Sunday, November 4, 2012

PERSEPSI SALAH TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK AES


PERSEPSI SALAH TERHADAP SISTEM PENGUATKUASAAN AUTOMATIK AES

aes
PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.
Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.
Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.
Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.
Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.
Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.
Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.
Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.
Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.
Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.
Kesulitan hidup
Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.
Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.
Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.
Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.
Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.
Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.
Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.
Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.
Menegur pengguna
Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.
Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.
Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.
Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.
Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.
Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.
Sumber: KOSMO!

No comments:

Post a Comment