Tuesday, September 10, 2013

EKONOMI DOMESTIK MALAYSIA KEKAL KUKUH

EKONOMI DOMESTIK MALAYSIA KEKAL KUKUH

husni hanadzlah
ASAS ekonomi domestik Malaysia kekal kukuh di sebalik keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan bagi tahun ini kepada antara 4.5 peratus dan lima peratus daripada antara lima peratus dan enam peratus sebelum ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 
Negara catat kadar pertumbuhan KDNK lebih tinggi suku kedua 2013
Beliau menjelaskan, kekukuhan asas ekonomi domestik itu membolehkan Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi pada suku kedua lalu, sebanyak 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku pertama walaupun persekitaran luar kekal lemah dalam tempoh berkenaan.
Persekitaran luar yang lemah telah memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara di rantau ini dalam tempoh suku kedua lalu, dengan KDNK Indonesia dan Thailand masing-masing berkembang lebih perlahan pada 5.8 dan 2.8 peratus berbanding enam dan 5.4 peratus pada suku pertama.
Malah ekonomi China yang sebelum ini berkembang antara sembilan hingga 10 peratus turut menyaksikan arah aliran menurun apabila KDNKnya hanya tumbuh 7.5 peratus pada suku kedua lalu berbanding 7.7 peratus pada suku pertama.
Menyedari ketidaktentuan yang berlarutan dalam ekonomi global, unjuran pertumbuhan KDNK 2013 Malaysia telah disemak semula kepada antara 4.5 peratus dan lima peratus.
Asas domestik Malaysia bagaimanapun kekal kukuh dan pertumbuhan KDNK negara dijangkakan akan diterajui oleh permintaan domestik dan sedikit peningkatan sektor luar negara pada separuh kedua ini, kata Ahmad Husni dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menjelaskan, semakan semula itu juga adalah sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang menyemak semula unjuran KDNK dunia bagi tahun ini kepada 3.1 peratus berbanding 3.3 peratus berikutan jangkaan pertumbuhan lebih perlahan di beberapa sedang berkembang pesat serta tempoh kemelesetan yang lebih lama di kawasan euro.
Menjelaskan prestasi ekonomi negara pada suku kedua lalu, Ahmad Husni berkata, pertumbuhan terus didorong oleh permintaan domestik yang teguh yang berkembang 7.3 peratus disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.
Penggunaan keseluruhan, katanya meningkat 8.0 peratus bukan sahaja daripada peningkatan penggunaan awam tetapi juga penggunaan swasta disebabkan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan gaji yang berterusan dalam sektor berorientasikan domestik.
Beliau berkata, pelaburan swasta meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu 12.7 peratus disebabkan oleh pelaburan dalam sub-sektor perkhidmatan pengguna, pelaksanaan projek infrastruktur yang berterusan dan pengembangan kapasiti dalam sektor minyak dan gas.
Sumbangan pelaburan swasta kepada jumlah pelaburan juga, katanya telah meningkat daripada 62.3 peratus kepada 68.8 peratus.
Pertumbuhan kukuh dalam pelaburan swasta itu menunjukkan daya tahan sektor domestik negara, katanya.
Ahmad Husni menjelaskan, pada suku kedua lalu, semua sektor ekonomi domestik mencatatkan peningkatan pertumbuhan yang ketara.
Katanya, sektor pembuatan dan perlombongan kembali pulih daripada suku sebelumnya dengan masing-masing meningkat 3.3 peratus dan 4.1 peratus berbanding pertumbuhan 0.3 peratus bagi sektor pembuatan dan penguncupan 1.9 peratus sektor perlombongan pada suku pertama.
Pemulihan dalam sektor pembuatan adalah berorientasikan domestik manakala peningkatan perlombongan adalah disebabkan oleh kenaikan pengeluaran gas asli, minyak mentah dan kondensat. katanya.

No comments:

Post a Comment