Tuesday, November 5, 2013

148 JAWATANKUASA DITUBUH ATASI MASALAH RAKYAT

 148 JAWATANKUASA DITUBUH ATASI MASALAH RAKYAT

menteri kesejahteraan
Putrajaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan 148 Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) mulai Januari tahun depan bagi membantu mendekatkan rakyat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pelaksanaan program itu bukan saja dapat mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak, malah ia selari Bajet 2014 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu. 
Maklum isu perbandaran
JPP juga menyediakan platform rasmi kepada penduduk di bandar untuk mengutarakan masalah perbandaran dan cadangan berbincang dengan kerajaan secara lebih teratur, berstruktur dan rasmi, katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan KPKT, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Arpah Abdul Razak; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPKT, Datuk Noriah Hashim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Datuk Halimi Abd Manaf.
Abdul Rahman berkata, walaupun pada peringkat perbandaran kini mempunyai persatuan penduduk seperti Rukun Tetangga, tetapi sukar untuk mereka berhubung terus dengan kementerian kerana struktur itu tidak rasmi.
Bagaimanapun katanya, JPP yang ditubuhkan itu berlainan kerana ia satu struktur rasmi yang akan menjadi penghubung bagi penduduk mengutarakan pendapat atau masalah kepada kerajaan.
Katanya, bagi tujuan itu KPKT akan melantik pemimpin setempat sebagai pengerusi bagi mengetuai Jawatankuasa JPP di setiap zon.
Berita disunting daripada Berita Harian  

Wednesday, October 2, 2013

SITUASI EKONOMI AMERIKA

KUALA LUMPUR: Pada tahun 2009, satu situasi berlaku di Malaysia di mana bajet tahun 2010 hampir sahaja tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran ahli parlimen.

Pada hari ini di Amerika Syarikat pula, presiden Barack Obama dikatakan terpaksa melalui situasi hampir sama ekoran Dewan Rendah negara itu yang dikuasai wakil parti Republikan tidak menyokong pelan kesihatan kerajaan yang digelar Obamacare.

Dalam satu diskusi Agenda Awani pada Selasa, dua penganalisis iaitu Felo Utama KITA, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr K S Nathan dan Pengerusi Yayasan RIGHTS Yusmadi Yusoff sama-sama melihat situasi ini tidak akan berlarutan.

Yusmadi turut berkata pebezaan ini menunjukkan kematangan demokrasi Amerika Syarikat.

“Demokrasi berterusan sehinggalah di dewan perwakilan. Sekiranya parlimen Malaysia sampai demokrasi matang sampai begitu, rakyat akan tahu setiap sen dibelanjakan mesti melalui pemimpin yang dipilih, mereka juga akan menggagalkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.”

“Saya rasa ini memberi mesej politik kepada rakyat bahawa mereka ada hak demokrasi.”

                                      

Sementara itu, Nathan berkata kepentingan politik jelas satu pertimbangan dalam hal ini dan berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, parti politik Republikan akan dipersalahkan.

“Saya rasa tidak begitu benar bahawa kebanyakkan rakyat tidak menyokong Obamacare. Kalau mereka tidak sokong, saya rasa Obama tidak akan membentangkannya.

“Republikan tidak mahu sekiranya rancangan Obamacare berjaya Demokrat akanmen jadi parti yang popular. Boleh dikatakan, kepentingan politik turutdiambil kira (dalam hal ini).”

                                      

Fakta penting operasi terhenti AS:

- Telah berlaku 18 kali sejak 1976

- Kali terakhir 17 tahun lalu (terakhir pada 1995 semasa pentadbiran Bill Clinton, iaitu 21 hari)

- 800,000 pekerja terjejas & tidak menerima bayaran

- Kerugian ekonomi sehingga 50 bilion dolar

TRANFORMASI SPRM

KUALA LUMPUR: Menjejak kaki ke dalam bilik rakaman berkamera video (VIR) di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaikan melangkah ke dalam sebuah set filem.

Bilik itu dilengkapi dua kamera video untuk merekod secara langsung segala percakapan dan perlakuan suspek bersama pegawai penyiasat SPRM.

Proses rakaman dilakukan menggunakan alat rakaman canggih dalam keadaan selesa tanpa sebarang tekanan ke atas saksi.

Dalam temubual dengan saksi, pegawai penyiasat akan duduk bertentangan merekodkan segala keterangan saksi. Skrin monitor menghadap saksi di mana ia boleh dibaca dengan jelas untuk mengelak sebarang manipulasi keterangan.

Langkah itu antara kaedah bagi menunjukkan kepada masyarakat ketelusan SPRM ketika menjalankan siasatan.

bilik rakaman berkamera video (VIR).

Menurut Idris Zaharuddin, Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, ia antara penambahbaikan ketara dilakukan SPRM sejak kes kematian mendiang Teoh Beng Hock pada 2009, selain memastikan keselamatan saksi atau suspek hingga selesai perbicaraan.

Adalah menjadi harapannya bahawa dengan kemudahan VIR di semua pejabat SPRM ia sekaligus dapat menangkis tohmahan yang sering dilemparkan kepada agensi itu, berkaitan penderaan, paksaan, dorongan dan ugutan terhadap saksi atau suspek semasa proses siasatan dijalankan.

"Sebelum ini bilik rakam percakapan orang kena tuduh (OKT), suspek dan saksi SPRM dalam keadaan  tidak selesa yang boleh timbul perasaan tidak puas hati di pihak dirakam."

"Jadi apabila kita sedia VIR, setakat ini statistik menunjukkan kalau dulu banyak tohmahan dan aduan yang diterima berhubung pegawai suara kasar lantang tapi kini tidak dan kita lihat tuduhan dan tohmahan berkurangan dengan drastik sekali."

Idris menarik perhatian kamera dalam bilik berkenaan juga boleh merakam sesi temubual dalam keadaan gelap menggunakan cahaya "infra-red" sekiranya timbul aduan atau tohmahan bahawa lampu bilik sengaja ditutup bagi menakut-nakutkan saksi.

"Cermin panjang juga membolehkan semua individu dalam bilik dilihat dengan ketara dalam kamera. Ia bertujuan menghilangkan semua sisi terlindung atau "blind spot" dalam bilik ini. Jadi tiada siapa yang boleh mendakwa sekiranya terdapat lebih daripada seorang pegawai penyiasat dalam bilik rakaman." katanya lagi.

Rakaman dibuat dalam 3 salinan berasingan yang akan disimpan oleh saksi, pegawai penyiasat dan satu lagi salinan sebagai dokumen yang akan dikemukakan di mahkamah.

Pendekatan itu bertujuan mencegah sebarang aktiviti suntingan atau manipulasi terhadap percakapan saksi yang dirakamkan.

Suruhanjaya itu bakal membina 10 lagi bilik VIR menjelang akhir tahun ini menjadikan sejumlah 48 kemudahan canggih itu disediakan di semua ibu pejabat SPRM seluruh negara.

Dalam pada itu turut diwujudkan, bilik gerakan operasi siasatan (BGOS) yang menekankan kepada penyiasatan secara berpasukan.

Ia juga merupakan penambahbaikkan dalam proses transformasi operasi siasatan dikendalikan SPRM.

Menurut Ketua Bahagian Forensik SPRM, Datuk I.G. Chandran pendekatan itu terbukti dapat memendekkan tempoh penyiasatan selain meningkatkan kualiti serta keberkesanan siasatan.

"Pegawai-pegawai SPRM yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran akan digabungkan dalam satu kumpulan untuk berkongsi idea dan mengambil tindakan mengumpul keterangan ke atas penyiasatan kes secara berpasukan. Ini merupakan kaedah yang lebih sistematik dan terancang yang berupaya menyelesaikan kelewatan atau kebuntuan siasatan."

Selepas 46 tahun ditubuhkan, SPRM kini membuka dimensi baru bagi agensi itu dengan fokus utama memastikan pelaksanaan undang-undang terhadap kes rasuah ditangani sebaik mungkin.

Pengarah siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali melihat aspek itu penting dalam usaha memperbaiki persepsi  masyarakat mengenai usaha memerangi rasuah di negara ini.

Setakat Ogos tahun ini, sebanyak 315 tangkapan dibuat ke atas salah laku rasuah.

Hasil transformasi dan penambahbaik operasi dan penguatkuasaan undang-undang yang dilakukan SPRM, ia mula menampakkan hasil positif.

"Kita nampak statistik perlihatkan sabitan di mahkamah meningkat daripada dulu 75 peratus kepada 85 sekarang. Ini memperlihatkan penyiasatan yang lebih kukuh dari aspek penguatkuasaan dan di mahkamah juga."

Bagaimanapun jelas Mustafar biarpun setiap kes siasatan tidak semestinya berakhir dengan pendakwaan sebaliknya pelucutan hak harta, namun SPRM memberi jaminan kes-kes berprofil tinggi akan dikendalidengan sebaiknya.

"Masyarakat lihat apa hasil kerja kita. Setiap tahun, 1300-1400 kertas penyiasatan terbuka dijalankan tetapi masyarakat juga selalu memberi tumpuan kepada kes besar berprofil tinggi dan kes-kes berkepentingan awam."

Tegas Mustafar, suruhanjaya itu juga tidak membuat pendakwaan berpilih dalam sebarang tindakannya.

"Sama ada "ikan jerung" mahupun "ikan bilis" yang terlibat dalam salah laku rasuah, mereka tidak akan terlepas daripada muka pengadilan."

Ditubuhkan sebagai Badan Pencegah Rasuah pada 1967, kemudian diubah kepada SPRM pada 2009, suruhanjaya itu baru menyambut ulang tahunnya yang ke-46 pada 1 Oktober lalu.

RANG UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN JENAYAH 2013 DILULUSKAN

KUALA LUMPUR: Setelah bersidang sehingga jam dihentikan pada pukul 11.59 malam, Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 (Pindaan dan Pemerluasan) yang menyaksikan kuasa menahan tanpa bicara dikembalikan akhirnya diluluskan pada pukul 12.53 pagi.

Rang undang-undang yang diluluskan itu juga telah menolak beberapa Fasal yang diusulkan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Perbahasan pindaan Rang Undang-Undang ini mendapat perhatian ekoran tindakan ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat yang berusaha untuk menolak pindaan yang dibuat.

Alasan yang diberikan, pindaan ini merupakan cubaan untuk menghidupkan kembali undang-undang tahanan tanpa bicara selepas dihapuskan ketika akta yang sama dipinda pada 2012.

Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) pula menyokong pindaan ini atas alasan keselamatan dan mengembalikan kuasa polis yang didakwa 'hilang taring' selepas pindaan dibuat pada 2012.

Awal minggu ini beberapa  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyatakan bantahan mereka terhadap pindaan rang undang-undang ini dengan mengadakan demonstrasi aman di hadapan pintu masuk parlimen.

Mereka juga turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbahasan pindaan peringkat dasar berlarutan hingga lewat petang dan ia diluluskan dengan undi belah bahagian dengan 115 menyokong manakala 66 undi menolak untuk rang undang-undang tersebut dibacakan kali kedua.

Hampir kesemua ahli parlimen BN hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum undi belah bahagian dijalankan.

Sesi perbahasan kecoh beberapa kali apabila ada antara ahli parlimen yang cuba mengukuhkan hujah mereka dengan membuat dakwaan tertentu.

Antaranya ahli parlimen Batu, Tian Chua yang mendakwa anggota polis diperalatkan untuk membunuh.

"Ada masanya anggota polis diperalatkan untuk melakukan pembunuhan," katanya.

Dakwaan Tian Chua itu bagaimanapun disangkal oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah Ahmad Zahid turut menyindir Tian Chua dengan mengatakan anggota polis tidak diperalatkan untuk membunuh sebaliknya digigit telinga.

"Tuduhan itu melampau, anggota polis tidak diperalatkan tetapi dizalimi dengan digigit telinga," katanya ketika menggulung perbahasan.

Sementara ahli parlimen Gombak, Azmin Ali pula dalam perbahasannya menegaskan rang undang-undang yang diluluskan itu akan turut dimusuhi oleh pemimpin dan ahli UMNO yang menyokongnya sekarang.

Bagaimanapun, hujah Azmin dinafikan ahli-ahli parlimen BN antaranya anggota parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden dan anggota parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Ketika menggulung perbahasan,  Ahmad Zahid turut memberi jaminan bahawa rang undang-undang akan menjaga hak asasi manusia.

Sebelum diluluskan untuk bacaan kali ketiga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah membawakan usul 'memberhentikan jam' untuk membolehkan perbahasan diteruskan melepasi pukul 12 tengah malam.

"Tuan Yang Dipertua, menurut arahan 90 (2), saya mencadangkan usul untuk menghentikan perintah Arahan Tetap 12 bagi membenarkan mesyuarat menyelesaikan semua perkara yang harus diselesaikan hari ini," katanya.

Sebaik saja usul tersebut disokong, jam di Dewan Rakyat dihentikan tepat jam 11.59 malam dan perbahasan diteruskan sehingga usul Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah 2013 dibacakan kali ketiga seterusnya diluluskan pada pukul 12.53 pagi.

Arahan Tetap 12 menyatakan setiap sidang Dewan Rakyat dibenarkan bersidang hingga mencecah tempoh 5.30 pagi bagi melengkapkan perbahasan pada hari tersebut.

Arahan Tetap 12 ini pernah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada 2012 dan 1977.

Berita mula diterbitkan pada: Oktober 03, 2013 06:10 (MYT)
Tag: Rang Undang-Undang, Pencegahan, Jenayah, 2013, Zahid Hamidi, parlimen

Monday, September 16, 2013

MALAYSIA NEGARA KEDUA PALING DINAMIK DI ASEAN

Indeks Dinamisme Global Grant Thornton (GDI) 2013 membariskan Malaysia sebagai negara kedua paling dinamik di ASEAN selepas Singapura.

GDI yang memasuki tahun kedua, membuat kajian dari segi dinamik ke atas 60 ekonomi terbesar dunia menerusi data ekonomi dan kaji selidik perniagaan, kata SJ Grant Thornton, ahli firma perakaunan dan perundingan Grant Thornton International. 

Setiap ekonomi dinilaikan berasaskan lima bidang utama yang dinamik bagi merumuskan markah keseluruhan. 


Singapura mencatat markah 61.9, tertinggi di ASEAN; diikuti Malaysia dengan 59.5 markah dan Thailand dengan 56.4 markah. 

Malaysia memperoleh markah kedua terbaik dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan (74) dan kewangan (60) di ASEAN bagi katagori pengembangan perniagaan.

Pengarah Urusan, SJ Grant Thornton, Datuk NK Jasani, berkata pada peringkat global, Malaysia menduduki kedudukan ke-13 dalam senarai GDI, meningkat 11 anak tangga berbanding tahun lalu.

“Malaysia juga menyediakan persekitaran pembiayaan yang baik apabila memperoleh markah tertinggi di ASEAN dalam akses kepada modal jangka sederhana (85),” katanya. 
Berbanding negara lain, beliau berkata, prestasi Malaysia dalam bidang utama juga semakin kukuh, seperti ekonomi dan pertumbuhan dengan menduduki tempat kelapan (73), buruh dan modal insan, tempat ke-11 (62) dan persekitaran pembiayaan dengan kedudukan di tempat ke-16 (60).

GDI menyediakan senarai daripada dinamik secara menyeluruh dan juga markah ekonomi serta rantau dalam lima kategori berasingan.

Kategori berkenaan ialah persekitaran operasi perniagaan, pertumbuhan dan ekonomi, sains dan teknologi, modal insan dan persekitaran pembiayaan.

Dengan menganalisis perubahan di setiap negara yang berjaya pulih daripada kelembapan ekonomi 2008-2009, indeks itu mencadangkan persekitaran terbaik untuk perniagaan dinamik berkembang

PENGURUSAN TABUNG HAJI TERBAIK

Makkah: Kerajaan Arab Saudi mahu negara Islam di dunia mencontohi pengurusan jemaah haji oleh kerajaan Malaysia, yang didapati teratur dan baik. 

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata pujian terhadap pengurusan haji Malaysia itu disampaikan Timbalan Menteri Haji Kerajaan Arab Saudi, Hatem Qadhi. 
Dapat haji mabrur 


“Beliau sendiri telah menaiki bas untuk berjumpa dengan jemaah haji Malaysia dan memuji jemaah haji Malaysia dan berdoa supaya jemaah haji kita mendapat haji mabrur,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam. 

Sebelum itu, Syed Saleh bersama Hatem dan Pengerusi Muassasah Asia Tenggara, Tan Sri Sheikh Zuhair Abdul Hamid menyambut ketibaan 862 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Tanah Suci Makkah awal semalam. 

Kumpulan jemaah itu sebelum ini berada di Madinah selama lapan hari dan kesemua jemaah haji Malaysia yang berada di Madinah memasuki Makkah secara berperingkat mulai semalam.

Tuesday, September 10, 2013

INTIPATI PPPM 2013-2025

Intipati PPPM 2013-2025:


* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan.

* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.

* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.

* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak.

* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.

* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

MALAYSIA PENERAJU PASARAN MODAL PATUH SYARIAH

Suruhanjaya-Sekuriti-Malaysia
MALAYSIA dalam landasan yang terbaik untuk menghasil serta membangunkan segmen baru dalam pasaran modal patuh Syariah susulan kedudukannya sebagai peneraju global dalam bidang itu.
Punyai rangka kerja peraturan yang tersusun
Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Ranjit Ajit Singh, berkata kelebihan daya saing Malaysia adalah berikutan negara ini mempunyai rangkaian institusi lengkap seperti yang diperlukan untuk menyokong pasaran modal patuh Syariah. 
Selain itu, Malaysia juga mempunyai rangka kerja peraturan yang memudahkan (pasaran modal patuh Syariah) berkembang, insentif cukai serta ekosistem tadbir urus Syariah yang tersusun.
Malah, kita juga mempunyai perantara yang meluas, penyedia perkhidmatan yang kukuh perniagaannya serta sokongan kerajaan, katanya semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘Meletakkan Malaysia Sebagai Pasaran Pengurusan Kekayaan Patuh Syariah-Dari Perspektif Pengawal Selia’ di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam syarahannya itu, Ranjit turut berkongsi perspektifnya terhadap prospek industri pengurusan kekayaan Malaysia, peranan negara dalam bidang itu serta cabaran peraturan dan kawal selia lain yang diperlukan untuk memudah cara pembangunan industri berkenaan di samping meraih peluang yang ditawarkannya.
Ranjit berkata, semua faktor sokongan yang terdapat dalam ekosistem pasaran modal patuh Syariah tempatan telah membuahkan pelbagai hasil dan salah satunya adalah Malaysia kini muncul sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, dengan merangkumi 70 peratus daripada urus niaga sukuk global semasa.
Malaysia juga, katanya sudah membentuk pasaran dana amanah Islam terbesar di dunia dengan 169 dana patuh Syariah di pasaran kini.
Setakat akhir tahun lalu, aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah di Malaysia berjumlah kira-kira RM80 bilion, meningkat daripada RM48 bilion pada 2010 yang mewakili penguasaan pasaran mengagumkan sebanyak 16 peratus.
SC mengunjurkan aset di bawah pengurusan dana patuh Syariah akan meningkat kepada RM322 bilion menjelang 2020, katanya.
Beliau menegaskan, dengan adanya sekumpulan peserta yang kukuh dalam pasaran modal patuh Syariah tempatan, terdapat skop yang meluas kepada mereka untuk terus berinovasi serta mengembangkan pasaran modal Islam di negara ini.
Keperluan itu adalah bertepatan dengan sasaran untuk mewujudkan sinergi serta arah aliran pertumbuhan lebih meluas, khususnya di rantau Asia Pasifik, katanya.
Sementara itu, Ranjit berkata, pasaran modal tempatan berada dalam landasan kukuh untuk merekodkan satu lagi tahun yang cemerlang dari segi kegiatan menjana modal.
Saiz pasaran modal Malaysia setakat Julai lalu meningkat tiga kali ganda kepada RM2.5 trilion sejak 2000, merangkumi 264 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nilai sukuk dan sekuriti hutang pasaran modal tempatan pula mencecah RM1 trilion, berbanding permodalan pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM1.6 trilion.
Angka itu adalah menyaingi pasaran utama lain di rantau Asia Pasifik.

APLIKASI SAVEME 999 MESRA OKU

APLIKASI SAVEME 999 MESRA OKU

save999
Putrajaya: Aplikasi SaveME 999 yang dilancarkan semalam membolehkan pengguna telefon pintar terutama orang kelainan upaya (OKU) menghubungi Pusat Panggilan Kecemasan (PPK) 999 jika perlukan bantuan kecemasan.
Aplikasi yang dilancarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan ke arah memantapkan lagi pengurusan PPK 999.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata pembangunan aplikasi itu menyediakan perkhidmatan inklusif kepada rakyat Malaysia termasuk OKU dan dibiaya menggunakan peruntukan RM1 bilion yang diharap dapat membantu lebih 646,000 OKU di seluruh negara terutama yang bermasalah pertuturan dan pendengaran.
Katanya, aplikasi dilengkapi pengesan Lokasi Automatik atau ‘Automatic Location Indentification’ (ALI) itu membolehkan pihak berkuasa mengesan OKU yang perlukan bantuan kecemasan menggunakan aplikasi SaveME 999 pada telefon pintar dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS).
Dimuat turun secara percuma
Aplikasi ini juga boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman www.999.gov.my, ke mana-mana telefon pintar Android versi 2.2 ke atas, iOS versi 5.0 ke atas, Blackberry versi 6.0 dan 7.0 serta Windows Phone versi 7.0 dan 8.0.
Jika berlaku kecemasan sama ada membabitkan jenayah, kebakaran, kemalangan atau bencana alam dan memerlukan bantuan perubatan, hanya perlu tekan ikon aplikasi SaveME 999 pada skrin telefon pintar dan bantuan akan dihantar secepat mungkin kerana tempat kejadian dikesan secara automatik menerusi GPS.
Sistem PPK 999 akan merakam nama, nombor telefon serta lokasi pemanggil secara automatik dan menghantarnya ke lima agensi berkaitan termasuk bomba, polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” katanya ketika berucap pada pelancaran aplikasi itu, di sini semalam.
Shabery berkata, pelaksanaan sistem itu selaras keperluan Seksyen 192 (1): Perkhidmatan Aplikasi Dikehendaki di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang digubal bagi menyediakan perkhidmatan kecemasan secara inklusif kepada semua rakyat termasuk 450,000 OKU di Malaysia.
Katanya, PPK 999 boleh diguna pakai di sembilan negeri sebelum diperluaskan ke Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak tahun depan, manakala kaedah sesuai untuk orang cacat penglihatan mengguna pakai aplikasi SaveME 999 sedang dikaji SKMM dan TM.

