Sunday, October 7, 2012

PROGRAM DIGITAL MALAYSIA



mdec
PELAKSANAAN Program Digital Malaysia yang bertujuan memacu negara menjadi ekonomi digital maju dalam tempoh lapan tahun adalah mengikut jadual dan mencapai kemajuan memberangsangkan.

Lapan projek program itu yang dikenal pasti dilaksanakan dalam tempoh sasaran sudah berlangsung dan berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan yang mana menjelang akhir tahun depan dianggarkan mampu menyumbang kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) terkumpul berjumlah RM270.75 juta.
Projek itu ialah hab ‘e-fulfilment’ Asia, perkhidmatan e-Pembayaran bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), perkhidmatan perusahaan perkongsian awam, sumber mikro untuk menjana pendapatan, dan e-Dagang untuk memacu perdagangan antarabangsa.

Tiga lagi ialah pembelajaran secara dalam talian yang direka khas mengikut permintaan, pembangunan industri sistem teras, dan Dompet Digital Mudah Alih.
Multimedia Development Corporation (MDeC) yang ditugaskan menerajui Program Digital Malaysia itu berkata, berdasarkan laporan kemajuan yang dikemukakan kepada jawatankuasa pemandu Digital Malaysia pada Selasa lalu, lapan projek berkenaan juga telah merekodkan komitmen pelaburan sebanyak RM187.47 juta daripada sektor swasta.
Katanya, Jawatankuasa pemandu juga turut menerima laporan mengenai kemajuan yang dicapai dalam pelaksanaan Akaun Satelit ICT (ICTSA) oleh Kementerian Kewangan menerusi kerjasamanya dengan MDeC, Jabatan Perangkaan (DoS) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

ICTSA adalah petunjuk yang digunakan bagi mengukur kesan limpahan sektor ICT dalam ekonomi domestik.
Penubuhannya juga tepat pada masanya kerana ia akan memberi gambaran dan data terperinci mengenai ICT dan e-Perdagangan, iaitu dua komponen asas dalam Program Digital Malaysia bagi menjayakan pelaksanaan projek sepanjang lapan tahun itu.
Ketua Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali berkata, walaupun pelaksanaan projek berkenaan berupaya memacu pembangunan dengan adanya ketersediaan infrastruktur yang betul, sistem serta pembabitan rakan kongsi, namun ia tidak akan mencapai sasaran utama iaitu meningkatkan GNI negara, produktiviti dan taraf hidup jika tanpa pembabitan kumpulan sasar.

No comments:

Post a Comment