dan salah satunya adalah Malaysia kini muncul sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, dengan merangkumi 70 peratus daripada urus niaga sukuk global semasa.
Malaysia juga, katanya sudah membentuk pasaran dana amanah Islam terbesar di dunia dengan 169 dana patuh Syariah di pasaran kini.
Setakat akhir tahun lalu, aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah di Malaysia berjumlah kira-kira RM80 bilion, meningkat daripada RM48 bilion pada 2010 yang mewakili penguasaan pasaran mengagumkan sebanyak 16 peratus.
SC mengunjurkan aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah akan meningkat kepada RM322 bilion menjelang 2020, katanya.
Beliau menegaskan, dengan adanya sekumpulan peserta yang kukuh dalam pasaran modal patuh Syariah tempatan, terdapat skop yang meluas kepada mereka untuk terus berinovasi serta mengembangkan pasaran modal Islam di negara ini.
Keperluan itu adalah bertepatan dengan sasaran untuk mewujudkan sinergi serta arah aliran pertumbuhan lebih meluas, khususnya di rantau Asia Pasifik, katanya.
Sementara itu, Ranjit berkata, pasaran modal tempatan berada dalam landasan kukuh untuk merekodkan satu lagi tahun yang cemerlang dari segi kegiatan menjana modal.
Saiz pasaran modal Malaysia setakat Julai lalu meningkat tiga kali ganda kepada RM2.5 trilion sejak 2000, merangkumi 264 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nilai sukuk dan sekuriti hutang pasaran modal tempatan pula mencecah RM1 trilion, berbanding permodalan pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.6 trilion.
Angka itu adalah menyaingi pasaran utama lain di rantau Asia Pasifik.

APLIKASI SAVEME 999 MESRA OKU

APLIKASI SAVEME 999 MESRA OKU

save999
Putrajaya: Aplikasi SaveME 999 yang dilancarkan semalam membolehkan pengguna telefon pintar terutama orang kelainan upaya (OKU) menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan (PPK) 999 jika perlukan bantuan kecemasan.
Aplikasi yang dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan ke arah memantapkan lagi pengurusan PPK 999.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pembangunan aplikasi itu menyediakan perkhidmatan inklusif kepada rakyat Malaysia termasuk OKU dan dibiaya menggunakan peruntukan RM1 bilion yang diharap dapat membantu lebih 646,000 OKU di seluruh negara terutama yang bermasalah pertuturan dan pendengaran.
Katanya, aplikasi dilengkapi pengesan Lokasi Automatik atau ‘Automatic Location Indentification’ (ALI) itu membolehkan pihak berkuasa mengesan OKU yang perlukan bantuan kecemasan menggunakan aplikasi SaveME 999 pada telefon pintar dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS).
Dimuat turun secara percuma
Aplikasi ini juga boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman www.999.gov.my, ke mana-mana telefon pintar Android versi 2.2 ke atas, iOS versi 5.0 ke atas, Blackberry versi 6.0 dan 7.0 serta Windows Phone versi 7.0 dan 8.0.
Jika berlaku kecemasan sama ada membabitkan jenayah, kebakaran, kemalangan atau bencana alam dan memerlukan bantuan perubatan, hanya perlu tekan ikon aplikasi SaveME 999 pada skrin telefon pintar dan bantuan akan dihantar secepat mungkin kerana tempat kejadian dikesan secara automatik menerusi GPS.
Sistem PPK 999 akan merakam nama, nombor telefon serta lokasi pemanggil secara automatik dan menghantarnya ke lima agensi berkaitan termasuk bomba, polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya ketika berucap pada pelancaran aplikasi itu, di sini semalam.
Shabery berkata, pelaksanaan sistem itu selaras keperluan Seksyen 192 (1): Perkhidmatan Aplikasi Dikehendaki di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang digubal bagi menyediakan perkhidmatan kecemasan secara inklusif kepada semua rakyat termasuk 450,000 OKU di Malaysia.
Katanya, PPK 999 boleh diguna pakai di sembilan negeri sebelum diperluaskan ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak tahun depan, manakala kaedah sesuai untuk orang cacat penglihatan mengguna pakai aplikasi SaveME 999 sedang dikaji SKMM dan TM.