MALAYSIA MINTA SIDANG KHAS SELESAI ISU MESIR

MALAYSIA MINTA SIDANG KHAS SELESAI ISU MESIR

 
najib-pks
Putrajaya: Malaysia menghantar surat kepada semua negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta diadakan persidangan khas untuk mencari penyelesaian secara aman krisis di Mesir.  Datuk Seri Najib Razak berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sudah menghantar surat berkenaan selaras ketetapan yang diambil oleh kerajaan.  Kabinet menyarankan diadakan dialog antara semua pihak (berkepentingan dalam isu Mesir) supaya proses penyatuan nasional berlaku di Mesir, sekali gus menolak penggunaan kekerasan secara berterusan” Najib Razak, Perdana Menteri
Usaha cari keamanan
Perdana Menteri berkata, Malaysia sedang berusaha memainkan peranan dalam usaha mencari keamanan di Mesir dan beliau menjangka akan menerima panggilan telefon daripada pemimpin negara Arab mengenai perkara itu sehari dua lagi. Mesyuarat Kabinet hari ini (semalam) pula melahirkan rasa kesal dengan penggunaan kekerasan yang keterlaluan di Mesir sehingga mengorbankan banyak nyawa, yang jika dibiarkan berterusan tanpa usaha mencari perdamaian akan membawa kepada perang saudara.
Justeru, Kabinet menyarankan diadakan dialog antara semua pihak (berkepentingan dalam isu Mesir) supaya proses penyatuan nasional berlaku di Mesir, sekali gus menolak penggunaan kekerasan secara berterusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Jabatan Perdana Menteri.
Fahami sensitiviti
Sementara itu, ditanya sama ada Malaysia semakin menjadi sebuah negara Islam ortodoks berikutan tindakan terhadap pelatih anjing dan pemilik resort di Johor yang dikatakan menghina Islam, Najib menafikannya dengan alasan isu sensitif membabitkan semua agama. Justeru, amat penting rakyat secara keseluruhan memahami sensitiviti setiap masyarakat. Ini bukan membabitkan persoalan sebagai bersifat ortodoks.
Ada sensitiviti dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai agama, ini bukan eksklusif kepada orang Islam saja tetapi juga bukan Islam. Mereka juga mempunyai tahap sensitiviti mereka. Jadi, adalah penting untuk kita memahami sensitiviti setiap masyarakat.
Kes diselesai
Pelatih anjing itu ditahan berhubung klip video kontroversi memaparkan seorang individu menyambut Aidilfitri bersama tiga anjing, manakala taraf penduduk tetap (PR) pemilik resort di Kampung Sedili Besar di Kota Tinggi, Johor dibatalkan serta-merta kerana tidak menghormati sensitiviti orang Islam di Malaysia.

MALAYSIA PUSAT GLOBAL, HAB INDUSTRI MULTIMEDIA

MALAYSIA PUSAT GLOBAL, HAB INDUSTRI MULTIMEDIA

cmcf
Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) akan merangka pelbagai program di seluruh negara mulai tahun ini dalam usahanya mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat global dan hab industri isi kandungan serta multimedia. 
CMCF rangka pelbagai program pastikan kod kandungan dipatuhi
Bagi tujuan itu, CMCF yang telah ditubuhkan sejak 12 tahun lalu bagi mengawal selia peraturan di bawah Kod Kandungan Multimedia dan Komunikasi Malaysia (Kod Kandungan) akan mengadakan beberapa pameran bergerak termasuk di sekolah dalam usahanya meningkatkan tahap kesedaran peserta industri dan orang awam mengenai peranan pertubuhan itu. 
Pengerusi, Ahmad Izham Omar, berkata matlamat terdekat CMCF adalah memastikan peraturan Kod Kandungan dapat dipatuhi oleh peserta industri bagi mengelak-kan berlaku masalah yang tidak diingini pada masa depan.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima berkata, CMCF juga mahu orang awam menyedari peranan pertubuhan itu sebagai pusat rujukan jika terdapat aduan yang ingin dikemukakan berhubung isi kandungan dalam media elektronik.
Tahap kesedaran peserta dan orang awam terhadap perkara ini adalah baik, namun kami mahu meningkatkannya ke peringkat lebih tinggi dan sewajarnya.
Enam kategori
Bermula tahunini hingga ke tahun depan, CMCF akan menggerakkan pelbagai program yang turut disertai peserta industri untuk memberikan penerangan lebih menyeluruh mengenai peranan persatuan, katanya dalam satu pertemuan dengan BH.
CMCF ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya.
Ia terdiri daripada enam kategori anggota iaitu pengiklan, penyedia perkhidmatan teks audio, penyiar, kumpulan sivik, pencipta serta pengedar isi kan-dungan dan penyedia perkhidmatan akses Internet.
Sebagai pertubuhan peraturan kendiri, ia menjadikan Kod Isi Kandungan yang berdaftar pada 2004 sebagai rujukan penting kepada peserta industri mengenai beberapa peraturan yang wajar dipatuhi semasa menerbitkan bahan yang disiarkan kepada orang ramai.
Ahmad Izham berkata, sejak ditubuhkan 12 tahun lalu, jumlah aduan yang diterima oleh CMCF menerusi Biro Aduan berhubung ‘salah laku’ atau bahan siaran yang tidak wajar didapati meningkat pada setiap tahun, sekali gus membuktikan semakin ramai menyedari peranannya sebagai pusat rujukan dalam industri.
Penurunan jumlah kes sedemikian bergantung kepada sejauh mana peserta dalam industri dapat mematuhi garis panduan yang disediakan dalam Kod Kandungan, katanya.
Perlu seimbang
Antara prinsip penting Kod Kandungan ialah isi kandungan sama ada berita, laporan, hiburan dan iklan, perlu seimbang antara kehendak penonton, pendengar dan pengguna yang membolehkan mereka mempunyai pilihan yang luas di samping akses kepada maklumat.
Isi kandungan yang diterbitkan itu pula mestilah memelihara undang-undang, ketenteraman dan kesusilaan.
Penerbit mestilah memastikan isi kandungan itu tidak sensitif antaranya berkelakuan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik atau mengandungi bahan atau komen yang bersifat perbezaan terhadap kaum, keturunan etnik, warna kulit, agama, umur, jantina, status perkahwinan serta kecacatan mental atau fizikal.
INFO: CMCF
* Ditubuhkan pada Februari 2001 di bawah fasal Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 untuk mentadbir isi kandungan serta menangani beberapa isu berkaitannya

EKONOMI DOMESTIK MALAYSIA KEKAL KUKUH

EKONOMI DOMESTIK MALAYSIA KEKAL KUKUH

husni hanadzlah
ASAS ekonomi domestik Malaysia kekal kukuh di sebalik keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan bagi tahun ini kepada antara 4.5 peratus dan lima peratus daripada antara lima peratus dan enam peratus sebelum ini, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 
Negara catat kadar pertumbuhan KDNK lebih tinggi suku kedua 2013
Beliau menjelaskan, kekukuhan asas ekonomi domestik itu membolehkan Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi pada suku kedua lalu, sebanyak 4.3 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku pertama walaupun persekitaran luar kekal lemah dalam tempoh berkenaan.
Persekitaran luar yang lemah telah memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara di rantau ini dalam tempoh suku kedua lalu, dengan KDNK Indonesia dan Thailand masing-masing berkembang lebih perlahan pada 5.8 dan 2.8 peratus berbanding enam dan 5.4 peratus pada suku pertama.
Malah ekonomi China yang sebelum ini berkembang antara sembilan hingga 10 peratus turut menyaksikan arah aliran menurun apabila KDNKnya hanya tumbuh 7.5 peratus pada suku kedua lalu berbanding 7.7 peratus pada suku pertama.
Menyedari ketidaktentuan yang berlarutan dalam ekonomi global, unjuran pertumbuhan KDNK 2013 Malaysia telah disemak semula kepada antara 4.5 peratus dan lima peratus.
Asas domestik Malaysia bagaimanapun kekal kukuh dan pertumbuhan KDNK negara dijangkakan akan diterajui oleh permintaan domestik dan sedikit peningkatan sektor luar negara pada separuh kedua ini, kata Ahmad Husni dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau menjelaskan, semakan semula itu juga adalah sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang menyemak semula unjuran KDNK dunia bagi tahun ini kepada 3.1 peratus berbanding 3.3 peratus berikutan jangkaan pertumbuhan lebih perlahan di beberapa sedang berkembang pesat serta tempoh kemelesetan yang lebih lama di kawasan euro.
Menjelaskan prestasi ekonomi negara pada suku kedua lalu, Ahmad Husni berkata, pertumbuhan terus didorong oleh permintaan domestik yang teguh yang berkembang 7.3 peratus disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.
Penggunaan keseluruhan, katanya meningkat 8.0 peratus bukan sahaja daripada peningkatan penggunaan awam tetapi juga penggunaan swasta disebabkan pasaran pekerja yang stabil dan pertumbuhan gaji yang berterusan dalam sektor berorientasikan domestik.
Beliau berkata, pelaburan swasta meningkat pada kadar yang lebih cepat iaitu 12.7 peratus disebabkan oleh pelaburan dalam sub-sektor perkhidmatan pengguna, pelaksanaan projek infrastruktur yang berterusan dan pengembangan kapasiti dalam sektor minyak dan gas.
Sumbangan pelaburan swasta kepada jumlah pelaburan juga, katanya telah meningkat daripada 62.3 peratus kepada 68.8 peratus.
Pertumbuhan kukuh dalam pelaburan swasta itu menunjukkan daya tahan sektor domestik negara, katanya.
Ahmad Husni menjelaskan, pada suku kedua lalu, semua sektor ekonomi domestik mencatatkan peningkatan pertumbuhan yang ketara.
Katanya, sektor pembuatan dan perlombongan kembali pulih daripada suku sebelumnya dengan masing-masing meningkat 3.3 peratus dan 4.1 peratus berbanding pertumbuhan 0.3 peratus bagi sektor pembuatan dan penguncupan 1.9 peratus sektor perlombongan pada suku pertama.
Pemulihan dalam sektor pembuatan adalah berorientasikan domestik manakala peningkatan perlombongan adalah disebabkan oleh kenaikan pengeluaran gas asli, minyak mentah dan kondensat. katanya.

PEKERJA ASING DAPAT KAD PENGENALAN KHAS

PEKERJA ASING DAPAT KAD PENGENALAN KHAS


 pekerja-asing---2
Putrajaya: Seramai 1.4 juta pekerja asing warga Bangladesh akan diberikan kad pengenalan khas yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan, termasuk pengenalan frekuensi radio (RFID), biometrik dan elemen kad debit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kad berkenaan akan mempunyai warna berbeza mengikut sektor pekerjaan bagi memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pekerja terbabit. Kad ini mempunyai beberapa kemudahan termasuk kad pembelian barangan supaya mereka tidak membuang kad itu sewenang-wenangnya kerana mempunyai nilai kewangan.
Beliau berkata, kad ini juga menghalang pekerja daripada bertukar sektor kerana jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda RM12,000 (300,000 taka). Zahid berkata, melalui sistem kerajaan dengan kerajaan juga, kedua-dua negara akan bekerjasama memberikan penempatan perumahan sementara kepada pekerja asing berkenaan.

MAS PERLU KEKAL MILIK KERAJAAN

 MAS PERLU KEKAL MILIK KERAJAAN

fly2
Kuala Lumpur: Sejak kebelakangan ini, wujud beberapa laporan media mengenai isu Penerbangan Malaysia (MAS), iaitu syarikat penerbangan kebangsaan itu sepatutnya dipegang oleh pihak swasta dan bukannya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC)

