Sunday, March 29, 2015

MALAYSIA KONGSI KEBIMBANGAN MAJLIS KESELAMATAN PBB BERHUBUNG SERANGAN PENGGANAS

MALAYSIA KONGSI KEBIMBANGAN MAJLIS KESELAMATAN PBB BERHUBUNG SERANGAN PENGGANAS

United Nations
KUALA LUMPUR: Malaysia berkongsi kebimbangan dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berhubung peningkatan ketara serangan pengganas di seluruh dunia.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB , Datuk Hussein Haniff, berkata Malaysia juga amat bimbang dengan peningkatan konflik bersenjata dan keganasan yang berlaku dalam beberapa situasi di seluruh dunia.
Kami kecewa kerana majlis tidak mampu mencapai persetujuan dalam menangani situasi yang semakin meruncing di Yaman. Pada masa sama, situasi kemanusiaan yang semakin merosot di beberapa kawasan konflik, termasuk Palestin, Syria dan Ukraine, terus menjadi keutamaan dalam agenda majlis.
Apa yang menggusarkan adalah majlis kekal berbeza pendapat berhubung situasi itu kata beliau dalam taklimat Majlis Keselamatan bagi Pelaksanaan Nota Oleh Presiden Majlis Keselamatan di New York. Teks ucapan beliau dihantar kepada BERNAMA hari ini.
Sesi itu dipengerusikan oleh Wakil Tetap Chile ke PBB, Cristian Barros Melet yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB bagi bulan ini.
Hussein berkata, Malaysia selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, berharap anggota majlis akan terus berusaha ke arah merapatkan jurang perbezaan pendapat itu bagi melaksanakan tanggungjawabnya seperti termaktub dalam Piagam PBB. Malaysia mengulangi komitmennya untuk berusaha ke arah itu.
Berhubung cara kerja, Hussein berkata Malaysia memuji langkah majlis yang terus menggunakan teknologi, termasuk menerusi penggunaan kemudahan telepersidangan video, untuk berhubung dan berinteraksi dengan wakil PBB di lapangan.
Malaysia juga mengambil perhatian bahawa dalam banyak keadaan, majlis telah memberi respons segera untuk menangani situasi tertentu yang berlaku, termasuk menerusi pengeluaran kenyataan media dan percaya reaksi segera oleh majlis merupakan ciri penting dalam tugasnya dan patut diteruskan.
Hussein berkata, Malaysia memuji Chile yang menganjurkan tiga debat terbuka semasa menjadi presiden, bertajuk "Situasi di Timur Tengah", "Pembangunan Inklusif dan Pengekalan Keamanan dan Keselamatan Antarabangsa" dan Perlindungan Orang Awam."
Sementara itu, Malaysia turut mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada delegasi China susulan bakal menjadi presiden Majlis Keselamatan, jawatan yang dipegang secara bergilir dalam kalangan anggota bagi penggal sebulan.
Malaysia juga akan bekerjasama erat dengan China dan semua anggota majlis dalam usaha mencapai matlamat dan objektif bersama katanya.
Berita disunting daripada Berita Harian 

No comments:

Post a Comment