Sunday, June 29, 2014

200 PASAR TANI 'MY BEST BUY' DIWUJUD

200 PASAR TANI 'MY BEST BUY' DIWUJUD

pasartani
Putrajaya: Sebanyak 200 pasar tani ‘My Best Buy’ berskala sederhana akan diwujudkan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata antara kawasan yang menjadi tumpuan termasuk kementerian, jabatan dan kuarters kerajaan, selain Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi lebih kemudahan kepada penjawat awam serta golongan berpendapatan rendah.
Katanya, sehingga kini, 45 pasar tani itu yang beroperasi dua kali sebulan diwujudkan di kementerian dan kawasan perumahan, yang memberi penjimatan harga antara lima hingga 20 peratus.
Kita akan luaskan lagi program ini supaya penghuni PPR di bandar dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dapat menikmati tawaran yang diberikan.
Ini adalah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan), katanya selepas merasmikan Pasar Tani@Agro, Jabatan Perdana Menteri di Blok B, JPM, di sini semalam.
Berita disunting daripada Berita Harian

PERKUKUH INISIATIF PERKASA BUMIPUTERA

PERKUKUH INISIATIF PERKASA BUMIPUTERA

logo-pnb
Permodalan Nasional Bhd (PNB) menggesa syarikat dalam kumpulannya, terutama Syarikat Penerima Pelaburan, untuk melaksanakan nisbah pembayaran dividen sekurang-kurangnya 75 peratus setahun.
Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata ketika tahun 2020 semakin menghampiri, kerajaan telah meningkatkan agenda Bumiputera ke tahap lebih tinggi, menjadikannya sebagai Agenda Nasional.
Sehubungan itu, Syarikat Penerima Pelaburan Strategik perlu melaksana dan mengukuhkan inisiatif pemerkasaan Bumiputera mereka,katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Korporat PNB di Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Ahmad Sarji berkata pendapatan dividen amat penting kepada PNB, yang bergantung kepadanya untuk membentuk asas bagi mengisytiharkan pulangan menarik kepada pemegang unit saham amanahnya.
83.6 peratus Bumiputera
PNB kini adalah pengurus bagi 12 produk saham amanahnya, dilanggan oleh 12 juta pemegang unit dengan 190.2 bilion unit dalam edaran. Daripada jumlah unit itu, 83.6 peratus dimiliki Bumiputera dan selebihnya bukan Bumiputera. 
Aset di bawah pengurusan, termasuk dana pemilikannya, kini bernilai RM271 bilion, menguasai 15.6 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia.
Berita disunting daripada Berita Harian

JAKIM MAHU KUASA PENUH AKTA HALAL

JAKIM MAHU KUASA PENUH AKTA HALAL

jakim2
Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yakin pemantauan dan penguatkuasaan pensijilan halal di negara ini akan lebih berkesan apabila agensi itu diberi kuasa penuh melalui Akta Halal yang bakal digubal tidak lama lagi.
Pengenalan akta itu nanti bukan bermakna Akta Perihal Dagangan yang ada kini tidak berkesan, sebaliknya ia memperkemaskan lagi peranan JAKIM dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang melalui enakmen baharu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata draf akta itu sudah digubal oleh jawatankuasa khas yang dilantik jabatan berkenaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
Dapat sijil terlebih dulu “Akta Halal akan memastikan semua produk yang masuk negara ini mendapat pensijilan halal terlebih dulu, bukan saja makanan, produk farmasi atau kosmetik, tetapi diperluaskan lagi.
Sekarang kita hanya guna Akta Perihal Dagangan yang memperuntukkan denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan, tapi melalui akta baharu nanti, dendanya lebih tinggi.
Berita disunting daripada Berita Harian