Ada juga pandangan MAS perlu diswastakan dan dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia dan distruktur semula.
Kami berpandangan MAS perlu kekal menjadi milik kepentingan awam kerana akan ada lebih ketelusan. Lagipun jika diswastakan pada sekitar harga pasarannya sekarang, ia tidak akan menguntungkan sesiapa.
MAS perlu atasi kos tinggi
Sama ada diswastakan atau tidak, pihak pengurusan MAS perlu menangani isu kos yang tinggi. Untuk memastikan pelan pemulihan yang mantap, MAS perlu merangka strategi untuk meningkatkan pendapatan dan berdepan saingan daripada syarikat penerbangan utama yang lain.
Jika MAS diswastakan juga satu hari nanti, harga tawaran yang adil perlu dipertimbangkan kerana ramai pemegang saham minoriti telah setia dengan syarikat itu sejak sekian lama.
Namun mengambil kira bahawa saham terbitan hak sudah ditawarkan kepada semua pemegang saham baru-baru ini, adalah tidak masuk akal untuk menswastakan MAS ketika ini sehingga peningkatan nilai telah terhasil.
Dalam isu lain, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 1 Julai menyatakan risiko pertumbuhan perlahan bagi jangkaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan pasaran buruh telah berkurangan sejak suku ketiga tahun lalu.
Justeru, jawatankuasa berkenaan akan melihat kepada pengurangan secara bertahap aktiviti pelonggaran kuantitatif berdasarkan pasaran buruh atau perubahan inflasi.
Peserta pasaran global teruja meramalkan apa yang akan berlaku; sama ada perubahan secara bertahap bagi pelonggaran kuantitatif akan terjadi seawal suku ini mengambil kira bahawa perubahan itu hampir pasti akan berlaku.
Peningkatan kadar faedah
Sebarang pengurangan bertahap mungkin menyebabkan peningkatan dalam kadar faedah yang akan menyerap ke dalam sistem kewangan dan mengalir ke dalam ekonomi sebenar global, menyebabkan peralihan ketara dalam aliran dana, dan memberikan kesan kepada negara lain, termasuk pasaran sedang berkembang seperti Malaysia.
Sejajar dengan jangkaan itu, peserta pasaran pada minggu lalu menjual pegangan ekuiti mereka dalam pasaran sedang berkembang termasuk Malaysia yang mengalami tekanan jualan.
Mata wang juga mengalami nasib yang sama berbanding dolar AS. FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih rendah pada 1,721 mata, susut lebih kurang 3.7 peratus berbanding minggu lalu.
Sementara itu pada Rabu minggu lalu, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan laporan mengenai perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia bagi suku kedua 2013.
Ia menyatakan sektor luar yang lemah pada separuh tahun ini akan memberi kesan kepada prestasi pertumbuhan keseluruhan tahun ini.
Justeru, pertumbuhan keseluruhan bagi ekonomi negara tahun ini disemak semula dalam lingkungan 4.5 peratus dan 5.0 peratus daripada 5.0 peratus dan 6.0 peratus yang diunjurkan bank pusat itu pada Mac 2013.

RELA KINI AGENSI BERTARAF JABATAN

RELA KINI AGENSI BERTARAF JABATAN

 
zahid hamidi.d
Putrajaya: Kabinet semalam bersetuju menjadikan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebagai agensi kerajaan bertaraf jabatan, iaitu Jabatan Sukarelawan Malaysia. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Jemaah Menteri yang bermesyuarat turut meluluskan gelaran pangkat dan lambang baharu. Semoga dengan penaiktarafan yang diluluskan Jemaah Menteri, ia akan memberi semangat baharu kepada RELA.
Pada bulan lalu, Ahmad Zahid berkata menjadikan RELA sebagai jabatan dapat memberikan peluang kenaikan pangkat serta menggalakkan pembabitan anggota yang separa aktif dan tidak aktif terutama lepasan universiti. Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata RELA yang kini dianggotai 2.87 juta ahli di seluruh negara melalui era transformasi yang membanggakan sejak 2009. Bermula dengan penambahan ahli yang melonjak daripada 540,000 kepada hampir lebih kurang tiga juta pada akhir tahun ini, katanya.
Tingkat peranan RELA
Ahmad Zahid berkata, RELA yang menubuhkan Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) di setiap daerah berjaya memantapkan peranannya untuk membantu kerajaan khususnya ketika menghadapi keadaan genting seperti bencana alam dan ancaman keselamatan. Beliau yakin anggota RELA sudah bersedia untuk membantu mana-mana agensi keselamatan khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) dalam usaha membanteras jenayah di negara ini.
Mengenai Program Semarak Jalur Gemilang, Ahmad Zahid berharap ia dapat menyuntik semangat masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara. Beliau yakin RELA dengan kepemimpinannya mampu menggerakkan semangat kecintaan terhadap negara ini melalui gelombang kesukarelawan yang dilaksanakan.

PRESTASI ETP MEMBANGGAKAN

PRESTASI ETP MEMBANGGAKAN

etp-1
Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menghampiri tahun ketiga pelaksanaannya terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila 86 peratus atau RM25.42 bilion daripada komitmen pelaburan di bawah Projek Permulaan (EPP) yang diumumkan pada 2011 dan 2012, telah dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata dalam tempoh dua tahun itu, kerajaan telah mengumumkan EPP membabitkan komitmen pelaburan berjumlah RM29.63 bilion yang mana RM16.64 bilion adalah pada 2011 dan RM12.99 bilion pada 2012. 
Beliau yang juga Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) berkata, bagi komitmen pelaburan yang diumumkan pada pada 2011, 84 peratus atau RM13.98 bilion sudah direalisasikan, sementara bagi 2012 pula sebanyak 88 peratus atau RM11.44 bilion.
Kadar pelaksanaan pelaburan itu adalah memberangsangkan dan kita kini berada dalam landasan kukuh ke arah mencapai sasaran bagi tahun ini, katanya semasa membentangkan perkembangan separuh tahun ETP di Kuala Lumpur, semalam.
Idris berkata, bagi 2013 ini sebanyak 33 lagi projek baru dengan komitmen pelaburan berjumlah RM7.04 bilion telah diumumkan setakat separuh pertama.
Komitmen pelaburan itu, katanya dianggarkan menjana PNK sebanyak RM6.76 bilion dan mewujudkan 25,825 pekerjaan pada 2020.
Ekonomi mencabar
Beliau menegaskan, meskipun Malaysia berdepan dengan tinjauan ekonomi lebih mencabar tahun ini berikutan perkembangan yang berlaku dalam ekonomi global, ETP akan terus menerajui pertumbuhan ekonomi negara menerusi tumpuannya terhadap 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan enam Inisiatif Pembaharuan Ekonomi (SRI).
Katanya, setakat 26 Ogos lalu, ETP berada dalam landasan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI) bagi tahun ini, apabila sudah mencapai 66 peratus daripada sasaran NKEA dan 51 peratus bagi SRI.
Justeru, komitmen ETP dalam membawa negara ke arah sasaran Pendapatan Negara Kasar (PNK) perkapita AS$15,000 menjelang 2020 terus kekal dengan sektor swasta akan memainkan peranan utamanya dalam memacu ekonomi negara, katanya.
Perangkaan semasa menunjukkan ETP terus menjadi pemangkin peranan sektor swasta dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah persekitaran global semakin mencabar.
Melepasi sasaran
Pelaburan sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan 16 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2012 berbanding hanya tujuh peratus yang direkodkan antara 2006 hingga 2008 dan lima peratus antara 2008 hingga 2010.
Pada 2011 dan 2012, pelaburan sektor swasta masing-masing melepasi sasaran yang ditetapkan sebanyak 9.3 peratus dan 9.6 peratus.
Pelaburan sektor swasta pada 2011 berjumlah RM94 bilion manakala pada 2012 mencecah RM140.18 bilion.
Bagi 2013 ini, kerajaan menetapkan sasaran pelaburan sektor swasta berjumlah RM148.4 bilion dan setakat separuh pertama tahun ini saja, 57.5 peratus atau RM85.7 bilion telah diumumkan.
Pelaburan sektor swasta juga terus mengatasi pelaburan sektor awam dengan nisbahnya semakin melebar kepada 57 peratus dan 58 peratus masing-masing pada 2011 dan 2012.
Separuh pertama 2013 pula menyaksikan nisbah pelaburan sektor swasta kepada sektor awam meningkat kepada 65.7 peratus.

Thursday, August 1, 2013

IMIGRESEN BONGKAR SINDIKET EDAR PASPORT, PLKS PALSU

 IMIGRESEN BONGKAR SINDIKET EDAR PASPORT, PLKS PALSU

logo-imigresen
Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen membongkar sindiket pengedaran pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) berikutan penahanan 12 warga asing dalam Ops Jejak Buru.

Selain warga asing terbabit, imigresen turut menahan dua ahli sindiket terbabit dalam beberapa siri serbuan antara 12 Julai hingga Rabu lalu. 
Siasatan mendapati dokumen terbabit dijual pada harga RM1,000.
Tangkapan pertama pada 12 Julai lalu membabitkan tiga wanita warga Indonesia yang memiliki pasport dan PLKS palsu di Pelabuhan Klang Selatan.
Ketiga tiga wanita itu sudah disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 56(1) Akta Imigresen 1959/63 dan 12(1)(a) Akta Pasport.
Serbu restoran di Brickfields
Susulan tangkapan itu, sepasukan pegawai imigresen menyerbu sebuah restoran di Brickfields jam 2.15 petang, 18 Julai lalu dan menahan empat lelaki warga India, dua lelaki Bangladesh, dua lelaki Sri Lanka dan seorang wanita Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Amran Ahmad, berkata semua ditahan kerana memiliki PLKS palsu, langgar syarat pas dan tinggal lebih masa.
Katanya penahanan pada jam 12 tengah hari, Isnin lalu pula membabitkan seorang rakyat tempatan iaitu pemilik restoran berkenaan dan ditahan kerana mengambil pekerja asing tanpa memiliki permit kerja sah.
Seorang lelaki warga Sri Lanka yang disyaki sebagai orang tengah yang menguruskan PLKS dan pasport palsu ditahan pada Rabu jam 4.30 petang.
Pasukan sama turut menahan seorang ejen rakyat Sri Lanka dalam serbuan di sebuah hotel di Sentul pada jam 11 malam Rabu lalu.

PERKUKUH BIDANG KUASA POLIS TANGANI JENAYAH: PM

PERKUKUH BIDANG KUASA POLIS TANGANI JENAYAH: PM

 perkukuh-kuasa-polis---2
Putrajaya: Kerajaan memberi jaminan akan menyediakan semua keperluan kepada polis untuk meningkatkan keberkesanan membanteras jenayah, terutama jenayah berat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga bercadang membawa isu itu pada sesi Parlimen akan datang bagi mengkaji beberapa peruntukan yang boleh memperkukuhkan lagi bidang kuasa polis. Katanya, tindakan segera yang boleh diambil ketika ini adalah menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan apa yang boleh dilakukan.
Perdana Menteri berkata pada masa ini, satu jawatankuasa kecil (sudah ditubuhkan) terdiri daripada beberapa Menteri termasuk Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, khususnya membabitkan soal perundangan. Najib berkata demikian ketika diminta mengulas pembunuhan Pengasas Arab-Malaysian Bank (sekarang AmBank Group), Hussain Ahmad Najadi, manakala isterinya cedera ditembak di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, berhampiran Tokong Kuan Yin, di Kuala Lumpur kelmarin.
Beliau berkata, jawatankuasa kecil itu akan berbincang bersama Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan peruntukan perundangan tambahan bagi memerangi jenayah berat. Katanya, kerajaan sedia menimbangkan permohonan dan kehendak polis asalkan ada jaminan tiada salah guna kuasa dan penyalahgunaan hak asasi manusia. 
Najib Bimbang Senjata Api
Beliau berkata, beliau amat bimbang dengan perkembangan mutakhir pembunuhan menggunakan senjata api yang berlaku ketara. Ini menyentuh perasaan dan keyakinan rakyat serta menambah kebimbangan terhadap keselamatan dan berlakunya lebih kerap jenayah berat dalam negara. Oleh itu, polis perlu mengambil tindakan segera untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap apa yang berlaku mutakhir ini.
Sementara itu, Najib menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada ‘tangan-tangan’ yang mempengaruhi keputusan hakim menolak petisyen pilihan raya baru-baru ini. Kerajaan tidak pernah campur tangan. Kita mesti yakin dengan keputusan mahkamah. Mahkamah juga yang membebaskan Anwar dulu. Jadi macam mana dia tidak yakin dengan sistem mahkamah negara kita.