Tuesday, April 9, 2013

MODUL LATIH GRADUAN DILANCAR



KPT
Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam melancarkan lapan 'Modul Kejurulatihan Kurikulum Berkredit' (KKB) bagi meningkatkan mutu pembelajaran, pengajaran, kemahiran tenaga pengajar dan kebolehpasaran graduan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).


Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelancaran lapan modul itu adalah antara usaha berterusan KPT untuk memastikan IPTA melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu generik iaitu kemahiran insaniah atau ‘soft skill’. 
Lapan modul itu dirangka menerusi Majlis Kukurikulum Unversiti-Universiti Malaysia (UniCC) yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohammad Shatar Sabran.
Rujhan berkata, modul itu merangkumi teras kesukarelawan, khidmat masyarakat, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam, kepemimpinan, sukan, keusahawanan serta kebudayaan.
Garis panduan
Modul ini diharap akan dijadikan garis panduan dan petunjuk seragam kepada fasilitator atau pensyarah di IPTA untuk melaksanakan program kurikulum berkredit bagi melahirkan pelajar memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.
Dalam pada itu, Rujhan berkata KPT percaya penggunaan modul itu mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan majikan di Malaysia untuk mengambil lepasan IPTA sebagai kakitangan atau pekerja mereka pada masa depan.
Berita disunting daripada Berita Harian  

SASARAN BASMI KEMISKINAN DICAPAI LEBIH AWAL



mohamedyakob2
Putrajaya: Sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 bagi mengurangkan kadar keseluruhan kemiskinan rakyat kepada dua peratus menjelang 2015 berjaya dicapai tiga tahun lebih awal dengan pencapaian 1.7 peratus tahun lalu. 

Perangkaan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) ke atas 44,000 isi rumah menunjukkan pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh iaitu pencapaian satu peratus bagi 2012 berbanding 1.7 peratus pada 2009 di bandar, manakala 3.4 peratus dan 8.4 peratus di luar bandar dalam tempoh sama. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 52.7 peratus iaitu daripada 108,000 isi rumah pada 2009 kepada 228,400 isi rumah, tahun lalu. 

Katanya, insiden kemiskinan keseluruhan sudah berkurangan dengan ketara daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus pada 2012. 

Program berkesan 

Ulas beliau, ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi dan keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan, katanya pada sidang media mengumumkan PPIR 2012 oleh Jabatan Perangkaan, di sini semalam.

Nor Mohamed berkata, Sabah mencatatkan pengurangan kadar kemiskinan yang ketara iaitu daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus dalam tempoh tiga tahun berkenaan, diikuti Perlis daripada enam peratus kepada 1.9 peratus. 
Beliau menjelaskan, peningkatan purata pendapatan isi rumah bulanan daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun lalu juga adalah menyeluruh iaitu daripada RM4,705 kepada RM5,742 bagi bandar dan RM2,545 kepada RM3,080 bagi luar bandar. 

Katanya lagi, ini adalah petanda kejayaan kerajaan menggalakkan pembinaan landasan ekonomi yang kukuh melalui pelebaran pembangunan di kawasan bandar yang menempatkan lebih 71 peratus penduduk Malaysia. 

Tambahnya lagi, pada masa sama, kerajaan tidak mengabaikan tanggungjawab menyediakan pelbagai infrastruktur dan skim untuk menjana pendapatan bagi masyarakat luar bandar, katanya.
Berita ini disunting daripada Berita Harian 

KONTRAK PERTAHANAN RM4B DIMETERAI



kontrak-pertahanan
Langkawi: Sebanyak 24 perjanjian dimeterai Kementerian Pertahanan dengan syarikat tempatan dan asing membabitkan pelbagai aset dan perkhidmatan pertahanan bernilai RM4.27 bilion, semalam.

Ia merangkumi enam dokumen kontrak dan tiga surat setuju terima (LoA) bernilai RM548.63 juta yang dimeterai dengan lapan syarikat iaitu Joint Stock Company (JSC) Aviation Holding Company Sukhoi, Rosebank Engineering Pte Ltd, Hei Tech Padu Bhd, UniKL Resources Sdn Bhd, Telekom Malaysia (TM), Penerbangan Malaysia (MAS), BHIC Aeroservices Sdn Bhd dan BHIC Defence Techservices Sdn Bhd.
Manakala 11 Memorandum Persetujuan (MoA) dan empat Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM3.72 bilion membabitkan kerajaan Pahang, Kementerian Sumber Manusia, Puncak Niaga Holdings Bhd, Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MDSTP), Persatuan Industri Marin Malaysia (AMIM) dan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd.
Majlis pemeteraian dokumen disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada hari ketiga Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi 2013 (LIMA '13), semalam.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Dr Ismail Ahmad.
Kontrak dengan Aviation Holding Company Sukhoi adalah bagi membekal komponen alat ganti, membaik pulih dan sokongan teknikal untuk jet pejuang Sukhoi SU-30MKM. 
SU-30MKM juga mendapat sokongan Hei Tech Padu yang akan menyediakan sistem bantuan latihan dipertingkatkan untuk operasi Sekolah Sistem SU-30MKM di Pangkalan Udara Gong Kedak, Terengganu.
Rosebank Engineering pula bertanggungjawab bagi komponen alat ganti, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) dan sokongan teknikal untuk jet pejuang F/A-18 Hornet, S70 Blackhawk, Sk61 Nuri dan C130 Hercules.
Antara LoA yang dimeterai ialah dengan MAS bagi perkhidmatan penerbangan catar udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, serta penerbangan antara negeri di Malaysia Timur.
Manakala BHIC Defence Techservices pula akan menyediakan perkhidmatan MRO dan pembekalan alat ganti bagi meriam Oerlikon 35mm dan radar Skyguard untuk Tentera Darat.
Antara MoA pula ialah pelantikan AMIM sebagai peneraju industri sektor pembinaan dan pembaikan kapal.
MoA dimeterai MDSTP pula membabitkan beberapa siri perjanjian berasingan merangkumi perkongsian kerjasama menerokai dan memasuki perjanjian sah bagi penubuhan dan sokongan aktiviti membabitkan pembangunan di MDSTP dengan antaranya Artimal De System Sdn Bhd, Duromac (M) Sdn Bhd, Gem Elettronica SRI, Khadra Ventures Sdn Bhd, Italian Aerospace Research Centre, IDS Ignegneria Dei Sistemi dan Vitrociset SpA.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan MoU ditandatangani antara PWN Excellence Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Ahmad Khairul Hafiez dan Weststar Aviation Services Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jen (B) Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

