Thursday, July 11, 2013

KRISIS EKONOMI GLOBAL & KESAN KEPADA NEGARA

KRISIS EKONOMI GLOBAL & KESAN KEPADA NEGARA

Krisis yang terjadi di AS tidaklah memberi kesan yang secara terus kepada Malaysia. Mungkin hanya sesetengah bank yang mempunyai bon dan sekuriti, di sana akan mengalami sedikit gangguan. Kesan secara langsung kepada negara adalah sangat minimum. Tetapi, hal ini memberi kesan secara tidak langsung. Eropah dan Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai kuasa beli yang tinggi. Apabila berlakunya krisis kewangan di AS, kuasa beli pengguna akan menurun dan kerana pengguna tidak keluar berbelanja.
Pada situasi begini para pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat, mereka sedang memerhati perkembangan ekonomi yang bakal terjadi selepas ini. Mereka tidak mahu melabur kerana keadaan pasaran global yang tidak menentu. Pelabur sudah semestinya tidak mahu mengambil risiko yang besar ini. mereka hanya memikirkan pulangan yang berganda sahaja. Apabila indeks harga saham susut, nilainya juga akan turut susut dan pelabur semakin khuatir untuk melabur dan akhirnya mereka terpaksa “angkat kaki” untuk melabur di tempat lain sudah tentu ini memberi kesan keatas kemerosotan ekonomi dalam negara.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ekonomi kini sedang mengalami kitarannya, sebagaimana yang berlaku pada tahun 1997. Dahulu, negara yang terbabit tidak mengetahui cara dan kaedah yang terbaik untuk menanganinya. Tetapi, krisis yang berlaku pada kali ini, walaupun berada di luar jangkaan, namun demikian negara yang terlibat sudah mengetahui jalan yang terbaik untuk mengatasinya. Krisis kali ini sememangnya mempunyai kesan yang besar, tetapi boleh ditangani dengan baik dalam jangka masa dua hingga tiga tahun dari sekarang. Misalnya, Kerajaan AS sedang berusaha menyuntik dana ke dalam syarikat-syarikat yang terbabit bagi membantu menyelesaikan kemelut ini. Inilah antara kaedah yang telah digunakan oleh Malaysia pada tahun 1997 dahulu.
Sememangnya krisis yang berlaku menyebabkan nilai mata wang juga turut jatuh. Mungkin ada baiknya jika kita mengikat ringgit supaya nilainya tidak akan jatuh dengan lebih teruk lagi. Kita mahukan kestabilan nilai mata wang itu terus kukuh. Kita tidak mahu perkara yang berlaku kepada sesetengah nilai mata wang yang jatuh teruk. Namun demikian, perkara ini juga ada baik dan buruknya juga. Thailand misalnya, pada tahun 1997 ia tidak menggunakan kaedah tambatan mata wang Baht, tetapi masih tetap stabil. Oleh sebab itu, banyak cara dalam menyelesaikan sesuatu kemelut ekonomi dan bergantung pada keadaan sesebuah negara. Manakala bagi rakyat pula, yang paling penting ialah keputusan yang dibuat adalah benar-benar tepat untuk memastikan nilai mata wang ringgit terus kukuh.
Kesan yang paling ketara boleh dilihat dengan jelas dalam sektor pelancongan. Apabila sektor pelancongan terjejas, sudah tentu industri yang berkaitan turut merasainya, seperti perhotelan dan industri kecil dan sederhana, kerana ia sangat berkait rapat. Sektor hartanah juga turut merudum dan perkara ini sangat menakutkan pengusaha dan pemaju dan juga para pelabur itu sendiri. Kerana kesannya sangat besar dan risiko yang harus diharungi adalah sangat tinggi.

No comments:

Post a Comment