Monday, July 8, 2013

CADANG SKUAD KHAS CEGAH JENAYAH DI LALUAN MOTOSIKAL

CADANG SKUAD KHAS CEGAH JENAYAH DI LALUAN MOTOSIKAL

 
hishammuddin
Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan mencadangkan penubuhan satu skuad khas bagi menangani masalah jenayah dan vandalisme di laluan motosikal.

Pemangkunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata skuad khas itu membabitkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) serta agensi lain yang berkaitan.
Beliau difahamkan banyak kemudahan asas seperti lampu dan pembahagi jalan dirosakkan malah jenayah samun turut mengancam keselamatan penunggang motosikal pada waktu malam.
Tangani bersama
Perkara ini perlu ditangani segera menerusi kerjasama antara semua pihak bertanggungjawab termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat konsesi lebuh raya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kerjasama antara masyarakat, katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan laluan motosikal bermula dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti hingga ke pekarangan Plaza Tol Batu 3, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Hishammuddin berkata, pihak yang terbabit dalam penyenggaraan jalan raya juga diminta bekerjasama untuk menyediakan sistem pengangkutan jalan darat yang lebih baik.
Sehingga kini kita mempunyai kira-kira 200 kilometer (km) lorong motosikal dan 159,000km jalan raya, jadi pihak seperti Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), JPJ, PDRM dan pihak berkepentingan lain sentiasa diperlukan.
Inisiatif ini juga akan diusulkan kepada dua kementerian lain iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya masalah berkaitan jalan raya dapat diselesaikan secara menyeluruh, katanya.
BH sebelum ini mendedahkan rungutan penunggang motosikal mengenai keadaan laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan yang berbahaya antaranya kerana jalan berlopak, lampu terowong tidak berfungsi dan dinaiki air banjir.
RM1.1j selenggara lampu
Sementara itu, Fadillah berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM1.1 juta disalurkan baru-baru ini bagi penyelenggaraan lampu jalan di lorong motosikal dan dijangka siap hujung tahun ini.
Kerja-kerja ini termasuklah menurap lorong motosikal yang rosak supaya perjalanan pengguna lebih lancar, katanya.

No comments:

Post a Comment