Tuesday, July 16, 2013

ECER TERIMA PELABURAN BARU RM750 JUTA

ECER TERIMA PELABURAN BARU RM750 JUTA

ECER
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelaburan utama di negara ini apabila menerima pelaburan baru berjumlah hampir RM750 juta daripada 10 syarikat tempatan semalam. 
Projek capai sasaran tarik pelaburan berjumlah RM10b tahun ini syarikat tempatan sertai
Ia sekali gus meletakkan koridor ekonomi itu dalam landasan kukuh untuk mencapai sasaran menarik pelaburan baru berjumlah RM10 bilion tahun ini.
Sejak ECER dilancarkan pada 2007, ia sudah menarik pelaburan bernilai RM49 bilion dengan mewujudkan hampir 40,000 peluang pekerjaan baru.
Dalam tempoh separuh pertama tahun ini saja, ECER menarik pelaburan berjumlah RM23.64 bilion, melepasi sasaran RM15 bilion yang ditetapkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi seluruh 2013 ini.
Lima projek utama daripada pelaburan baru berjumlah RM750 juta itu ialah pembangunan ladang ternakan ikan sturgeon bernilai RM120 juta di Pahang oleh syarikat pelaburan FELDA, FELDA Investment Cor-poration (FIC) yang akan bekerjasama dengan MMC Hassed Co Ltd dari Korea Selatan.
Projek kedua ialah pembinaan kemudahan pengeluaran baja kompaun bernilai RM111 juta oleh FPM Sdn Bhd, anak syarikat FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) di Kuantan Pahang. Baja yang dihasilkan kemudahan baru itu akan digunakan di kawasan perladangan sawit milik FELDA di seluruh negara, termasuk petani kecil-kecilan di ECER.
Sebuah kilang pengeluaran makanan dalam tin dan sejuk beku bernilai RM50 juta pula akan dibangunkan Tropical Consolidated Corporation Sdn Bhd di Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali, Kelantan, sementara Educrest Sdn Bhd akan melabur RM108 juta untuk membina sebuah sekolah antarabangsa di Kuantan, Pahang bagi mengganti bangunan sedia ada.
Tingkat daya saing
Projek oleh Educrest itu akan menyediakan perkhidmatan pendidikan antarabangsa berkualiti di Pahang sekali gus meningkatkan lagi daya ECER di kalangan pelabur antarabangsa dan ekspatriat yang bekerja di Kuantan.
Projek utama kelima ialah oleh Pahang Technology Resources Sdn Bhd yang akan melabur RM250 juta untuk menghasilkan vaksin denggi halal di Taman Halal Gambang.
Sementara itu, lima lagi syarikat, Komitmen Mantap Sdn Bhd; RD Paper Sdn Bhd; Ganu DotCom Sdn Bhd; Heritage Farm (M) Sdn Bhd dan Tok Bali Dockyard & Engineering Sdn Bhd, iaitu kumpulan penerima dana mudah cara daripada TERAJU dan ECER bagi menggalakkan penyertaan pelabur Bumiputera dalam projek di ECER, membentuk baki komitmen pelaburan sebanyak RM105 juta lagi.
Komitmen Mantap akan melabur RM50 juta untuk membina sebuah loji solar berkuasa empat megawatt di Pasir Mas yang akan menjadi ladang solar pertama di negeri Kelantan.
RD Paper pula akan melabur RM26 juta bagi membangunkan pusat kitar semula setempat di Kuala Terengganu, dan akan menjadi pusat teknologi hijau pertama dan yang paling canggih di ECER.
Pelaburan berjumlah RM17 juta oleh Ganu DotCom pula akan digunakan bagi membangunkan sebuah butik fesyen maya, yang menekankan kepada e-dagang dan pelancongan runcit.
Heritage Farm pula akan melabur RM7 juta untuk membangunkan ladang akuakultur bagi ikan air tawar dan udang bersepadu di Kuala Terengganu, manakala Tok Bali Dockyard & Engineering melabur RM5 juta untuk membina sebuah hangar kapal di Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECERDC dan 10 syarikat berkenaan di Putrajaya, semalam.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yakob; Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin; Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Wahid Omar dan Ketua Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Isaace John.

No comments:

Post a Comment