PANDUAN AMBIL PEKERJA ASING DIKAJI
Putrajaya: Garis panduan menggaji pekerja asing akan dikaji semula secara menyeluruh bagi mengenal pasti dan menambah baik sebarang kelemahan yang wujud.
|
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendekatan bagi memperketatkan garis panduan berkenaan bertujuan memastikan semua pekerja asing mematuhi undang-undang negara.
Kajian semula garis panduan ini akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jawatankuasa Kabinet akan menyemak garis panduan sedia ada dan garis panduan baru akan digubal, katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulan pertama kementeriannya selepas memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.
Zahid berkata, antara aspek yang akan diteliti ialah penggajian pekerja asing terus dari negara sumber seperti Bangladesh dan Myanmar selain kebajikan pekerja asing yang mendakwa ditipu, ditindas atau tidak dibayar gaji.
Tambahnya, kajian itu turut merangkumi usul menyediakan perlindungan insurans lebih besar bagi pekerja asing kerana kadar premium sedia ada adalah terlalu rendah sehingga menyebabkan tunggakan bayaran kos rawatan hampir RM26 juta.
Katanya, perbincangan akan diadakan dengan syarikat perlindungan insurans berhubung perlindungan perubatan dan perbelanjaan pekerja asing di negara ini.
Pengenalan bon
Pengenalan bon
Satu lagi aspek yang akan dipertimbangkan ialah pengenalan bon yang mengikat pekerja kepada majikan, sekali gus memastikan majikan juga ada rasa tanggungjawab.
Jabatan Imigresen sudah diminta meneliti sistem bersesuaian untuk bon keselamatan dan perbandingan dasar akan dibuat. Mereka akan melihat sistem berkaitan pekerja asing di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura.
Malah, saya sudah membincangkan perkara ini dengan duta UAE ke Malaysia selepas mengetahui negara itu mempunyai dasar khusus mengenai pekerja asing, katanya.
Sementara itu, Zahid meminta orang ramai jangan tersalah tafsir perjumpaan tertutup beliau dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kelmarin.
Zahid mengadakan pertemuan dengan Guan Eng dan anggota keluarga seorang lelaki yang hilang, dipercayai tertimbus dalam kejadian ribut di Jalan Macalister, Pulau Pinang, untuk berbincang mengenai inkues serta bantuan yang boleh diberi kepada keluarga mangsa.
Dalam kejadian angin kencang Khamis lalu, seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus apabila sebuah kereta Honda City berwarna kelabu dipercayai miliknya ditemui terbenam di kawasan runtuhan pada Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment