Tuesday, April 9, 2013

PENJAWAT AWAM KONTRAK TERIMA FAEDAH PERKESO



dr.subramaniam
Putrajaya: Kira-kira 63,000 kakitangan awam sementara dan kontrak akan menikmati pelbagai faedah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.


Antara faedah itu ialah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti mana dinikmati kakitangan sektor swasta. 
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata kerajaan memutuskan untuk memperluaskan skim itu dengan mengambil kira kedudukan kakitangan awam sementara dan kontrak yang tidak mendapat kemudahan sebagai mana kakitangan awam tetap yang lain.
Masa depan terjamin
Kerajaan membuat keputusan itu bagi memastikan masa depan mereka terjamin, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, semalam.
Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan melindungi pekerja jika berlaku kemalangan ketika bekerja, kemalangan dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja dan penyakit khidmat.
Skim Pencen Ilat memberi perlindungan 24 jam akibat keuzuran atau penyakit selain Pencen Penakat berikutan kematian pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.
Dr Subramaniam berkata, faedah lain yang turut disediakan untuk kakitangan awam terbabit, termasuk perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan jenazah serta kemudahan pemulihan.
Daftar serta-merta
PERKESO akan ambil tindakan serta-merta mendaftarkan kakitangan awam terbabit baik yang berkhidmat di agensi persekutuan, negeri atau badan berkanun kerajaan, katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan majikan yang memohon lanjutan masa untuk melaksanakan umur persaraan pekerja swasta kepada 60 tahun, beliau berkata, majikan yang mahu memohon penangguhan boleh melakukannya sehingga 30 April ini.
Bagaimanapun, kerajaan akan meneliti dan melihat sebab serta asas permohonan setiap majikan sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya, katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian  

No comments:

Post a Comment