Monday, September 16, 2013

MALAYSIA NEGARA KEDUA PALING DINAMIK DI ASEAN

Indeks Dinamisme Global Grant Thornton (GDI) 2013 membariskan Malaysia sebagai negara kedua paling dinamik di ASEAN selepas Singapura.

GDI yang memasuki tahun kedua, membuat kajian dari segi dinamik ke atas 60 ekonomi terbesar dunia menerusi data ekonomi dan kaji selidik perniagaan, kata SJ Grant Thornton, ahli firma perakaunan dan perundingan Grant Thornton International. 

Setiap ekonomi dinilaikan berasaskan lima bidang utama yang dinamik bagi merumuskan markah keseluruhan. 


Singapura mencatat markah 61.9, tertinggi di ASEAN; diikuti Malaysia dengan 59.5 markah dan Thailand dengan 56.4 markah. 

Malaysia memperoleh markah kedua terbaik dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan (74) dan kewangan (60) di ASEAN bagi katagori pengembangan perniagaan.

Pengarah Urusan, SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata pada peringkat global, Malaysia menduduki kedudukan ke-13 dalam senarai GDI, meningkat 11 anak tangga berbanding tahun lalu.

“Malaysia juga menyediakan persekitaran pembiayaan yang baik apabila memperoleh markah tertinggi di ASEAN dalam akses kepada modal jangka sederhana (85),” katanya. 
Berbanding negara lain, beliau berkata, prestasi Malaysia dalam bidang utama juga semakin kukuh, seperti ekonomi dan pertumbuhan dengan menduduki tempat kelapan (73), buruh dan modal insan, tempat ke-11 (62) dan persekitaran pembiayaan dengan kedudukan di tempat ke-16 (60).

GDI menyediakan senarai daripada dinamik secara menyeluruh dan juga markah ekonomi serta rantau dalam lima kategori berasingan.

Kategori berkenaan ialah persekitaran operasi perniagaan, pertumbuhan dan ekonomi, sains dan teknologi, modal insan dan persekitaran pembiayaan.

Dengan menganalisis perubahan di setiap negara yang berjaya pulih daripada kelembapan ekonomi 2008-2009, indeks itu mencadangkan persekitaran terbaik untuk perniagaan dinamik berkembang

No comments:

Post a Comment