BMSB TERAJUI PROGRAM B10



dompok
Kerajaan menubuhkan sebuah konsortium khas dikenali sebagai Biodiesel Malaysia Sdn Bhd (BMSB) bagi mendokong Inisiatif Biodiesel Negara serta menerajui pelaksanaan Program B10.


BMSB yang akan dianggotai beberapa syarikat sawit utama negara, akan berperanan membantu menjayakan Dasar Biobahan Api Negara selain berfungsi memperluaskan penggunaan biodiesel dalam semua sektor industri di negara ini. 
Konsortium itu juga akan meneraju dan memudah cara pelaksanaan Program B10, iaitu biodiesel adunan 10 peratus minyak sawit dan 90 peratus diesel petroleum secara lebih efektif dan tersusun.
Ia juga akan mempromosikan eksport biodiesel Malaysia ke pasaran antarabangsa, khususnya benua Eropah dan Amerika.
Sokong program
Mengumumkan penubuhan konsortium itu semalam, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, sebagai permulaan, BMSB akan diterajui FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby Bhd.
Operasi BMSB akan disokong agensi kerajaan serta pihak berkaitan industri biodiesel tempatan seperti Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), PEMANDU dan syarikat petroleum tempatan.
Syarikat lain yang terbabit dalam industri ini juga turut akan ditawarkan pegangan ekuiti agar dapat sama berkongsi manfaat dan kemahiran dalam memastikan Program B10 dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berdaya saing, katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Dompok berkata, Program B10, yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan, dijangka dapat membantu meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit untuk bahan api daripada 0.5 juta tan di bawah Program B5 (iaitu adunan lima peratus minyak sawit dengan 95 peratus diesel petroleum yang dilaksanakan sejak 1 November 2011) kepada sejuta tan.
Tingkat potensi minyak sawit
Katanya, langkah itu juga akan meningkatkan potensi penggunaan minyak sawit sebagai bahan api alternatif mesra alam.
Bagi mempromosikan Program B10, Dompok berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan subsidi maksimum tahunan sebanyak RM413.6 juta bagi membiayai adunan 10 peratus minyak sawit dengan 90 peratus diesel petroleum.
Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong Program B10, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan SIRIM Bhd dan syarikat automotif untuk mempercepatkan pembangunan piawaian serta pemberian jaminan kepada enjin kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif itu.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FGV, Datuk Sabri Ahmad, menjangkakan MBSB akan memulakan operasinya pada Jun ini.
Struktur operasi serta jumlah komitmen pelaburan yang akan dibuat MBSB masih belum dimuktamadkan lagi. Struktur pemilikan ekuiti juga turut belum lengkap lagi. Cuma pada masa ini FGV akan memegang 32 peratus kepentingan manakala Sime Darby pula menguasai 20 peratus. Bakinya akan ditawarkan kepada syarikat berkaitan minyak sawit tempatan lain dalam sedikit masa lagi, katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian  

PENJAWAT AWAM KONTRAK TERIMA FAEDAH PERKESO



dr.subramaniam
Putrajaya: Kira-kira 63,000 kakitangan awam sementara dan kontrak akan menikmati pelbagai faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.


Antara faedah itu ialah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti mana dinikmati kakitangan sektor swasta. 
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kerajaan memutuskan untuk memperluaskan skim itu dengan mengambil kira kedudukan kakitangan awam sementara dan kontrak yang tidak mendapat kemudahan sebagai mana kakitangan awam tetap yang lain.
Masa depan terjamin
Kerajaan membuat keputusan itu bagi memastikan masa depan mereka terjamin, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, semalam.
Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan melindungi pekerja jika berlaku kemalangan ketika bekerja, kemalangan dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja dan penyakit khidmat.
Skim Pencen Ilat memberi perlindungan 24 jam akibat keuzuran atau penyakit selain Pencen Penakat berikutan kematian pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.
Dr Subramaniam berkata, faedah lain yang turut disediakan untuk kakitangan awam terbabit, termasuk perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan jenazah serta kemudahan pemulihan.
Daftar serta-merta
PERKESO akan ambil tindakan serta-merta mendaftarkan kakitangan awam terbabit baik yang berkhidmat di agensi persekutuan, negeri atau badan berkanun kerajaan, katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan majikan yang memohon lanjutan masa untuk melaksanakan umur persaraan pekerja swasta kepada 60 tahun, beliau berkata, majikan yang mahu memohon penangguhan boleh melakukannya sehingga 30 April ini.
Bagaimanapun, kerajaan akan meneliti dan melihat sebab serta asas permohonan setiap majikan sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya, katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian