Tuesday, November 5, 2013

148 JAWATANKUASA DITUBUH ATASI MASALAH RAKYAT

 148 JAWATANKUASA DITUBUH ATASI MASALAH RAKYAT

menteri kesejahteraan
Putrajaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan 148 Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) mulai Januari tahun depan bagi membantu mendekatkan rakyat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pelaksanaan program itu bukan saja dapat mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak, malah ia selari Bajet 2014 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu. 
Maklum isu perbandaran
JPP juga menyediakan platform rasmi kepada penduduk di bandar untuk mengutarakan masalah perbandaran dan cadangan berbincang dengan kerajaan secara lebih teratur, berstruktur dan rasmi, katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan KPKT, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Arpah Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPKT, Datuk Noriah Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Datuk Halimi Abd Manaf.
Abdul Rahman berkata, walaupun pada peringkat perbandaran kini mempunyai persatuan penduduk seperti Rukun Tetangga, tetapi sukar untuk mereka berhubung terus dengan kementerian kerana struktur itu tidak rasmi.
Bagaimanapun katanya, JPP yang ditubuhkan itu berlainan kerana ia satu struktur rasmi yang akan menjadi penghubung bagi penduduk mengutarakan pendapat atau masalah kepada kerajaan.
Katanya, bagi tujuan itu KPKT akan melantik pemimpin setempat sebagai pengerusi bagi mengetuai Jawatankuasa JPP di setiap zon.
Berita disunting daripada Berita Harian