MALAYSIA MINTA SIDANG KHAS SELESAI ISU MESIR

MALAYSIA MINTA SIDANG KHAS SELESAI ISU MESIR

 
najib-pks
Putrajaya: Malaysia menghantar surat kepada semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta diadakan persidangan khas untuk mencari penyelesaian secara aman krisis di Mesir.  Datuk Seri Najib Razak berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sudah menghantar surat berkenaan selaras ketetapan yang diambil oleh kerajaan.  Kabinet menyarankan diadakan dialog antara semua pihak (berkepentingan dalam isu Mesir) supaya proses penyatuan nasional berlaku di Mesir, sekali gus menolak penggunaan kekerasan secara berterusan” Najib Razak, Perdana Menteri
Usaha cari keamanan
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang berusaha memainkan peranan dalam usaha mencari keamanan di Mesir dan beliau menjangka akan menerima panggilan telefon daripada pemimpin negara Arab mengenai perkara itu sehari dua lagi. Mesyuarat Kabinet hari ini (semalam) pula melahirkan rasa kesal dengan penggunaan kekerasan yang keterlaluan di Mesir sehingga mengorbankan banyak nyawa, yang jika dibiarkan berterusan tanpa usaha mencari perdamaian akan membawa kepada perang saudara.
Justeru, Kabinet menyarankan diadakan dialog antara semua pihak (berkepentingan dalam isu Mesir) supaya proses penyatuan nasional berlaku di Mesir, sekali gus menolak penggunaan kekerasan secara berterusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri.
Fahami sensitiviti
Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia semakin menjadi sebuah negara Islam ortodoks berikutan tindakan terhadap pelatih anjing dan pemilik resort di Johor yang dikatakan menghina Islam, Najib menafikannya dengan alasan isu sensitif membabitkan semua agama. Justeru, amat penting rakyat secara keseluruhan memahami sensitiviti setiap masyarakat. Ini bukan membabitkan persoalan sebagai bersifat ortodoks.
Ada sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai agama, ini bukan eksklusif kepada orang Islam saja tetapi juga bukan Islam. Mereka juga mempunyai tahap sensitiviti mereka. Jadi, adalah penting untuk kita memahami sensitiviti setiap masyarakat.
Kes diselesai
Pelatih anjing itu ditahan berhubung klip video kontroversi memaparkan seorang individu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjing, manakala taraf penduduk tetap (PR) pemilik resort di Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dibatalkan serta-merta kerana tidak menghormati sensitiviti orang Islam di Malaysia.

MALAYSIA PUSAT GLOBAL, HAB INDUSTRI MULTIMEDIA

MALAYSIA PUSAT GLOBAL, HAB INDUSTRI MULTIMEDIA

cmcf
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan merangka pelbagai program di seluruh negara mulai tahun ini dalam usahanya mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat global dan hab industri isi kandungan serta multimedia. 
CMCF rangka pelbagai program pastikan kod kandungan dipatuhi
Bagi tujuan itu, CMCF yang telah ditubuhkan sejak 12 tahun lalu bagi mengawal selia peraturan di bawah Kod Kandungan Multimedia dan Komunikasi Malaysia (Kod Kandungan) akan mengadakan beberapa pameran bergerak termasuk di sekolah dalam usahanya meningkatkan tahap kesedaran peserta industri dan orang awam mengenai peranan pertubuhan itu. 
Pengerusi, Ahmad Izham Omar, berkata matlamat terdekat CMCF adalah memastikan peraturan Kod Kandungan dapat dipatuhi oleh peserta industri bagi mengelak-kan berlaku masalah yang tidak diingini pada masa depan.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima berkata, CMCF juga mahu orang awam menyedari peranan pertubuhan itu sebagai pusat rujukan jika terdapat aduan yang ingin dikemukakan berhubung isi kandungan dalam media elektronik.
Tahap kesedaran peserta dan orang awam terhadap perkara ini adalah baik, namun kami mahu meningkatkannya ke peringkat lebih tinggi dan sewajarnya.
Enam kategori
Bermula tahunini hingga ke tahun depan, CMCF akan menggerakkan pelbagai program yang turut disertai peserta industri untuk memberikan penerangan lebih menyeluruh mengenai peranan persatuan, katanya dalam satu pertemuan dengan BH.
CMCF ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya.
Ia terdiri daripada enam kategori anggota iaitu pengiklan, penyedia perkhidmatan teks audio, penyiar, kumpulan sivik, pencipta serta pengedar isi kan-dungan dan penyedia perkhidmatan akses Internet.
Sebagai pertubuhan peraturan kendiri, ia menjadikan Kod Isi Kandungan yang berdaftar pada 2004 sebagai rujukan penting kepada peserta industri mengenai beberapa peraturan yang wajar dipatuhi semasa menerbitkan bahan yang disiarkan kepada orang ramai.
Ahmad Izham berkata, sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, jumlah aduan yang diterima oleh CMCF menerusi Biro Aduan berhubung ‘salah laku’ atau bahan siaran yang tidak wajar didapati meningkat pada setiap tahun, sekali gus membuktikan semakin ramai menyedari peranannya sebagai pusat rujukan dalam industri.
Penurunan jumlah kes sedemikian bergantung kepada sejauh mana peserta dalam industri dapat mematuhi garis panduan yang disediakan dalam Kod Kandungan, katanya.
Perlu seimbang
Antara prinsip penting Kod Kandungan ialah isi kandungan sama ada berita, laporan, hiburan dan iklan, perlu seimbang antara kehendak penonton, pendengar dan pengguna yang membolehkan mereka mempunyai pilihan yang luas di samping akses kepada maklumat.
Isi kandungan yang diterbitkan itu pula mestilah memelihara undang-undang, ketenteraman dan kesusilaan.
Penerbit mestilah memastikan isi kandungan itu tidak sensitif antaranya berkelakuan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik atau mengandungi bahan atau komen yang bersifat perbezaan terhadap kaum, keturunan etnik, warna kulit, agama, umur, jantina, status perkahwinan serta kecacatan mental atau fizikal.
INFO: CMCF
* Ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya