Tuesday, September 10, 2013

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

Suruhanjaya-Sekuriti-Malaysia
MALAYSIA dalam landasan yang terbaik untuk menghasil serta membangunkan segmen baru dalam pasaran modal patuh Syariah susulan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang itu.
Punyai rangka kerja peraturan yang tersusun
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Ranjit Ajit Singh, berkata kelebihan daya saing Malaysia adalah berikutan negara ini mempunyai rangkaian institusi lengkap seperti yang diperlukan untuk menyokong pasaran modal patuh Syariah. 
Selain itu, Malaysia juga mempunyai rangka kerja peraturan yang memudahkan (pasaran modal patuh Syariah) berkembang, insentif cukai serta ekosistem tadbir urus Syariah yang tersusun.
Malah, kita juga mempunyai perantara yang meluas, penyedia perkhidmatan yang kukuh perniagaannya serta sokongan kerajaan, katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Meletakkan Malaysia Sebagai Pasaran Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah-Dari Perspektif Pengawal Selia’ di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam syarahannya itu, Ranjit turut berkongsi perspektifnya terhadap prospek industri pengurusan kekayaan Malaysia, peranan negara dalam bidang itu serta cabaran peraturan dan kawal selia lain yang diperlukan untuk memudah cara pembangunan industri berkenaan di samping meraih peluang yang ditawarkannya.
Ranjit berkata, semua faktor sokongan yang terdapat dalam ekosistem pasaran modal patuh Syariah tempatan telah membuahkan pelbagai hasil dan salah satunya adalah Malaysia kini muncul sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, dengan merangkumi 70 peratus daripada urus niaga sukuk global semasa.
Malaysia juga, katanya sudah membentuk pasaran dana amanah Islam terbesar di dunia dengan 169 dana patuh Syariah di pasaran kini.
Setakat akhir tahun lalu, aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah di Malaysia berjumlah kira-kira RM80 bilion, meningkat daripada RM48 bilion pada 2010 yang mewakili penguasaan pasaran mengagumkan sebanyak 16 peratus.
SC mengunjurkan aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah akan meningkat kepada RM322 bilion menjelang 2020, katanya.
Beliau menegaskan, dengan adanya sekumpulan peserta yang kukuh dalam pasaran modal patuh Syariah tempatan, terdapat skop yang meluas kepada mereka untuk terus berinovasi serta mengembangkan pasaran modal Islam di negara ini.
Keperluan itu adalah bertepatan dengan sasaran untuk mewujudkan sinergi serta arah aliran pertumbuhan lebih meluas, khususnya di rantau Asia Pasifik, katanya.
Sementara itu, Ranjit berkata, pasaran modal tempatan berada dalam landasan kukuh untuk merekodkan satu lagi tahun yang cemerlang dari segi kegiatan menjana modal.
Saiz pasaran modal Malaysia setakat Julai lalu meningkat tiga kali ganda kepada RM2.5 trilion sejak 2000, merangkumi 264 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nilai sukuk dan sekuriti hutang pasaran modal tempatan pula mencecah RM1 trilion, berbanding permodalan pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.6 trilion.
Angka itu adalah menyaingi pasaran utama lain di rantau Asia Pasifik.

No comments:

Post a Comment