U-CUSTOMS ATASI KETIRISAN HASIL NEGARA

U-CUSTOMS ATASI KETIRISAN HASIL NEGARA

jabatan kastam
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menambah jumlah mesin pengimbas kargo daripada 16 kepada 31 melalui pelaksanaan sistem elektronik ‘Ubiquitous Customs’ atau U-Customs, yang mula beroperasi sepenuhnya menjelang Januari 2016.
Menerusi sistem itu, semua kargo atau kontena yang melalui pintu masuk negara, sama ada pelabuhan atau lapangan terbang akan diimbas menggunakan mesin pengimbas ‘pandu-lalu’ sejajar dengan pelaksanaan U-Customs, yang bertujuan memantapkan fasiliti perdagangan dan prosedur perkastaman secara menyeluruh.
Pelaksanaan sistem elektronik yang meminimumkan ‘campur tangan manusia’ itu juga sejajar dengan peningkatan dagangan negara, selain bertujuan mengurangkan ketirisan hasil.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, b erkata U- Customs akan menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SMK) yang diguna pakai Kastam sejak 20 tahun lalu.
Tingkat fasiliti dagangan
Katanya, U-Customs bukan hanya menumpukan kepada peningkatan fasiliti dagangan seperti penambahan jumlah mesin pengimbas, tetapi membabitkan pembangunan sistem pengurusan risiko, pengawasan keluar masuk dan modul bayaran cukai secara dalam talian.
Khazali optimis pelaksanaan sistem itu yang sejajar hasrat negara menjadi negara maju menjelang 2020 akan meningkatkan hasil kutipan Kastam selain memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.
Berita disunting daripada Berita Harian  

EKONOMI MALAYSIA DI ZON SELAMAT: IDRIS

EKONOMI MALAYSIA DI ZON SELAMAT: IDRIS

idris-jala
Ekonomi Malaysia berkembang baik dengan nisbah perkhidmatan hutang semasa terus menyederhana dan mapan pada 10.7 peratus, dan kini menuju ke zon selamat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
Beliau menjawab artikel yang ditulis oleh William Pesek bertajuk “Is Malaysia Asia‘s Weakest Link” dalam Bloomberg View, bahagian editorial Bloomberg pada 5 Jun lalu, dengan kolumnis mempersoalkan sama ada ekonomi Malaysia akan tumbang selepas Oxford Economics meletakkan Malaysia sebagai negara paling berisiko dalam kajiannya.
Sejak empat tahun lalu, berdasarkan hutang awam dalam peratusan kepada KDNK kekal di bawah siling hutang sebanyak 55 peratus, dan memenuhi sasaran pengurangan defisit fiskal, pada 2013 Malaysia membuat langkah pertamanya ke zon selamat, katanya.
Zon Selamat
Idris berkata,Kumpulan Perunding Boston membangunkan matriks untuk menentukan fiskal 'Zon Selamat' bagi negara, dengan satu paksi memaparkan hutang awam sebagai peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan satu lagi memaparkan lebihan fiskal atau defisit sebagai peratusan KDNK.
Zon selamat dicapai jika peratusan daripada KDNK menunjukkan hutang awam kurang daripada 75 peratus dan defisit pada empat peratus atau kurang, manakala zon bahaya apabila hutang awam menyamai atau melebihi KDNK dan defisit sebanyak lapan peratus dan ke atas.
Berita disunting daripada Berita Harian

