Thursday, January 10, 2013

SEKTOR AWAM MESTI SEALIRAN



muhyiddin
Kuala Lumpur: Sektor awam perlu memainkan peranan sama penting dengan sektor swasta bagi memastikan kejayaan kempen penjenamaan negara.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sektor awam perlu bergerak sealiran dengan perkembangan semasa serta sejajar permintaan pasaran. Dalam usaha memastikan sektor awam kita mencapai kecemerlangan dan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan, ia perlu berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup perbincangan ilmiah The Razak Rountable bertemakan Mewujudkan Kuasa Jenama Untuk Negara dan Syarikat di sini, semalam. The Razak Roundtable yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama The Razak School of Government, KPJ Healthcare Bhd dan University of Oxford. Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, ketika prestasi syarikat diukur berdasarkan keuntungan yang dicatat, penilaian terhadap prestasi negara pula mungkin memerlukan lebih daripada jumlah Keluaran Negara Kasar dan tidak mengabaikan tadbir urus.
Katanya, tadbir urus yang baik bukan hanya penting untuk menarik pelaburan, meningkatkan eksport negara dan menggalakkan pelancongan, tetapi yang lebih penting ialah melahirkan modal insan berkualiti. Apa yang lebih penting ialah kualiti tadbir urus yang diberikan kepada rakyat mereka. Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, Malaysia mencatat prestasi cemerlang dengan melonjak tujuh anak tangga dalam Indeks Jenama Negara (CBI) FutureBrand pada November tahun lalu dengan menduduki tempat ke-36 daripada 118 negara dan menduduki senarai tiga teratas dalam senarai jangkaan jenama negara kuasa besar untuk masa akan datang.
Beliau berkata, mengikut FutureBrand, kedudukan Malaysia di tangga ketiga dalam senarai 15 Masa hadapan itu antara lain disebabkan kekuatan ekonomi, perubahan, tadbir urus, modal insan, pertumbuhan, kemampanan dan pengaruh yang dimiliki. Laporan sama turut menegaskan bahawa dimensi kualiti kehidupan mewakili keupayaan negara untuk menawarkan pekerjaan yang menguntungkan. 
Selain rumah mampu milik dan selesa, akses terhadap pelajaran yang berdaya saing, penjagaan kesihatan mencukupi dan keselamatan untuk rakyat, katanya.

No comments:

Post a Comment