Wednesday, October 2, 2013

SITUASI EKONOMI AMERIKA

KUALA LUMPUR: Pada tahun 2009, satu situasi berlaku di Malaysia di mana bajet tahun 2010 hampir sahaja tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran ahli parlimen.

Pada hari ini di Amerika Syarikat pula, presiden Barack Obama dikatakan terpaksa melalui situasi hampir sama ekoran Dewan Rendah negara itu yang dikuasai wakil parti Republikan tidak menyokong pelan kesihatan kerajaan yang digelar Obamacare.

Dalam satu diskusi Agenda Awani pada Selasa, dua penganalisis iaitu Felo Utama KITA, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr K S Nathan dan Pengerusi Yayasan RIGHTS Yusmadi Yusoff sama-sama melihat situasi ini tidak akan berlarutan.

Yusmadi turut berkata pebezaan ini menunjukkan kematangan demokrasi Amerika Syarikat.

“Demokrasi berterusan sehinggalah di dewan perwakilan. Sekiranya parlimen Malaysia sampai demokrasi matang sampai begitu, rakyat akan tahu setiap sen dibelanjakan mesti melalui pemimpin yang dipilih, mereka juga akan menggagalkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.”

“Saya rasa ini memberi mesej politik kepada rakyat bahawa mereka ada hak demokrasi.”

                                      

Sementara itu, Nathan berkata kepentingan politik jelas satu pertimbangan dalam hal ini dan berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, parti politik Republikan akan dipersalahkan.

“Saya rasa tidak begitu benar bahawa kebanyakkan rakyat tidak menyokong Obamacare. Kalau mereka tidak sokong, saya rasa Obama tidak akan membentangkannya.

“Republikan tidak mahu sekiranya rancangan Obamacare berjaya Demokrat akanmen jadi parti yang popular. Boleh dikatakan, kepentingan politik turutdiambil kira (dalam hal ini).”

                                      

Fakta penting operasi terhenti AS:

- Telah berlaku 18 kali sejak 1976

- Kali terakhir 17 tahun lalu (terakhir pada 1995 semasa pentadbiran Bill Clinton, iaitu 21 hari)

- 800,000 pekerja terjejas & tidak menerima bayaran

- Kerugian ekonomi sehingga 50 bilion dolar

TRANFORMASI SPRM

KUALA LUMPUR: Menjejak kaki ke dalam bilik rakaman berkamera video (VIR) di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaikan melangkah ke dalam sebuah set filem.

Bilik itu dilengkapi dua kamera video untuk merekod secara langsung segala percakapan dan perlakuan suspek bersama pegawai penyiasat SPRM.

Proses rakaman dilakukan menggunakan alat rakaman canggih dalam keadaan selesa tanpa sebarang tekanan ke atas saksi.

Dalam temubual dengan saksi, pegawai penyiasat akan duduk bertentangan merekodkan segala keterangan saksi. Skrin monitor menghadap saksi di mana ia boleh dibaca dengan jelas untuk mengelak sebarang manipulasi keterangan.

Langkah itu antara kaedah bagi menunjukkan kepada masyarakat ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan.

bilik rakaman berkamera video (VIR).

Menurut Idris Zaharuddin, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, ia antara penambahbaikan ketara dilakukan SPRM sejak kes kematian mendiang Teoh Beng Hock pada 2009, selain memastikan keselamatan saksi atau suspek hingga selesai perbicaraan.

Adalah menjadi harapannya bahawa dengan kemudahan VIR di semua pejabat SPRM ia sekaligus dapat menangkis tohmahan yang sering dilemparkan kepada agensi itu, berkaitan penderaan, paksaan, dorongan dan ugutan terhadap saksi atau suspek semasa proses siasatan dijalankan.

"Sebelum ini bilik rakam percakapan orang kena tuduh (OKT), suspek dan saksi SPRM dalam keadaan  tidak selesa yang boleh timbul perasaan tidak puas hati di pihak dirakam."

