PRESTASI ETP MEMBANGGAKAN
Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menghampiri tahun ketiga pelaksanaannya terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila 86 peratus atau RM25.42 bilion daripada komitmen pelaburan di bawah Projek Permulaan (EPP) yang diumumkan pada 2011 dan 2012, telah dilaksanakan.
|
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata dalam tempoh dua tahun itu, kerajaan telah mengumumkan EPP membabitkan komitmen pelaburan berjumlah RM29.63 bilion yang mana RM16.64 bilion adalah pada 2011 dan RM12.99 bilion pada 2012.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, bagi komitmen pelaburan yang diumumkan pada pada 2011, 84 peratus atau RM13.98 bilion sudah direalisasikan, sementara bagi 2012 pula sebanyak 88 peratus atau RM11.44 bilion.
Kadar pelaksanaan pelaburan itu adalah memberangsangkan dan kita kini berada dalam landasan kukuh ke arah mencapai sasaran bagi tahun ini, katanya semasa membentangkan perkembangan separuh tahun ETP di Kuala Lumpur, semalam.
Idris berkata, bagi 2013 ini sebanyak 33 lagi projek baru dengan komitmen pelaburan berjumlah RM7.04 bilion telah diumumkan setakat separuh pertama.
Komitmen pelaburan itu, katanya dianggarkan menjana PNK sebanyak RM6.76 bilion dan mewujudkan 25,825 pekerjaan pada 2020.
Ekonomi mencabar
Beliau menegaskan, meskipun Malaysia berdepan dengan tinjauan ekonomi lebih mencabar tahun ini berikutan perkembangan yang berlaku dalam ekonomi global, ETP akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi negara menerusi tumpuannya terhadap 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan enam Inisiatif Pembaharuan Ekonomi (SRI).
Katanya, setakat 26 Ogos lalu, ETP berada dalam landasan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI) bagi tahun ini, apabila sudah mencapai 66 peratus daripada sasaran NKEA dan 51 peratus bagi SRI.
Justeru, komitmen ETP dalam membawa negara ke arah sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita AS$15,000 menjelang 2020 terus kekal dengan sektor swasta akan memainkan peranan utamanya dalam memacu ekonomi negara, katanya.
Perangkaan semasa menunjukkan ETP terus menjadi pemangkin peranan sektor swasta dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah persekitaran global semakin mencabar.
Melepasi sasaran
Pelaburan sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan 16 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2012 berbanding hanya tujuh peratus yang direkodkan antara 2006 hingga 2008 dan lima peratus antara 2008 hingga 2010.
Pada 2011 dan 2012, pelaburan sektor swasta masing-masing melepasi sasaran yang ditetapkan sebanyak 9.3 peratus dan 9.6 peratus.
Pelaburan sektor swasta pada 2011 berjumlah RM94 bilion manakala pada 2012 mencecah RM140.18 bilion.
Bagi 2013 ini, kerajaan menetapkan sasaran pelaburan sektor swasta berjumlah RM148.4 bilion dan setakat separuh pertama tahun ini saja, 57.5 peratus atau RM85.7 bilion telah diumumkan.
Pelaburan sektor swasta juga terus mengatasi pelaburan sektor awam dengan nisbahnya semakin melebar kepada 57 peratus dan 58 peratus masing-masing pada 2011 dan 2012.
Separuh pertama 2013 pula menyaksikan nisbah pelaburan sektor swasta kepada sektor awam meningkat kepada 65.7 peratus.
No comments:
Post a Comment