KLIA2 MERCU KEJAYAAN NEGARA

KLIA2 MERCU KEJAYAAN NEGARA

KLIA2-1
Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kedua (klia2) adalah mercu tanda pencapaian negara dalam industri penerbangan dan menjadi kebanggaan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri juga yakin klia2 akan menjadi pemangkin kepada perkembangan berterusan dalam industri penerbangan yang penuh cabaran.
Beliau menerima banyak komen dan ‘tweet’ di laman sosial daripada orang ramai termasuk rakyat tempatan serta asing yang mengucapkan tahniah kepada Malaysia, selain memuji keindahan terminal ini.
Penanda aras global
Bagi Datuk Seri Najib Razak, klia2 adalah contoh kemampuan kita sebagai sebuah negara, bukan dengan hanya kemampuan membina infrastruktur bertaraf dunia, malah menjadi penanda aras global dalam pembinaan terminal seumpamanya pada masa akan datang.
klia2 juga meletakkan Malaysia dalam peta dunia khususnya dalam sektor penerbangan dan pelancongan.
Ia kebanggaan kerana pembangunan klia2 menjadi tanda perkembangan dan kepemimpinan kita dalam industri penerbangan bukan sahaja di rantau ini, malah juga di dunia,” katanya ketika merasmikan Terminal klia2, di sini, semalam.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi. Yang hadir sama Pengerusi Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali dan Penasihat serta bekas Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad.
Najib berkata, klia2 juga dijangka dapat menampung keperluan perkembangan industri penerbangan negara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi.
25 juta penumpang 2014
Terminal mega ini berupaya mengendalikan 45 juta penumpang setahun, lebih tiga kali ganda berbanding Terminal Tambang Murah (LCCT). Berdasarkan sasaran pengendalian penumpang bagi tahun ini, klia2 dijangka menerima 25 juta penumpang sehingga hujung tahun ini, katanya.
Beliau berkata sebagai infrastruktur ikonik, klia2 juga mampu membantu menarik lebih ramai pelancong dengan membantu kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.
Berita disunting daripada Berita Harian  

PENTADBIRAN DIPERKUKUH: PM

PENTADBIRAN DIPERKUKUH: PM


kabinet
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam menambah anggota Kabinetnya dengan melantik tiga menteri penuh iaitu dua daripada MCA dan satu GERAKAN selain tiga timbalan menteri baharu mewakili MCA.
Perdana Menteri berkata, pelantikan itu bagi mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga Naib Presiden MCA iaitu Senator Datuk Lee Chee Leong dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Situasi luar biasa
Najib berkata, beliau sedar saiz Kabinetnya lebih besar berbanding dulu, tetapi keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana situasi agak luar biasa.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan akan diadakan pada jam 11.30 pagi esok di Istana Negara.
Najib berkata, pelantikan itu selaras dengan Perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hormati keputusan parti
Seperti kita sedia maklum, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang kurang memberangsangkan menyaksikan buat kali pertama tiada wakil masyarakat Cina daripada MCA dilantik Menteri Persekutuan, sebagai menghormati keputusan parti itu yang tidak mahu wakil mereka dilantik menganggotai Kabinet.
Namun, keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA baru-baru ini yang mahu wakil parti itu dilantik dalam Kabinet. Kerajaan mengambil kira hasrat itu demi mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan baharu itu di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Mengenai kekosongan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio hal ehwal kaum India berikutan peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P Waythamoorthy, pada 10 Februari lalu, Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada keperluan mengisi kekosongan itu.
Najib berkata, penambahan Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan dibuat kerana secara tradisi memang ada wakil daripada parti komponen dengan tugas tertentu.
Misalnya, bila kita mahu laksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kita perlu berhubungan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakannya diusahakan masyarakat Cina, katanya.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu berhubung dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Cina serta masyarakat bukan Melayu, sekali gus memerlukan seorang Timbalan Menteri berbangsa Cina bagi menyelesaikan kehendak dan tuntutan untuk dipertimbangkan kerajaan.
Mengulas pelantikan Siew Keong pula, Najib berkata, itu adalah kuota dijanjikan kepada Presiden GERAKAN terbabit yang menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, pada 31 Mei lalu.

Berita disunting daripada Berita Harian

‘KURANGKAN AKTIVITI LUAR KETIKA JEREBU’

‘KURANGKAN AKTIVITI LUAR KETIKA JEREBU’


 jerebu---2
Kuala Lumpur: Semua klinik kesihatan awam diarah bersedia menghadapi peningkatan pesakit susulan pencemaran udara di sekitar Lembah Klang yang semakin buruk akibat jerebu.
Indeks pencemaran udara (IPU) semalam menunjukkan lapan kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat lebih 100, iaitu Putrajaya (112), Banting (108), Pelabuhan Klang (107), Shah Alam (106), Cheras (106), Nilai (104) serta Petaling Jaya dan Batu Muda, masing-masing 103, manakala 32 lagi kawasan mencatatkan kualiti sederhana kurang 100.
Guna Pelindung Pernafasan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata semua klinik kesihatan juga sudah diarah memastikan bekalan ubat dan peralatan berkaitan, termasuk penutup hidung dan mulut mencukupi, manakala rakyat pula diminta mengurangkan aktiviti di luar rumah atau memakai pelindung pernafasan jika terpaksa keluar. Semua langkah itu perlu bagi mengelak penyakit berkaitan jerebu, iaitu jangkitan saluran pernafasan (URTI), asma dan sakit mata.
Di Shah Alam, Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Priscilla Alfred, berkata cuaca panas menyebabkan kadar penggunaan air setiap individu di Lembah Klang meningkat antara dua hingga lima peratus sehari daripada purata 213 liter sedia ada.
Penggunaan Meningkat
Setakat ini, ada dua hingga lima peratus peningkatan dalam penggunaan air di Lembah Klang dengan purata 225 hingga 300 liter digunakan seorang individu sehari sejak cuaca panas dan kering melanda negara. Keadaan itu juga mungkin menyebabkan gangguan air atau masalah tekanan air rendah di sesetengah kawasan.
Bercakap selepas Program Santai Kelab Briged Penyelamat Sungai Puncak Niaga (BPS) di Taman Botani Negara semalam, beliau berkata, SYABAS sudah menyediakan 66 lori tangki yang setiap satu mampu membawa 600 gelen air untuk disalurkan kepada pengguna di kawasan terjejas, selain menyediakan notis pemberitahuan melalui laman webnya.
Berita Disunting Daripada : Berita Harian

I-KAD URUS PELAJAR ASING

I-KAD URUS PELAJAR ASING

muhyiddin
Petaling Jaya: Penggunaan Kad Pelajar Antarabangsa di Malaysia (ikad) adalah langkah strategik bagi menambah baik pengurusan pelajar asing di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri berkata, kad yang memiliki ciri keselamatan khas itu menunjukkan tanggungjawab kerajaan terhadap kehendak dan kebajikan pelajar antarabangsa di negara ini.
Katanya, kad dikeluarkan Jabatan Imigresen melalui Pusat Sehenti Perhidmatan Pendidikan Global Malaysia (EMGS) mulai 1 Julai ini, mengandungi maklumat peribadi penuntut seperti nama, tarikh lahir, nombor pasport, institusi, tarikh tamat pas serta gambar, bagi menggantikan visa atau pasport untuk bergerak di Semenanjung secara sah.

Katanya ketika berucap melancarkan i-kad, tempoh permohonan adalah lima hari bekerja dan akan datang dipendekkan seperti permohonan pasport antarabangsa yang hanya mengambil masa sejam. Ia akan menjadi sebahagian indeks prestasi utama (KPI).

Tumpuan penuntut asing
Kerajaan memberi tumpuan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berikutan negara kini menjadi tumpuan penuntut luar negara untuk meneruskan pengajian, khususnya pada peringkat ijazah sarjana muda. Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.


Berita disunting daripada sumber: Berita Harian

KAJI INSENTIF TAMBAH ZURIAT

KAJI INSENTIF TAMBAH ZURIAT

rohani

Putrajaya: Kerajaan akan mengkaji cadangan untuk memberi insentif kepada mereka yang melahirkan anak seperti yang diamalkan beberapa negara termasuk Singapura, bagi meningkatkan bilangan penduduk muda.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata ia berikutan penurunan kadar kesuburan yang ketara iaitu nisbah 2.1 anak bagi setiap pasangan pada tahun 2012 berbanding tiga anak pada tahun 2000.

Katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2014, pemberian insentif ini dilihat sebagai pendorong kepada pasangan untuk menambah zuriat dan secara tidak langsung, memastikan negara tidak ketandusan golongan muda yang menjadi tunjang pembangunan negara pada masa depan.
EPU tunggu laporan
Justeru, kerajaan mengkaji cadangan pemberian insentif ini dan pada masa sama, Unit Perancang Ekonomi (EPU) turut menunggu laporan berhubung perkara ini. Persidangan itu diadakan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia yang disambut pada 11 Julai setiap tahun.

Berita disunting daripada sumber: Berita Harian