"Jadi apabila kita sedia VIR, setakat ini statistik menunjukkan kalau dulu banyak tohmahan dan aduan yang diterima berhubung pegawai suara kasar lantang tapi kini tidak dan kita lihat tuduhan dan tohmahan berkurangan dengan drastik sekali."

Idris menarik perhatian kamera dalam bilik berkenaan juga boleh merakam sesi temubual dalam keadaan gelap menggunakan cahaya "infra-red" sekiranya timbul aduan atau tohmahan bahawa lampu bilik sengaja ditutup bagi menakut-nakutkan saksi.

"Cermin panjang juga membolehkan semua individu dalam bilik dilihat dengan ketara dalam kamera. Ia bertujuan menghilangkan semua sisi terlindung atau "blind spot" dalam bilik ini. Jadi tiada siapa yang boleh mendakwa sekiranya terdapat lebih daripada seorang pegawai penyiasat dalam bilik rakaman." katanya lagi.

Rakaman dibuat dalam 3 salinan berasingan yang akan disimpan oleh saksi, pegawai penyiasat dan satu lagi salinan sebagai dokumen yang akan dikemukakan di mahkamah.

Pendekatan itu bertujuan mencegah sebarang aktiviti suntingan atau manipulasi terhadap percakapan saksi yang dirakamkan.

Suruhanjaya itu bakal membina 10 lagi bilik VIR menjelang akhir tahun ini menjadikan sejumlah 48 kemudahan canggih itu disediakan di semua ibu pejabat SPRM seluruh negara.

Dalam pada itu turut diwujudkan, bilik gerakan operasi siasatan (BGOS) yang menekankan kepada penyiasatan secara berpasukan.

Ia juga merupakan penambahbaikkan dalam proses transformasi operasi siasatan dikendalikan SPRM.

Menurut Ketua Bahagian Forensik SPRM, Datuk I.G. Chandran pendekatan itu terbukti dapat memendekkan tempoh penyiasatan selain meningkatkan kualiti serta keberkesanan siasatan.

"Pegawai-pegawai SPRM yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran akan digabungkan dalam satu kumpulan untuk berkongsi idea dan mengambil tindakan mengumpul keterangan ke atas penyiasatan kes secara berpasukan. Ini merupakan kaedah yang lebih sistematik dan terancang yang berupaya menyelesaikan kelewatan atau kebuntuan siasatan."

Selepas 46 tahun ditubuhkan, SPRM kini membuka dimensi baru bagi agensi itu dengan fokus utama memastikan pelaksanaan undang-undang terhadap kes rasuah ditangani sebaik mungkin.

Pengarah siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali melihat aspek itu penting dalam usaha memperbaiki persepsi  masyarakat mengenai usaha memerangi rasuah di negara ini.

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 315 tangkapan dibuat ke atas salah laku rasuah.

Hasil transformasi dan penambahbaik operasi dan penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan SPRM, ia mula menampakkan hasil positif.

"Kita nampak statistik perlihatkan sabitan di mahkamah meningkat daripada dulu 75 peratus kepada 85 sekarang. Ini memperlihatkan penyiasatan yang lebih kukuh dari aspek penguatkuasaan dan di mahkamah juga."

Bagaimanapun jelas Mustafar biarpun setiap kes siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan sebaliknya pelucutan hak harta, namun SPRM memberi jaminan kes-kes berprofil tinggi akan dikendalidengan sebaiknya.

"Masyarakat lihat apa hasil kerja kita. Setiap tahun, 1300-1400 kertas penyiasatan terbuka dijalankan tetapi masyarakat juga selalu memberi tumpuan kepada kes besar berprofil tinggi dan kes-kes berkepentingan awam."

Tegas Mustafar, suruhanjaya itu juga tidak membuat pendakwaan berpilih dalam sebarang tindakannya.

"Sama ada "ikan jerung" mahupun "ikan bilis" yang terlibat dalam salah laku rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada muka pengadilan."

Ditubuhkan sebagai Badan Pencegah Rasuah pada 1967, kemudian diubah kepada SPRM pada 2009, suruhanjaya itu baru menyambut ulang tahunnya yang ke-46 pada 1 Oktober lalu.

RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN JENAYAH 2013 DILULUSKAN

KUALA LUMPUR: Setelah bersidang sehingga jam dihentikan pada pukul 11.59 malam, Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 (Pindaan dan Pemerluasan) yang menyaksikan kuasa menahan tanpa bicara dikembalikan akhirnya diluluskan pada pukul 12.53 pagi.

Rang undang-undang yang diluluskan itu juga telah menolak beberapa Fasal yang diusulkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Perbahasan pindaan Rang Undang-Undang ini mendapat perhatian ekoran tindakan ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang berusaha untuk menolak pindaan yang dibuat.

Alasan yang diberikan, pindaan ini merupakan cubaan untuk menghidupkan kembali undang-undang tahanan tanpa bicara selepas dihapuskan ketika akta yang sama dipinda pada 2012.

Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) pula menyokong pindaan ini atas alasan keselamatan dan mengembalikan kuasa polis yang didakwa 'hilang taring' selepas pindaan dibuat pada 2012.

Awal minggu ini beberapa  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyatakan bantahan mereka terhadap pindaan rang undang-undang ini dengan mengadakan demonstrasi aman di hadapan pintu masuk parlimen.

Mereka juga turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbahasan pindaan peringkat dasar berlarutan hingga lewat petang dan ia diluluskan dengan undi belah bahagian dengan 115 menyokong manakala 66 undi menolak untuk rang undang-undang tersebut dibacakan kali kedua.

Hampir kesemua ahli parlimen BN hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum undi belah bahagian dijalankan.

Sesi perbahasan kecoh beberapa kali apabila ada antara ahli parlimen yang cuba mengukuhkan hujah mereka dengan membuat dakwaan tertentu.

Antaranya ahli parlimen Batu, Tian Chua yang mendakwa anggota polis diperalatkan untuk membunuh.

"Ada masanya anggota polis diperalatkan untuk melakukan pembunuhan," katanya.

Dakwaan Tian Chua itu bagaimanapun disangkal oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Ahmad Zahid turut menyindir Tian Chua dengan mengatakan anggota polis tidak diperalatkan untuk membunuh sebaliknya digigit telinga.

"Tuduhan itu melampau, anggota polis tidak diperalatkan tetapi dizalimi dengan digigit telinga," katanya ketika menggulung perbahasan.

Sementara ahli parlimen Gombak, Azmin Ali pula dalam perbahasannya menegaskan rang undang-undang yang diluluskan itu akan turut dimusuhi oleh pemimpin dan ahli UMNO yang menyokongnya sekarang.

Bagaimanapun, hujah Azmin dinafikan ahli-ahli parlimen BN antaranya anggota parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden dan anggota parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Ketika menggulung perbahasan,  Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa rang undang-undang akan menjaga hak asasi manusia.

Sebelum diluluskan untuk bacaan kali ketiga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah membawakan usul 'memberhentikan jam' untuk membolehkan perbahasan diteruskan melepasi pukul 12 tengah malam.

"Tuan Yang Dipertua, menurut arahan 90 (2), saya mencadangkan usul untuk menghentikan perintah Arahan Tetap 12 bagi membenarkan mesyuarat menyelesaikan semua perkara yang harus diselesaikan hari ini," katanya.

Sebaik saja usul tersebut disokong, jam di Dewan Rakyat dihentikan tepat jam 11.59 malam dan perbahasan diteruskan sehingga usul Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 dibacakan kali ketiga seterusnya diluluskan pada pukul 12.53 pagi.

Arahan Tetap 12 menyatakan setiap sidang Dewan Rakyat dibenarkan bersidang hingga mencecah tempoh 5.30 pagi bagi melengkapkan perbahasan pada hari tersebut.

Arahan Tetap 12 ini pernah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada 2012 dan 1977.

Berita mula diterbitkan pada: Oktober 03, 2013 06:10 (MYT)
Tag: Rang Undang-Undang, Pencegahan, Jenayah, 2013, Zahid Hamidi, parlimen