Sunday, September 30, 2012

INTIPATI BUDGET


KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat hari ini.
Tema Belanjawan 2013 ialah "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".
   
* Peruntukan RM251.6 bilion bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan.
   
* RM201.9 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi peruntukkan pembangunan.
   
* RM58.6 bilion diperuntukkan bagi Emolumen dan RM33.7 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan.
* RM30 bilion diperuntukkan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar
   
* RM11.1 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.
   
* RM4.6 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM2 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. 
   
* Kerajaan akan terus memperhebat pelaksanaan 12 Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) negara.
       
* RM3 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Projek Permulaan, termasuk RM1.5 bilion bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi.
* RM500 juta diperuntukkan bagi projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang, RM300 juta untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembetungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.
   
* RM358 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014.
  
* Lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama tiga tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun.
   
*  Memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. RM5.8 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
   
* RM30 juta diperuntukkan bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan bekalan benih berkualiti, kestabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian.
* RM75 juta bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan.
   
* RM432 juta disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit di bawah NKEA sektor perladangan.
   
* RM127 juta disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran.
   
* Empat kawasan jelapang padi baru dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pertambahan seluas 19,000 hektar dengan penyertaan 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104,000 tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak RM140 juta. 
   
* RM230 juta diperuntukkan sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Pada masa ini kerajaan memberi elaun sara hidup RM200 sebulan kepada nelayan, menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi hasil tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insuran nelayan.
* RM2.4 bilion diperuntukkan bagi pemberian subsidi dan intensif pertanian. Bantuan ini termasuk RM480 juta bagi subsidi dan insentif padi yang merangkumi pemberian subsidi harga padi, RM465 juta pemberian subsidi baja padi, RM80 juta insentif peningkatan hasil padi, RM563 juta insentif pengeluaran harga padi, RM528 juta subsidi harga beras dan RM85 juta subsidi benih padi sah.
   
* Memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar, yang dapat memanfaatkan 172,000 pesawah. Buat permulaan kerajaan memperuntukkan RM50 juta.
       
* RM41 juta diperuntukkan bagi projek Azam Tani bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta keluar daripada garis kemiskinan.
   
* RM38.7 diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.
   
* Peruntukkan tambahan RM500 juta bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matermatik melalui pendekatan "Higher Order Thinking Skills".
* Tambahan RM1 bilion lagi kepada Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
   
* RM1.2 bilion diperuntukkan bagi pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional.
   
* Peruntukkan RM380 juta disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah.
   
* Kerajaan mencadangkan geran pelancaran RM10,000 kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat.
   
* Potongan cukai dua kali akan diberi kepada majikan yang menyediakan elaun atau subsidi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan.
* Pengecualiaan cukai pendapatan untuk tempoh lima tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha prasekolah swasta.
   
* Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska Orang Kurang Upaya (OKU) bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi sindrom down, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.
   
* RM3.7 bilion diperuntukkan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
   
* RM200 juta diperuntukkan untuk penubuhan "Graduate Employability Taskforce" untuk memperkukuhkan kebolehpasaran graduan.
   
* Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Skim Latihan 1Malaysia. Galakan mula diberi 1 Jun 2012 sehingga 2016.
* RM400 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi
memberi pinjaman untuk dimanfaatkan hampir 40,000 pelatih di peringkat Sijil
Kemahiran Malaysia tahap satu hingga lima.   
   
* RM50 juta diperuntukkan untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran.
   
* Seramai 1.4 juta anggota Perkeso boleh menjalani pemeriksaan kesihatan percuma di hospital kerajaan atau klinik panel Perkeso.
   
* Pelarasan pencen pesara kerajaan dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 berkuatkuasa 1 Jan 2012.
       
* Pengurangan caj bayaran pasport sebanyak 50 peratus daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh sah laku lima tahun bagi warga emas dan kanak-kanak.
   
* Kelayakan masuk bagi pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar, kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan diploma.

* Pemberian sumbangan RM1,000 secara "one-off" kepada bekas tentera yang bersara kurang daripada 21 perkhidmatan serta tidak berpencen. Seramai 224,000 bekas tentera akan mendapat manfaat.
* Bahagian Pinjaman Perumahan akan disusun semula di mana panel bank komersial
dilantik untuk menguruskan pinjaman berkuat kuasa Jan 2013, manakala wang proses
bagi permohonan ditetapkan pada kadar RM100.
   
*RM591 juta diperuntukkan bagi mengurangkan kadar jenayah termasuk menambah bilangan anggota polis, menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal, meningkatkan jumlah anggota pasukan sukarewalan polis dan menambah pemasangan kamera litar tertutup.
   
* Menambah peruntukan geran Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan sebanyak RM20 juta.
   
* Memberi geran RM10,000 kepada persatuan penduduk untuk menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan dan memperuntukkan RM90 juta untuk menyediakan seragam kepada anggota Rela yang aktif.
   
* RM276 diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membanteras rasuah selain menambah 150 perjawatan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota.
* Kerajaan akan menubuhkan "National Strategic Coordination Unit" untuk
merancang dan menyelaras Program Transformasi Bandar dan Program Transformasi
Luar Bandar.
   
* Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diwujudkan di Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, manakala lima RTC diwujudkan di Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.
   
* RM4.5 bilion diperuntukkan bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar meliputi pembinaan 441 kilometer jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, projek infrastruktur utiliti, Program Desa Lestari, program pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli serta membekalkan 40,000 tangki air di kawasan pedalam Sabah dan Sarawak.
   
* RM19.3 bilion diperuntukkan bagi perkhidmatan dan pembangunan kesihatan. RM20 juta untuk membuka tambahan 70 Klinik 1Malaysia, yang akan turut
menyediakan perkhidmatan ujian kolestrol dan glukosa serta ujian air kencing.
   
* RM50 juta diperuntukkan untuk program pembangunan wanita dan masyarakat termasuk melatih 500 wanita di bawah Program Pengarah Wanita, meningkatkan Program Inkubator Keusahawan Ibu Tunggal, pemberian geran RM1,000 untuk "Program Get Malaysian Business Online" dan pemeriksaan percuma ujian Mamogram.
* RM1.2 bilion diperuntukkan untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) yang meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja Orang Kurang Upaya serta bantuan penyakit kronik.
   
* RM400 juta diperuntukkan untuk program Akhiri Zaman Miskin (1AZAM) yang dijangka memanfaatkan 58,330 peserta.
   
* Menambah enam pusat Anjung Singgah dan mewujudkan lima Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh.
   
* RM738 juta Ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. RM15 juta diperuntukkan bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa, RM50 juta lagi untuk tempoh empat tahun khusus untuk persiapan Sukan Olimpik Rio 2016.
   
* Tahun 2013 diisytiharkan sebagai Tahun Kesukarelawan Nasional.
   
* RM50 juta diperuntukkan bagi mewujudkan "New Entrepreneur Foundation" untuk membantu usahawan muda dalam bidang ICT dan RM50 juta lagi untuk mewujudkan "Young Entrepreneur Fund".
   
* Memberi rebat RM200 secara "one-off" bagi pembelian satu unit telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun.
       
* RM6 juta diperuntukkan sebagi bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan seni yang berdaftar.
* RM1.9 bilion diperuntukkan bagi membina 123,000 unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik merangkumi rumah yang dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Jabatan Perumahan Negara.
   
* Had pendapatan peminjam perseorangan bagi Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan, manakala had pendapatan bersama suami isteri RM10,000.
   
* Melaksanakan pemberian pusingan kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia juga diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan.
   
* Pengurangan subsidi gula 20 sen sekilogram mulai 29 Sept 2012 dan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.
   
* RM386 juta diperuntukkan bagi membuka 57 Kedai Rakyat 1Malaysia dan menanggung kos pengangkutan produk dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
   
* Diskaun 50 peratus ke atas tambang penumpang feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak serta diskaun 50 peratus ke atas tambang feri bagi kenderaan komersial mengangkut barang keperluan dan binaan ke Labuan.

* Pencarum KWSP dibenarkan membuat pengeluaran di Akaun 2 bagi jemaah muassasah untuk menampung kekurangan kos tambang dengan had pengeluaran RM3,000.
   
* Kadar cukai pendapatan individu diturunkan satu peratus bagi kumpulan berpendapatan bercukai tahunan melebihi RM2,500 hingga RM50,000.
* Pengusaha bas sekolah yang membeli bas baru untuk mengantikan bas yang berusia lebih 25 tahun akan diberi rebat tunai RM10,000 dan subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman.

* Skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit dengan had maksimum perlindungan RM100,000.

* RM2.6 bilion diperuntukkan bagi program kebajikan pelajar sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah merangkumi bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan.

* Program bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah diteruskan mulai Jan 2013 dengan peruntukan RM540 juta.

* Meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan pra-universiti dan nilai baucar dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.

* Pelepasan cukai bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM6,000.

* Diskaun 20 peratus bagi peminjam yang menyelesaikan sekali gus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), manakala peminjam yang membayar pinjaman secara konsisten akan menikmati diskaun 10 peratus setahun.

* 100 Pusat Internet 1Malaysia akan diwujudkan di kawasan perumahan rakyat bagi tempoh 2013 hingga 2015 dengan peruntukan RM150 juta.

* Tambahan bonus sebulan gaji bagi penjawat awam yang mana bayaran pertama akan dibuat pada Dis 2012, manakala sebulan lagi pada Jan 2013 dan bayaran RM500 kepada pesara kerajaan.

- Bernama

DASAR DALAM NEGARA

NOTA DASAR SOSIAL DAN PENTADBIRAN

Monday, September 24, 2012

BANGUNAN PINTAR


Oleh Azmi Ibrahim
Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) berjaya membangunkan bangunan berkonsepkan teknologi hijau, Platinum Sentral, yang turut menerima pengiktirafan sebagai bangunan pertama menerima pengiktirafan Platinum Hijau di Malaysia mengikut standard BCA Green Mark (Singapore) dan memenuhi piawaian Indeks Bangunan Hijau (Malaysia) pada Mei lalu. Platinum Sentral, yang terletak di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), dibangunkan dengan nilai pelaburan kasar (GDV) mencecah RM650 juta. Bangunan tersebut memuatkan ruang pejabat dan perniagaan yang separuh daripadanya dimiliki SME Corp.
Dalam majlis perasmian Platinum Sentral di Kuala Lumpur, pada 26 Mei lalu pengerusinya, Tan Sri Azlan Zainol, menjelaskan bahawa projek Platinum Sentral merupakan bangunan Lot E yang dibangunkan mengikut perancangan pelan pembangunan MRCB.
Platinum Sentral juga merupakan bangunan pertama di Malaysia yang menggunakan inisiatif urbanisasi perkhidmatan Smart + Connected Real Estate (S+CRE) oleh Cisco dengan menawarkan beberapa aspek teknologi, meliputi pengumpulan data, video, sistem bangunan, kawasan, dan keselamatan serta teknologi automasi bangunan canggih.
“Saya percaya penggunaan sistem S+CRE di dalam Platinum Sentral menunjukkan bahawa kami sudah bersedia memperkenalkan model perniagaan baharu yang lebih kompetitif untuk bersaing dalam pasaran hartanah di Malaysia,” ujar Azlan.
Tambah beliau, kebanyakan bangunan di Malaysia hanya menawarkan tiga utiliti, iaitu bekalan elektrik, air dan gas. Perkhidmatan utiliti keempat, iaitu sistem S+CRE membolehkan MRCB merobah pembangunan hartanah ke arah yang lebih sistematik, moden, canggih dan hijau.
Tidak dinafikan bahawa sebahagian rakyat Malaysia masih janggal dengan perkataan bangunan hijau. Di Singapura, dalam tempoh 10 tahun lalu, pembinaan bangunan hijau menjadi keutamaan pihak pemaju hartanah. Sehingga 2008, sebanyak 80 peratus bangunan di Singapura dibina berdasarkan konsep bangunan hijau. Hal ini sekali gus menarik perhatian pasaran, khususnya dalam kalangan pelabur asing.
Bangunan hijau ialah bangunan yang mempraktikkan kepentingan alam semula jadi, bermula daripada lakaran pembinaan, operasi, selenggara sehingga peringkat pengubahsuaian. Teknologi hijau dibangunkan untuk mengurangkan kesan kepesatan pembangunan terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. Lantaran itu, bangunan hijau memberikan tumpuan terhadap kecekapan penggunaan tenaga, air dan bahan mentah.

DARAH BABI DALAM ROKOK



Australia : Seperti yang kita tahu, rokok boleh mendatangkan pelbagai penyakit dan mudarat terhadap kesihatan tubuh kita. Dan atas dasar itu ada mufti yang mengharamkannya. Namun penemuan terbaru membuktikan rokok itu memang haram bukan hanya kerana kemudaratan kesihatan sebaliknya kajian yang dilakukan oleh seorang Profesor di Sydney, Simon Chapman mendapati penapis rokok mengandungi darah babi. 


Dalam kajian tersebut didapati 185 bahan yang berasaskan babi digunakan dalam industri termasuklah pengunaan hemoglobin dalam "Penapis Rokok". Kajian tersebut selari dengan kajian yang dijalankan oleh pihak Belanda yang mendapati hemoglobin dari babi digunakan dalam pemprosesan beberapa penapis rokok. Oleh itu fikir-fikirkanlah . . .

Sumber / AL ISLAM Okt 2012

MANUSIA BERJIRAN DENGAN SAMPAH


Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman
Dunia bakal tenggelam dengan timbunan sampah sarap yang dihasilkan sendiri oleh tangan manusia! Masakan tidak, lihat saja situasi pada hari ini, sampah sarap setiap hari bertambah jumlahnya. Manusia pula sering menuding jari dan meletakkan bebanan tersebut kepada pihak berwajib.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika Syarikat (AS) menghasilkan kira-kira 220 juta tan sampah setiap tahun. Hal ini bersamaan dengan menanam lebih 82 ribu padang bola jika dipadatkan!
Percaya atau tidak, penduduk AS membuang sampah kira-kira enam hingga lapan kilogram setiap hari. Jika hal yang sama dilakukan oleh penduduk dunia, purata pengeluaran sampah setiap hari kira-kira 10 juta tan. Jumlah penduduk AS ialah kira-kira empat peratus daripada penduduk dunia.
Jika diperhatikan di negara yang mempunyai populasi penduduk terbanyak di dunia, seperti China, walaupun negara tersebut memiliki kira-kira 1.3 bilion orang penduduk, kadar pengeluaran sampah di negara Tembok Besar itu sekitar 300 juta tan setahun berdasarkan kajian Nie Yongfeng, pakar pengurusan sisa di Universiti Tsinghua, Beijing.
Yang menariknya pula, United Kingdom (UK) secara puratanya mengeluarkan lebih daripada 434 juta tan bahan buangan setiap tahun. Jika dihitung, sampah itu mampu memenuhi ruang Royal Albert Hall di London dengan tempoh kurang daripada dua jam.
Secara purata, setiap individu di UK membuang sampah tujuh kali berat badan mereka, iaitu 500 kilogram sampah setiap tahun. Pada 2001, isi rumah di UK menghasilkan berat sampah bersamaan dengan 245 buah pesawat jet jumbo seminggu dalam sisa pembungkusan. Selain itu, setiap tahun sebanyak setengah bilion beg plastik diedarkan di pasar raya di seluruh UK. Hal ini bersamaan dengan lebih 290 beg bagi setiap individu di UK.
Malaysia tidak ketinggalan bakal tenggelam dengan longgokan sampah sarap jika tidak ditangani dengan baik. Menurut Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, pembuangan sampah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa serta kurangnya kesedaran daripada masyarakat tentang permasalahan ini.
Jelasnya lagi, Malaysia menggunakan kira-kira lapan bilion penggunaan beg plastik dalam tempoh setahun. Dalam sehari terdapat kira-kira 30 ribu tan sampah dibuang ke tapak pelupusan sampah di seluruh negara. Hal ini bersamaan dengan kira-kira 1.5 kilogram sampah dibuang setiap hari oleh penduduk di bandar dan 0.8 kilogram penduduk luar bandar.
Ketika ini, sebanyak 114 daripada 290 buah tapak pelupusan sampah di seluruh negara berada dalam keadaan yang cukup tenat. Lebih malang lagi, hanya tujuh buah tapak pelupusan sampah di negara ini merupakan tapak pelupusan mesra alam.
Dengan populasi penduduk di negara ini yang bertambah saban tahun, khususnya pembuangan sampah yang tidak bersistematik dan kurangnya kesedaran untuk melakukan kitar semula, berkemungkinan besar negara bakal berhadapan dengan pencemaran yang cukup dahsyat.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Mei 2011, penduduk dunia akan bertambah daripada tujuh bilion orang pada 2011 kepada 9.3 bilion orang menjelang 2050 dan 10.1 bilion orang pada 2100.
Persoalannya, dengan pertambahan penduduk dunia setiap tahun, adakah peningkatan pembuangan sampah di seluruh dunia juga meningkat? Jangan sampai jumlah sampah di dunia lebih tinggi sehingga mampu melemaskan penduduk bumi!

Sunday, September 23, 2012

FUNGSI BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN


Oleh ROHAIDAH MASHUDI dan J. SHAM WAHID
Apabila Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini mewajibkan kesemua 65 ribu orang pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, kalangan pejuang bahasa menganggapnya sebagai langkah meletakkan semula kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pengajian tinggi di negara ini.
Dengan mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di negara ini bolehlah mereka memahami budaya setempat dengan lebih baik dan sekali gus mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa.
Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.
Malah dalam Laporan Rahman Talib 1960, kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

AJARAN SESAT ANCAMAN UMAT ISLAM



Oleh Aninah Janang
Pukul 11.00 malam, cahaya suram menerangi sekumpulan kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 10 tahun. Mereka berdiri dalam satu bulatan kecil di sebuah rumah yang tidak bernombor di Gombak, Selangor. Di hadapan mereka, seorang lelaki berkulit gelap, berusia 30-an, memegang mikrofon dan sekeping kertas berwarna putih. Di luar bulatan kumpulan kanak-kanak tersebut, kelihatan puluhan orang lelaki dan wanita dewasa berdiri sambil memerhati kumpulan kanak-kanak berkenaan.
Dalam suasana sunyi sepi, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara seorang lelaki menyanyikan lagu yang memuji-muji nama beberapa orang individu yang tidak dikenali. Selang beberapa rangkap lelaki berkulit gelap itu mendendangkan lagu tersebut, kumpulan kanak-kanak tersebut serentak menyanyikan lirik yang sama, seperti yang dinyanyikan oleh lelaki terbabit. Mereka bersahut-sahutan.
Semakin lama suara mereka semakin nyaring kedengaran. Kanak-kanak tersebut terkinja-kinja mengikut alunan lagu. Setiap bait lirik lagu yang dilafazkan diiringi dengan aksi melompat sambil menampar dengan kuat bahagian bahu dan dada mereka menggunakan telapak tangan masing-masing, iaitu tangan kiri menepuk dada kanan dan tangan kanan menampar dada kiri. Tamparan itu menghasilkan bunyi yang kuat dan menggamatkan.
Semakin lama, bunyi tamparan itu semakin kuat dan kanak-kanak tersebut seperti dirasuk kerana menjerit tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Menyaksikan keadaan itu, penyanyi tersebut mengulang kembali rangkap lagu berkenaan berpuluh-puluh kali sehingga penonton yang menyaksikan upacara berkenaan asyik dan turut menyanyi serta menampar tubuh mereka.
Peluh mula membasahi tubuh kumpulan kanak-kanak tersebut. Namun begitu, tiada siapa yang mampu menghentikan “keseronokan” luar biasa yang dialami mereka. Penyanyi terbabit meneruskan upacara tersebut tanpa mempedulikan keadaan kanak-kanak terbabit.
Persoalannya, tidakkah mereka berasa sakit? Mengapakah kanak-kanak tersebut berkelakuan pelik sehingga sanggup menyakiti tubuh sendiri?
“Mereka percaya dengan memukul tubuh badan sendiri, diri mereka dapat disucikan daripada dosa. Kebiasaannya upacara ini dilakukan sempena 10 Muharam pada setiap tahun,” jelas Zulhelmi Yatim kepada penulis ketika menyerahkan rakaman video satu daripada kumpulan ajaran sesat persatuan bukan kerajaan (NGO) yang menyebarkan fahaman Syiah di negara ini.
Zulhelmi Yatim, 49 tahun, yang merupakan pendakwah bebas bergerak aktif sejak 20 tahun lalu di sekitar Selangor. Beliau menjelaskan bahawa NGO terbabit ditubuhkan sejak 15 tahun lalu dan kini masih beroperasi meskipun beberapa kali program mereka diharamkan dan banyak pengikut serta pemimpin mereka ditahan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Begitu pun, NGO terbabit tidak pernah mengaku kalah. Mereka bangkit menentang undang-undang dan membina rangkaian yang luas. Yang lebih mengejutkan, sehingga kini NGO terbabit berjaya mengumpul lebih daripada 100 ribu orang ahli di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, 40 ribu orang ahli dipercayai berada di sekitar Selangor yang menjadi kubu kuat NGO tersebut.
Menurut Zulhelmi Yatim, NGO terbabit terkenal dengan fahaman Syiah yang ekstrem dengan menghalalkan nikah mutaah, menambah nama Sayidina Ali ketika mengucap dua kalimah syahadah, menolak jimak ulama, mempercayai bahawa sesiapa yang menziarahi kubu Sayidina Husain mendapat ganjaran dari syurga, menyeksa tubuh badan dengan rantai sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak dalam semua keadaan tanpa sebab, mengkafirkan sahabat Nabi Muhammad SAW, menyanjung Sayidina Ali secara keterlaluan, menghina isteri-isteri Nabi Muhammad SAW, dan menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Meskipun undang-undang di negara ini jelas menolak Syiah, kebanyakan mereka percaya bahawa mereka berada di jalan yang benar,” ujar Zulhelmi Yatim.
Syiah ialah salah satu mazhab terbesar dalam Islam selepas Sunni. Jika diteliti, terdapat beberapa aliran Syiah, antaranya Syiah Imam Dua Belas (merangkumi 90 peratus penduduk di Iran dan sebahagian besar penduduk Iraq), al-Kaisaniyyah, al-Zaidiyah, Imamiyyah, al-Ghulat, Ismailiyah dan Syiah Imam Bertujuh. Daripada aliran tersebut, terdapat aliran Syiah yang ekstrem.
Di Malaysia,mazhab Syiah ditolak berdasarkan peruntukan undang-undang. Hal ini demikian kerana terdapat cabang Syiah yang diamalkan oleh segelintir umat Islam dilihat cenderung kepada keganasan. Senario tersebut dibimbing mampu mengancam keselamatan negara, seperti yang berlaku di Iraq, Afganistan, dan Pakistan yang menyaksikan pertumpahan darah antara penganut Syiah dengan Sunni.
Begitu pun, ajaran Syiah yang ekstrem bukanlah satu-satunya ajaran sesat di negara ini. Terdapat banyak ajaran sesat yang mengancam umat Islam. “Ajaran sesat di negara ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan,” ujar Zulhelmi Yatim kepada penulis.
Beliau menambah banyak pengamal ajaran sesat yang beroperasi di negara ini “bertopengkan” amalan perubatan Islam, perniagaan yang berasaskan Islam, rumah kebajikan, dan pusat pengajian Islam.
Sejauh manakah kebenaran dakwaan tersebut? Zulhelmi Yatim mengajak penulis mengunjungi sebuah rumah yang mengamalkan ajaran sesat dengan berselindung di sebalik pengamal perubatan Islam.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Masyarakat Julai 2012

Wednesday, September 19, 2012

KETUA AUDIT NEGARA


KETUA AUDIT NEGARA


*        dilantik oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
*        boleh dilantik semula tetapi tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam perkhidmatan Persekutuan atau negeri dalam masa yang sama.
*         boleh dipecat oleh Yang di Pertuan Agong atas syor tribunal.
*        peruntukan saraan Ketua Audit dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.



Fungsi Ketua Audit Negara

*        mengaudit akaun-akaun Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.
*        menghantar laporan kepada Yang di Pertuan Agong.
*        laporan tentang akaun-akaun sesuatu negeri yang diberi oleh undang-undang negeri hendaklah dihantar kepada sultan atau Yang di Pertua Negeri. 

JABATAN PERDANA MENTERI


KEMENTRIAN DAN AGENSI KERAJAAN
Jabatan Perdana Menteri (JPM)
Objektif.
*      Menyelaras dan mengurusetaikan mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri.
·         Masyuarat Mingguan Jemaah Menteri,
·         Mesyuarat Menteri Besar, dan melaksanakan keputusan masyuarat tersebut.
*      Merancang,merumus dan menyelaras segla dasar dan matlamat Negara untuk pelaksanaan dan pencapaian matlamat dasar-dasar kerajaan.
*      Menentukan segala pentadbiran kerajaan, penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan, pemodenan organisasi kerajaan, istiadat dan protokol, hal ehwal agama islam serta pengurusan personel.
*      Mengandalikan persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia – melaksanakan mengikut dasar dan peraturan-peraturan yang ditentukan dari semasa ke semasa.

Fungsi.
*      Mengawas dan menyelaras semua polisi kerajaan serta implementasinya.
*      Menyelia serta menyelaras semua aktiviti bahagian-bahagian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
*      Menyediakan khidmat urusetia kepada beberapa jawatankuasa cabinet dan jawatankuasa kebangsaan.
*      Menyelaras dan mengawal semua polisi kerajaan serta cara pelaksanaannya.
*      JPN juga menguruskan kerja
·         Majlis Perancangan Negara,
·         Majlis Pembangunan Negara,
·         Majlis Keselamatan Negara,
·         Majlis tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan,
·         Majlis Perundingan Ekonomi Negara.

SURUHANJAYA


SURUHANJAYA

                                                
v                         Suruhanjaya ialah suatu badan yang terdiri daripada beberapa     orang yang dilantik oleh kerajaan untuk melakukan tugas tertentu.
v                         Penubuhan suruhanjaya membolehkan pentadbiran hal ehwal awam dijalankan dengan baik, teratur dan saksama.
v                         Suruhanjaya ialah bebas dan tidak dipengaruhi parti politik.
                                                                                                                      
       TUJUAN PENUBUHAN
v                         Membolehkan sesuatu pentadbiran yang berkaitan hal ehwal awam dilaksanakan dengan baik dan betul .
v                         Mengkaji dan menyelidik sesuatu objektif agar sesuatu objektif dapat dilaksanakan dengan berkesan.
v                         Memastikan kesaksamaan dalam pelantikan ke jawatan tetap , pengesahan , pertukaran , menjalankan kawalan tatatertib , kenaikan pangkat , pencen kakitangan kerajaan.

