RELA KINI AGENSI BERTARAF JABATAN
Putrajaya: Kabinet semalam bersetuju menjadikan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai agensi kerajaan bertaraf jabatan, iaitu Jabatan Sukarelawan Malaysia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat turut meluluskan gelaran pangkat dan lambang baharu. Semoga dengan penaiktarafan yang diluluskan Jemaah Menteri, ia akan memberi semangat baharu kepada RELA.
|
Pada bulan lalu, Ahmad Zahid berkata menjadikan RELA sebagai jabatan dapat memberikan peluang kenaikan pangkat serta menggalakkan pembabitan anggota yang separa aktif dan tidak aktif terutama lepasan universiti. Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata RELA yang kini dianggotai 2.87 juta ahli di seluruh negara melalui era transformasi yang membanggakan sejak 2009. Bermula dengan penambahan ahli yang melonjak daripada 540,000 kepada hampir lebih kurang tiga juta pada akhir tahun ini, katanya.
Tingkat peranan RELA
Ahmad Zahid berkata, RELA yang menubuhkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) di setiap daerah berjaya memantapkan peranannya untuk membantu kerajaan khususnya ketika menghadapi keadaan genting seperti bencana alam dan ancaman keselamatan. Beliau yakin anggota RELA sudah bersedia untuk membantu mana-mana agensi keselamatan khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.
Mengenai Program Semarak Jalur Gemilang, Ahmad Zahid berharap ia dapat menyuntik semangat masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara. Beliau yakin RELA dengan kepemimpinannya mampu menggerakkan semangat kecintaan terhadap negara ini melalui gelombang kesukarelawan yang dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment