Tuesday, April 9, 2013

BMSB TERAJUI PROGRAM B10



dompok
Kerajaan menubuhkan sebuah konsortium khas dikenali sebagai Biodiesel Malaysia Sdn Bhd (BMSB) bagi mendokong Inisiatif Biodiesel Negara serta menerajui pelaksanaan Program B10.


BMSB yang akan dianggotai beberapa syarikat sawit utama negara, akan berperanan membantu menjayakan Dasar Biobahan Api Negara selain berfungsi memperluaskan penggunaan biodiesel dalam semua sektor industri di negara ini. 
Konsortium itu juga akan meneraju dan memudah cara pelaksanaan Program B10, iaitu biodiesel adunan 10 peratus minyak sawit dan 90 peratus diesel petroleum secara lebih efektif dan tersusun.
Ia juga akan mempromosikan eksport biodiesel Malaysia ke pasaran antarabangsa, khususnya benua Eropah dan Amerika.
Sokong program
Mengumumkan penubuhan konsortium itu semalam, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, sebagai permulaan, BMSB akan diterajui FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby Bhd.
Operasi BMSB akan disokong agensi kerajaan serta pihak berkaitan industri biodiesel tempatan seperti Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), PEMANDU dan syarikat petroleum tempatan.
Syarikat lain yang terbabit dalam industri ini juga turut akan ditawarkan pegangan ekuiti agar dapat sama berkongsi manfaat dan kemahiran dalam memastikan Program B10 dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berdaya saing, katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Dompok berkata, Program B10, yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan, dijangka dapat membantu meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit untuk bahan api daripada 0.5 juta tan di bawah Program B5 (iaitu adunan lima peratus minyak sawit dengan 95 peratus diesel petroleum yang dilaksanakan sejak 1 November 2011) kepada sejuta tan.
Tingkat potensi minyak sawit
Katanya, langkah itu juga akan meningkatkan potensi penggunaan minyak sawit sebagai bahan api alternatif mesra alam.
Bagi mempromosikan Program B10, Dompok berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan subsidi maksimum tahunan sebanyak RM413.6 juta bagi membiayai adunan 10 peratus minyak sawit dengan 90 peratus diesel petroleum.
Selain itu, beliau berkata, bagi menyokong Program B10, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan SIRIM Bhd dan syarikat automotif untuk mempercepatkan pembangunan piawaian serta pemberian jaminan kepada enjin kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif itu.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan Ketua Eksekutif FGV, Datuk Sabri Ahmad, menjangkakan MBSB akan memulakan operasinya pada Jun ini.
Struktur operasi serta jumlah komitmen pelaburan yang akan dibuat MBSB masih belum dimuktamadkan lagi. Struktur pemilikan ekuiti juga turut belum lengkap lagi. Cuma pada masa ini FGV akan memegang 32 peratus kepentingan manakala Sime Darby pula menguasai 20 peratus. Bakinya akan ditawarkan kepada syarikat berkaitan minyak sawit tempatan lain dalam sedikit masa lagi, katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian  

No comments:

Post a Comment