MALAYSIA PUSAT GLOBAL, HAB INDUSTRI MULTIMEDIA
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan merangka pelbagai program di seluruh negara mulai tahun ini dalam usahanya mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat global dan hab industri isi kandungan serta multimedia.
|
CMCF rangka pelbagai program pastikan kod kandungan dipatuhi
Bagi tujuan itu, CMCF yang telah ditubuhkan sejak 12 tahun lalu bagi mengawal selia peraturan di bawah Kod Kandungan Multimedia dan Komunikasi Malaysia (Kod Kandungan) akan mengadakan beberapa pameran bergerak termasuk di sekolah dalam usahanya meningkatkan tahap kesedaran peserta industri dan orang awam mengenai peranan pertubuhan itu.
Pengerusi, Ahmad Izham Omar, berkata matlamat terdekat CMCF adalah memastikan peraturan Kod Kandungan dapat dipatuhi oleh peserta industri bagi mengelak-kan berlaku masalah yang tidak diingini pada masa depan.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima berkata, CMCF juga mahu orang awam menyedari peranan pertubuhan itu sebagai pusat rujukan jika terdapat aduan yang ingin dikemukakan berhubung isi kandungan dalam media elektronik.
Tahap kesedaran peserta dan orang awam terhadap perkara ini adalah baik, namun kami mahu meningkatkannya ke peringkat lebih tinggi dan sewajarnya.
Enam kategori
Bermula tahunini hingga ke tahun depan, CMCF akan menggerakkan pelbagai program yang turut disertai peserta industri untuk memberikan penerangan lebih menyeluruh mengenai peranan persatuan, katanya dalam satu pertemuan dengan BH.
CMCF ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya.
Ia terdiri daripada enam kategori anggota iaitu pengiklan, penyedia perkhidmatan teks audio, penyiar, kumpulan sivik, pencipta serta pengedar isi kan-dungan dan penyedia perkhidmatan akses Internet.
Sebagai pertubuhan peraturan kendiri, ia menjadikan Kod Isi Kandungan yang berdaftar pada 2004 sebagai rujukan penting kepada peserta industri mengenai beberapa peraturan yang wajar dipatuhi semasa menerbitkan bahan yang disiarkan kepada orang ramai.
Ahmad Izham berkata, sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, jumlah aduan yang diterima oleh CMCF menerusi Biro Aduan berhubung ‘salah laku’ atau bahan siaran yang tidak wajar didapati meningkat pada setiap tahun, sekali gus membuktikan semakin ramai menyedari peranannya sebagai pusat rujukan dalam industri.
Penurunan jumlah kes sedemikian bergantung kepada sejauh mana peserta dalam industri dapat mematuhi garis panduan yang disediakan dalam Kod Kandungan, katanya.
Perlu seimbang
Antara prinsip penting Kod Kandungan ialah isi kandungan sama ada berita, laporan, hiburan dan iklan, perlu seimbang antara kehendak penonton, pendengar dan pengguna yang membolehkan mereka mempunyai pilihan yang luas di samping akses kepada maklumat.
Isi kandungan yang diterbitkan itu pula mestilah memelihara undang-undang, ketenteraman dan kesusilaan.
Penerbit mestilah memastikan isi kandungan itu tidak sensitif antaranya berkelakuan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik atau mengandungi bahan atau komen yang bersifat perbezaan terhadap kaum, keturunan etnik, warna kulit, agama, umur, jantina, status perkahwinan serta kecacatan mental atau fizikal.
INFO: CMCF
* Ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya
* Ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya
No comments:
Post a Comment