Tuesday, September 10, 2013

MAS PERLU KEKAL MILIK KERAJAAN

 MAS PERLU KEKAL MILIK KERAJAAN

fly2
Kuala Lumpur: Sejak kebelakangan ini, wujud beberapa laporan media mengenai isu Penerbangan Malaysia (MAS), iaitu syarikat penerbangan kebangsaan itu sepatutnya dipegang oleh pihak swasta dan bukannya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)

Ada juga pandangan MAS perlu diswastakan dan dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia dan distruktur semula.
Kami berpandangan MAS perlu kekal menjadi milik kepentingan awam kerana akan ada lebih ketelusan. Lagipun jika diswastakan pada sekitar harga pasarannya sekarang, ia tidak akan menguntungkan sesiapa.
MAS perlu atasi kos tinggi
Sama ada diswastakan atau tidak, pihak pengurusan MAS perlu menangani isu kos yang tinggi. Untuk memastikan pelan pemulihan yang mantap, MAS perlu merangka strategi untuk meningkatkan pendapatan dan berdepan saingan daripada syarikat penerbangan utama yang lain.
Jika MAS diswastakan juga satu hari nanti, harga tawaran yang adil perlu dipertimbangkan kerana ramai pemegang saham minoriti telah setia dengan syarikat itu sejak sekian lama.
Namun mengambil kira bahawa saham terbitan hak sudah ditawarkan kepada semua pemegang saham baru-baru ini, adalah tidak masuk akal untuk menswastakan MAS ketika ini sehingga peningkatan nilai telah terhasil.
Dalam isu lain, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 1 Julai menyatakan risiko pertumbuhan perlahan bagi jangkaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pasaran buruh telah berkurangan sejak suku ketiga tahun lalu.
Justeru, jawatankuasa berkenaan akan melihat kepada pengurangan secara bertahap aktiviti pelonggaran kuantitatif berdasarkan pasaran buruh atau perubahan inflasi.
Peserta pasaran global teruja meramalkan apa yang akan berlaku; sama ada perubahan secara bertahap bagi pelonggaran kuantitatif akan terjadi seawal suku ini mengambil kira bahawa perubahan itu hampir pasti akan berlaku.
Peningkatan kadar faedah
Sebarang pengurangan bertahap mungkin menyebabkan peningkatan dalam kadar faedah yang akan menyerap ke dalam sistem kewangan dan mengalir ke dalam ekonomi sebenar global, menyebabkan peralihan ketara dalam aliran dana, dan memberikan kesan kepada negara lain, termasuk pasaran sedang berkembang seperti Malaysia.
Sejajar dengan jangkaan itu, peserta pasaran pada minggu lalu menjual pegangan ekuiti mereka dalam pasaran sedang berkembang termasuk Malaysia yang mengalami tekanan jualan.
Mata wang juga mengalami nasib yang sama berbanding dolar AS. FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih rendah pada 1,721 mata, susut lebih kurang 3.7 peratus berbanding minggu lalu.
Sementara itu pada Rabu minggu lalu, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan laporan mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku kedua 2013.
Ia menyatakan sektor luar yang lemah pada separuh tahun ini akan memberi kesan kepada prestasi pertumbuhan keseluruhan tahun ini.
Justeru, pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi negara tahun ini disemak semula dalam lingkungan 4.5 peratus dan 5.0 peratus daripada 5.0 peratus dan 6.0 peratus yang diunjurkan bank pusat itu pada Mac 2013.

No comments:

Post a Comment