Sunday, June 29, 2014

PENTADBIRAN DIPERKUKUH: PM

PENTADBIRAN DIPERKUKUH: PM


kabinet
Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam menambah anggota Kabinetnya dengan melantik tiga menteri penuh iaitu dua daripada MCA dan satu GERAKAN selain tiga timbalan menteri baharu mewakili MCA.
Perdana Menteri berkata, pelantikan itu bagi mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga Naib Presiden MCA iaitu Senator Datuk Lee Chee Leong dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Situasi luar biasa
Najib berkata, beliau sedar saiz Kabinetnya lebih besar berbanding dulu, tetapi keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana situasi agak luar biasa.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan akan diadakan pada jam 11.30 pagi esok di Istana Negara.
Najib berkata, pelantikan itu selaras dengan Perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Hormati keputusan parti
Seperti kita sedia maklum, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang kurang memberangsangkan menyaksikan buat kali pertama tiada wakil masyarakat Cina daripada MCA dilantik Menteri Persekutuan, sebagai menghormati keputusan parti itu yang tidak mahu wakil mereka dilantik menganggotai Kabinet.
Namun, keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA baru-baru ini yang mahu wakil parti itu dilantik dalam Kabinet. Kerajaan mengambil kira hasrat itu demi mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran,” katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan baharu itu di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Mengenai kekosongan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi portfolio hal ehwal kaum India berikutan peletakan jawatan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P Waythamoorthy, pada 10 Februari lalu, Perdana Menteri berkata, setakat ini tiada keperluan mengisi kekosongan itu.
Najib berkata, penambahan Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan dibuat kerana secara tradisi memang ada wakil daripada parti komponen dengan tugas tertentu.
Misalnya, bila kita mahu laksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kita perlu berhubungan dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakannya diusahakan masyarakat Cina, katanya.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga perlu berhubung dengan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Cina serta masyarakat bukan Melayu, sekali gus memerlukan seorang Timbalan Menteri berbangsa Cina bagi menyelesaikan kehendak dan tuntutan untuk dipertimbangkan kerajaan.
Mengulas pelantikan Siew Keong pula, Najib berkata, itu adalah kuota dijanjikan kepada Presiden GERAKAN terbabit yang menang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, pada 31 Mei lalu.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment