Wednesday, July 17, 2013

AKTA KEHARMONIAN SOSIAL

Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak menegaskan penggubalan Akta Keharmonian Nasional menggantikan Akta Hasutan 1948 mengekalkan tiga prinsip utama bagi menangani perbuatan yang mendatangkan kebencian dan penghinaan kepada institusi serta peruntukan Perlembagaan sedia ada.

Perdana Menteri juga memberi jaminan ia tidak menjejaskan kuasa kerajaan menangani perbuatan menggugat perpaduan dan kehar-monian masyarakat.
Beliau berkata, tiga prinsip itu termasuk menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja. 


Tangani niat jahat

Ia juga akan menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk berlainan agama di negara ini.

Akta itu juga akan menangani perbuatan dan perlakuan mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara, ia tidak boleh disalah gunakan sehingga jejaskan perpaduan negara. 
“Tindakan biadab dan kurang ajar yang menghina agama Islam, menunjukkan kebebasan bersuara serta menyuarakan pendapat yang tidak bertanggungjawab boleh memudaratkan masyarakat,” katanya semalam.

Najib juga berkata, kerajaan perlu menentukan prinsip yang dapat menjaga kepentingan negara termasuk keharmonian hubungan antara kaum dan kedudukan agama.

“Ini bukan soal agama Islam saja tapi sensitiviti semua kaum dan agama... kita akan berlaku adil tapi prinsipnya, kita tak boleh hina agama atau membakar perasaan benci antara kaum. Kalau ini kita tidak ambil tindakan tegas, ia boleh rosakkan tiang seri negara iaitu perpaduan nasional dan keharmonian negara.

Tiada kebebasan mutlak

“Dalam hal ini kita mesti bertegas, saya selalu menegaskan bahawa prinsipnya ialah kebebasan tetapi dengan kebertanggungjawaban, tidak boleh ada kebebasan mutlak yang memudaratkan kepentingan dan keharmonian nasional,” katanya.

Mengenai keperluan undang-undang baru menyamai Ordinan Darurat bagi membendung kes jenayah, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan polis dan Jabatan Peguam Negara, selain pihak berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta Majlis Peguam Malaysia.

No comments:

Post a Comment