Monday, July 8, 2013

DBKL DIARAH BEKU LESEN KAFE SIBER

DBKL DIARAH BEKU LESEN KAFE SIBER

 
dbkl
Kuala Lumpur: Pengeluaran lesen untuk perniagaan kafe siber di Wilayah Persekutuan dibekukan dalam usaha membendung penyalahgunaan premis itu sebagai tempat perjudian.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata beliau sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan sementara pengeluaran lesen baru untuk perniagaan pusat siber atau kafe siber. 
Katanya, ramai pengendali kafe siber tidak mematuhi peraturan perniagaan kafe siber hingga ada antaranya menjadi ia pusat perjudian.
Apa yang kita tidak boleh terima, kafe siber yang menjadi pusat judi ini juga membenarkan pelajar masuk dan sesetengahnya mempunyai joki yang mengutip wang daripada pengunjung termasuk pelajar, katanya selepas merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), di sini.
Banyak permohonan
Pada majlis itu, 715 guru dan pegawai yang berkhidmat di bawah JPWPKL menerima penghargaan atas khidmat cemerlang mereka.
Tengku Adnan berkata, buat masa ini masih banyak permohonan lesen kafe siber yang diterima DBKL, namun beliau mengarahkan pihak itu menghentikan sementara pengeluaran lesen berkenaan.
Beliau kesal ramai pengusaha tidak mematuhi syarat pemberian lesen kafe siber, antaranya menggunakan cermin gelap dan membenarkan perjudian di dalam premis.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima arahan daripada Menteri Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu.
Kita laksanakan arahan seperti yang diberikan Menteri dan akan selaraskan perkara lain yang berkaitan operasi kafe siber di Wilayah Persekutuan, katanya.

No comments:

Post a Comment