Tuesday, March 31, 2015

BANK DUNIA :KEPELBAGAIAN EKONOMI MALAYSIA MAMPU TAMPUNG IMPAK HARGA MINYAK


minyak
KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi Malaysia yang pelbagai, bukan sahaja menyediakan penampan yang baik, malah mampu menampung dan mengehadkan impak susulan kejatuhan harga minyak, kata Bank Dunia. 
Ahli ekonomi kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Frederico Gil Sander berkata impak daripada kelemahan harga minyak juga diimbangi menerusi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan, selain penambahan hasil daripada cukai lain yang tiada kaitan dengan minyak dan gas (O&G).
Sudah semestinya kejatuhan harga minyak akan memberi cabaran, namun ia dapat ditangani dengan lebih baik berbanding negara lain yang sumber minyaknya menyumbang 95 peratus kepada hasil kerajaan, katanya kepada Bernama.
Bank Dunia menjangkakan purata harga minyak tahun ini pada paras AS$75setong, susut 25 peratus daripada antara AS$97 dan AS$100 setong, tahun lalu.
Sudah bertahun-tahun lamanya pergantungan kerajaan kepada hasil O&G semakin berkurangan dan matlamatnya angka itu akan diturunkan kurang daripada 30 peratus.
Pada 2011, hasil Malaysia daripada petroleum sebanyak 35.8 peratus daripada jumlah pendapatan dan dikurangkan kepada 33.7 peratus pada 2012 dan 31.2 peratus pada 2013.
Berikutan harga minyak mentah yang rendah, kerajaan memutuskan untuk memyerahkan kuasa pasaran untuk menentukan harga bahan api pengguna menerusi sistem apungan terurus yang diumumkan setiap bulan.
Bagi Januari, RON95 dan RON97 masing-masing turun 35 sen kepada RM1.91 dan RM2.11 seliter dan diesel turun 30 sen kepada RM1.93 seliter.
Gil Sander berkata, sistem apungan terurus yang akhirnya akan memansuhkan subsidi bahan api, membantu bajet kerajaan memandangkan ia menjimatkan RM10.7 bilion.
Sistem baharu itu juga baik untuk alam sekitar memandangkan subsidi merangsang penggunaan tenaga secara berlebihan, yang menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi.
Memandangkan sistem apungan terurus hanya membabitkan turun naik harga dalam jangka pendek dan tidak membabitkan susidi, ia adalah langkah yang disambut baik, katanya.
Walaupun pengguna menikmati harga bahan api yang lebih rendah hasil daripada pelaksanaan sistem apungan terurus, harga minyak dunia yang rendah memberi kesan ke atas ringgit.
Namun, Gil Sander berkata masih ada 'cahaya di hujung terowong' memandangkan ringgit akan meningkatkan eksport dan mengurangkan insentif ke atas import memandangkan barangan import menjadi lebih mahal menggunakan ringgit, dengan kedua-duanya membantu akaun semasa negara.
Mengenai sama ada kejatuhan harga minyak dunia mengurangkan daya tarikannya kepada pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "FDI ditarik hasil daripada dasar makroekonomi yang baik, faktor yang dimiliki Malaysia, selain persekitaran perniagaan yang disediakan, satu lagi aspek yang memihak kepada Malaysia."
Beliau berkata, berdasarkan dasar fiskal, penyediaan bajet mengikut perspektif jangka sederhana akan meningkatkan kredibiliti dasar, seperti penyediaan bajet kementerian-kementerian untuk beberapa tahun ke hadapan.
Berita disunting daripada Berita Harian  

No comments:

Post a Comment