·    Ahli Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tidak boleh dilantik sebagai ahli sesuatu suruhanjaya .

KERAJAAN TEMPATAN


KERAJAAN TEMPATAN 

TUGAS-TUGAS UTAMA KERAJAAN TEMPATAN
  • ·         MEMBERI PERKHIDMATAN PEMBERSIHAN LNOGKANG DAN SAMPAH
  • ·         MENGENAKAN KOMPAUN TERHADAP PENJAJA YAANG MEMBUANG SAMPAH
  • ·         MENGAWAL, MENYEWA DAN MENGURUS GERAI MAKAN, PASAR, PASAR MALAM
  • ·         MENJAGA KEINDAHAN KAWASAN DAN MENYEDIAKAN KEMUDAHAN REKREASI SEPERTI KOLAM RENANG, GEMNESIUM DAN TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK
  • ·         MENAMAKAN JALAN DAN LORONG DI TAMAN PERUMAHAN
  • ·         MEMBINA LAMPUH TRAFIK, PONDOK MENUNGGU BASS, DAN TEMPAT LETAK KERETA
  • ·         MENGUTIP CUKAI TAKSIRAN HARTA, CUKAI PINTU, BAYARAN PERKHIDMATAN DAN SEWA GERAI KEPUNYAAN KERAJAAN TEMPATAN
  • ·         MENGELUARKAN LESEN KEDAI MAKAN, LESEN PENJAJAH, LESEN UNTUK PESTA, LESEN PUSAT HIBURAN DAN SEBAGAINYA
  • ·         MENGUBAL UNDANG-UNDANG KECIL UNTUK SESUATU KAWASAN DAN DIKUATKUASAKAN SETELAH DISETUJUHI OLEH KERAJAN NEGERI ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN
  • ·         MENUBUHKAN KUMPULAN WANG PIHAK BERKUASA TEMPATAN DAN MENGAWAL AKAUN TERSEBUT TETAPI BELANJAWAN TAHUNANNYA MESTI MENDAPAT KELULUSAN KERAJAAN NEGERI
  • ·         MENERIMA DAN MELAKSANAKAN ARAHAN-ARAHAN KERAJAAN NEGERI
  • ·         MENYELARASKAN DASAR-DASARNYA MENGIKUT DASAR-DASAR KERAJAAN PERSEKUTUAN\MENGIKUT ARAHAN-ARAHAN MAJLIS NEGARA BAGI KERAJAAN TEMPATAN

JENIS KERAJAAN


KERAJAAN PERSEKUTUAN

Bidang kuasa Kerajaan Persekutuaan
1.      Dari segi pemerintahan, terdapat pembahagiaan kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan Negeri.
2.      Bidang kuasa kerajaan Persekutuan(Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan Malaysia) dibahagikan kepada:
            a) Senarai Persekutuan
            b) Senarai Negeri
            c) Senarai Bersama
3.      Pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuaan dengan Kerajaan Negeri dapat mengelakkan pertindihan kerja dan memudahkan kawalan atas unit-unit pentadbiran.
4.      Kerajaan Persekutuaan mempunyai kuasa mentadbir perkara-perkara yang termaktub dalam senarai persekutuaan dan senarai bersama .
5.      Bagi senarai bersama,jikalau terdapat percanggahan antara undang-undang negeri dengan kerajaan persekutuan,maka undang-undang kerajaan persekutuaan yang digunakan.
6.      Pada amnya, system pentadbiran yang diamalkan di Negara ini ialah Demokrasi Berparlimen.




Rajah 4.2:Sistem Pentadbiran Kerajaan Persekutuaan Malaysia